-->

HijriDate

Thursday, December 13, 2007

Winter Sonata versi London

Bismillah..

I just arrived from my english school (Sels College) at Covent Garden. It was a long journey and i feel so tired. I spent about one hour in the bus that usually take just half an hour by tubes. Travel by bus in London is cheaper than travel by tubes. I have to use an oyster card to make the tickets more cheap. Just pay two pounds per day and you can get anywhere in London with any bus at any time. I can count just with my right hand, how many times that I had using the tubes. Only for the insistent situations. It's too expensive to me.

This Friday could be the last class for me in Sells College. The school will close awhile for the cristmas and the new year holiday until 7 January 2008. I have been learning there about two months. It was happened very fast. This is my first time I have learning English serously in my life. I'm excited and I hope I can attends the class yet (if possible : money and time) in the next semester. I think, learning English in a small group with the briliant teacher are the right way for me to improve the language. It would be an exciting memory that I will remember it always.

Masa Yang Berbaki...

Masa berlalu begitu pantas. Sedar tidak sedar, tahun 2007 hampir sampai ke penghujungnya. Ini bermakna masa untuk saya berada di sini juga sudah tidak lama lagi. Bos saya sudah mula mencari pengganti saya dan 2 orang rakan sekerja yang akan turut pulang pada awal 2008 nanti.

Di luar sana cuaca semakin bertambah sejuk. Saya rasa mungkin telah melebihi paras beku kerana kereta-kereta sudah kelihatan bewarna putih akibat air yang membeku. Pagi tadi saya saksiakan padang di hadapan rumah juga sudah bewarna putih. Mungkin itu tanda cik salju akan tiba. Kalau bernasib baik kata kawan-kawan saya, mungkin saya akan dapat berjumpa dengan cik salju tahun ini. Di london akhir-akhir ini agak sukar untuk melihat cik salju turun. Mungkin ini adalah antara kesan-kesan 'global warming' yang hangat diperdebatkan di sini mutaakhir ini.

Cuti krismas yang bakal tiba nanti menjanjikan kesibukan tahap maksimum. Beberapa program bakal dirancang antaranya program bersama dengan adik-adik remaja yang bakal menempuhi alam taklifan (baligh) dan rancangan untuk penubuhan sekolah hujung minggu untuk anak-anak melayu Islam di North London (tidak seperti Manchester, Birmingham dan beberapa tempat lain yang sudah mempunyai 'Malaysian School' nya sendiri). Jika benar berjalan program itu nanti ada kemungkinan saya terpaksa bersiap lebih terperinci lagi untuk berkomunikasi dengan adik-adik dalam bahasa Inggeris. Kalaulah ada orang lain..sebenarnya saya lebih suka membantu dari merancang dan mengemudi.

Tazkirah Mingguan Dengan Surah Luqman

Sudah dua minggu tazkirah ditambah dengan tafsiran beberapa ayat dari Surah Luqman. Biasanya hanya sebagai selitan untuk pengajian hadis. Namun 2 minggu ini tajuk 10 wasiat Luqman kepada anak-anaknya di dalam ayat 12-19 cukup memberangsangkan. Akhirnya pengajian hadis terhenti seketika.

Kebiasaannya, saya akan bawa konsep perbincangan di dalam tazkirah mingguan tersebut. Saya tidak suka bercakap seorang diri. Takut-takut pendengar akan tertidur dan lebih teruk lagi jika saya pula yang tertidur. Hasil perbincangan dan lontaran idea dari seluruh hadirin sebenarnya amat-amat saya nantikan. Masing-masing melontarkan permasalahan dan cadangan penyelesaian dalam persoalan pendidikan terhadap anak-anak. Luqmanul Hakim menanamkan di dalam diri anaknya sifat rasa bertuhan, hormat ibu bapa, menjaga ibadah solat, ajak kebaikan dan mencegah kemungkaran, sabar dan beberapa akhlak yang dianjurkan di dalam hubungan sosial.

Di sana dilontarkan beberapa persoalan antaranya ; Ketika kita kejut anak kita bangun dari tidur, apa lafaz pertama yang kita ajukan kepada anak kita? Ia mungkin : (1) Bangun mandi dan gosok gigi, dah lewat ni. (2) Bangun, sekolah dah lewat ni. (3) Bangun, sarapan dah siap. Tetapi berapa ramai yang mengatakan : bangun dah lewat ni, waktu subuh dah nak habis. Ia nampak simple namun itulah dia kekuatan yang mahu dipasakkan di dada anak-anak kita. Pagi harinya bermula dengan ingatan dan patuh tunduk kepada Tuhannya. Kadang-kadang kita lebih risau anak kita lewat ke sekolah dari lewat tunaikan solat subuh.

Minggu ini tazkirah akan disambung lagi dengan dengan tiga wasiat Luqmanul Hakim yang berbaki. Majlis mingguan ini bertambah ceria denagan pertambahan beberapa orang ahli baru seperti Prof. Abang Kamarul dan isteri serta Abang Ali, former Petronas cari gali. Idea dan pandangan mereka menambahkan lagi pengalaman saya. Sebenarnya, saya banyak belajar dari mereka bukan saya yang mengajar mereka. Saya hanya bercakap sedikit sahaja selebihnya terbuka kepada ahli dan hadirin yang hadir.

Antara Rahsia Majlis Pertunangan & Perkhabaran Majlis Perkahwinan.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud;. "Umumkan perkahwinan dan rahsiakan pertunangan".

Maksud hadis di atas adalah kita digalakkan untuk merahsiakan pertunangan dan mengumumkan perkahwinan yang bakal dilangsungkan. Hubungan pertunangan tidak perlu disebarkan kerana mungkin akan menyebabkan fitnah. Hubungan pertunangan bukanlah hubungan yang pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan dan mungkin juga akan berakhir dengan sebaliknya. Oleh itu, ia menjadi 'maslahah' kepada kedua belah pihak dan menjaga hubungan yang sudah terjalin pada peringkat awalnya.

Pertunangan juga bukanlah tiket untuk segala-galannya berbanding perkahwinan yang menghalalkan apa yang dilarang sebelumnya. Majlis pertunangan yang besarnya seakan majlis perkahwinan tidak digalakkan di dalam Islam kerana mungkin akan menyebabkan pembaziran dan kepayahan di pihak lelaki. Sudahlah masyarakat kita hari ini meletakkan harga yang terlalu tinggi untuk hantaran pernikahan di pihak lelaki, inikan pula mahu dibebani lagi dengan majlis pertunangan yang sehebat majlis perkahwinan etc.

Untuk itu tidak perlu kecil hati jika ada kawan-kawan kita yang tidak menyebarkan berita pertunangannya kerana dia sedang berusaha untuk mengikut sunnah Baginda S.A.W seperti yang terdapat dalam hadis di atas tadi. Mungkin anda perlu dan patut berkecil hati jika majlis perkahwinan yang disembunyikannya @ sangka baik sahaja padanya kerana mungkin surat jemputan untuk anda tercicir di pertengahan jalan. Lama-lama kan ketauan juga nanti, tidak perlu berkecil hati yer.

Wallahu'aalam


[+/-] Selengkapnya...

Tuesday, December 04, 2007

My First English Posting

Bismillah...

Today I would like to write my life jurnals in English. I don't care about the grammers, spellings and any mistakes that should be happen in my writing. Mistakes are just a beginning to make an improvement. It's as simple as that. So, why should I be afraid to write in this simple language?? Thank you to my teacher Richard and all of my friends in Sells College for helping me and grew up my faith to speak, write and using this language. But I will never forget about my weakness in Arabic Language. Insyaallah, I will try to improve it as well. I am going to build up my self as far as i can. May Allah helps all of us to make a positif improvement.

I have been here since last August 2007 and I have more two months before I go back to either my lovely country, Malaysia or maybe to my second nice country Egypt. I don't believe that I have been here for four months. Masya Allah, it looks crazy. The time passes away as trains from St. Pancras to france. Very fast. I feel I did nothing here. I missed to write all of my experiences in this jurnal. The times are so expensive, but it's doesn't matter. The problem was coming from my self. I failed to organize my time.

Thats Enough. I told you, my english is not too good. I change my mind. I will finish this posting with my usual language. I am sorry.

Berbual Dengan Free-Thinker.

Hari ini waktu pulang dari sekolah (English College), saya diberi peluang berbual dengan seorang wanita warga Jepun. Namanya Mariko. (Jangan salah anggap pada saya, saya tidak berdating dan tiada niat untuk menguratnya) Saya katakan dia adalah free-thinker atau non-relegion (tanpa agama) disebabkan dia memang tidak mempunyai sebarang kepercayaan agama. Apa yang saya tahu darinya, majoriti warga Jepun memang tidak mempunyai agama. Kalau ada pun hanyalah budha dan minority Islam dan kristian. Datuknya beragama budha. Bermula dari ayahnya, kehidupan keluarganya sudah tiada lagi kepercayaan agama.

Apa yang menariknya, Mariko tiada langsung pengetahuan tentang sebarang Agama. Tidak pernah mengkaji dan suatu masa sewaktu di kelas menyatakan bahawa agama membawa kepada peperangan dan permusuhan. Dia bertanya kepada saya : why religion is important to you Mohamed? (Classmates saya panggil saya Mohamed. Bertepatan pula dengan kes warga England di Sudan Mrs. Gibbons yang menganjurkan anak muridnya menamakan teddy bear dengan nama Muhammad menguatkan lagi diri saya untuk dipanggil Muhammad, tapi saya takut juga jika berperangai buruk takut-takut mencemarkan nama Junjungan kita Nabi Muhammad SAW).

Soalan itu mula-mula sukar juga untuk saya menjawabnya. kekurangan ilmu ditambah dengan kelemahan untuk berkomunikasi dalam bahasa inggeris membuatkan perbualan agak sedikit perlahan. Namun anggapan saya bahawa dia faham apa yang saya sampaikan. Saya katakan bahawa Agama mengajar saya erti kehidupan. Hidup bukan semata-mata untuk keseronokkan. Kami percaya ada hari kebangkitan. Agama mengajar saya berakhlak mulia (good manners), menentang keganasan dan menyembah Tuhan yang menjadikan serta mengetahui segala suatu yang baik dan buruk bagi diri hambanya. Oleh itu segala seruanNya dari Al-Quran, Hadis Nabi dan pandangan ulamak perlu dituruti.

Saya beri gambaran jika anda membuat sehelai baju, sudah tentu anda akan mengetahui segala-galanya tentang baju itu. Di mana ia perlu disimpan. Di basuh mengunakan apa dan dipakai waktu bila. baju tidak akan menolak ketetapan orang yang membuatnya kerana ia tahu itu yang terbaik dari penciptanya. Begitu juga kita manusia Pencipta tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Mariko bersetuju dengan pandangan saya bahawa manusia ada yang menjadikannya. Ia tidak jadi sendiri dan manusia pasti akan mati.

Mariko bertanya kepada saya kenapa kamu sembahyang dan apa kesan kalau kamu tidak buat apa yang agama kamu tetapkan (kebetulan setiap waktu rehat di kelas saya curi masa untuk solat asar di atas). Saya katakan sebab Tuhan saya perintahkan saya sembahyang dan kalau saya tidak sembahyang hati saya rasa tidak tenang. Saya katakan saya solat 5 kali sehari beserta dengan waktu-waktunya. Dia terkejut besar. Sangkaannya saya hanya bersolat sekali sahaja seperti yang diketahuinya.

Dia bertambah minat bertanya. Bagaimana saya mahu tahu lebih lanjut mengenai agama? Saya katakan kamu perlu tanya pada yang mengetahui (ulamak@schollars) dan baca pengalaman orang-orang yang baru menerima agama atau baru berpindah agama. Dan kalau kamu berminat saya boleh berikan terjemahan al-quran untuk kamu. Perbualan tidak begitu panjang disebabkan tempat yang saya tujui sudah hampir tiba. Saya hanya sempat menasihatinya agar mengkaji dahulu agama-agama yang ada di muka bumi ini. Jangan menghukum agama kerana penganutnya. Sebaliknya carilah agama dari sumbernya. minta Tuhan pandu kamu untuk mencari kebenaran. Jika kamu benar-benar mahu mencari kebenaran agama.

Perbualan habis setakat itu. Sewaktu di kelas juga saya cuba untuk menyelitkan maklumat-maklumat tentang agama Islam. Dalam home work yang diberikan oleh teacher juga saya selalu selitkan cerita mengenai Islam. Mungkin itu yang termampu saya lakukan untuk membuka dakwah kepada golongan minoriti (kawan-kawan saya) yang tidak mendapat maklumat yang jelas tentang Islam. Pengalaman begini tidak pernah saya terima sebelum ini. lihatlah betapa ramai yang belum tahu tentang kebenaran Agama Islam dan berapa ramai juga yang tidak tahu menahu tentang agama. Ia juga lebih kurang sama dengan orang yang telah beragama (maksud saya sudah islam) namun tidak rasa penting menurut perintah agama. Mungkin bilanganya sama ramai. Lalu di mana peranan kita untuk membawa dan memberikan maklumat yang jelas kepada mereka. Ishh.. Ya Allah..takutnya nanti kita semua akan dipersoalkan.

Wallahu'aalam..

~ Posting dalam Bahasa Arab juga akan cuba diusahakan Insyaallah.

[+/-] Selengkapnya...

Monday, November 26, 2007

Taqwa, Ujian Dan Perjuangan

Bismillah...

Perjalanan hidup memang tidak akan reda dari dugaan dan cabaran. Allah Taala berfirman di dalam al-Quran surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud ; "Adakah manusia menyangka bahawa cukup sekadar mereka menyatakan 'kami telah beriman' sedangkan mereka belum diuji?"

ujian datang dari pelbagai sudut dan ruang. Bagi umat Islam yang bergelar mukmin, seharusnya setiap dugaan dan cabaran yang dihadapi di dalam kehidupan seharian dijadikan sebagai pembuktian keimanan kepada Tuhan yang menciptakan. Keimanan bukan hanya dengan kata-kata dan luahan. Keimanan itu perlu diuji dan dibuktikan dengan pelaksanaan. Oleh kerana kehidupan insan itu punya matlamat dan tujuan, ianya tidak dapat lari dari kepayahan dan ancaman.

Untuk mengikuti ujian, kita perlulah bersedia dengan segala macam bekalan dan kekuatan. Bekalan yang terpenting itu adalah taqwa kepada Tuhan. Allah berfirman yang maksudnya, ; "Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah Taqwa" (sila rujuk konsep taqwa). Bekalan taqwa ini perlulah mencukupi kerana sekiranya kurang maka kita akan serba kekurangan dalam mendepani ujian yang dikenakan. Mahu ikut peperiksaan di universiti pun perlu buat persidaan yang cukup. Inikan pula mahu lalui ujian yang telah Allah janjikan dengan kepayahan dan kesukaran seperti yang dinyatakan oleh Allah Taala di dalam FirmanNya dengan mafhumNya ; "Sekiranya (hijrah @ perjuangan) itu dekat jaraknya dan pendek perjalanannya pastinya mereka akan mengikuti Mu (wahai Muhammad). Akan tetapi ia (hijrah dan perjuangan Mu itu) jauh dan penuh kepayahan".

Orang terdahulu duiji keimanan mereka dengan penderitaan dan kepayahan. Lihat sahaja Rasulullah SAW sebaik2 insan yang Allah ciptakan, hidupNya penuh dengan ujian dan dugaan. Ancamam dan cubaan yang dihadapi dalam menyampaikan risalah dakwah Islamiah demi untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan tiada tandingannya sehingga tergolong dikalangan Rasul-rasul ulul Azmi yang palimg tinggi darjatnya. Kesusahan dan kepayahan yang dihadapi itu dihadapi sebagai bukti keimanan Baginda yang jitu dan teguh kepada Allah Taala. Kalau sudah namanya hidup dalam perjuangan perlu sedia menghadapi kesukaran dan kepayahan.

Soalanya, adakah kita ini telah meletakkan diri kita di medan perjuangan yang sebenar??? (Medan perjuangan seperti yang di bawa Oleh Rasulullah SAW). Ya, jika belum maka kenapa mahu mengeluh jika ditimpa ujian dan kepayahan sedangkan ianya baru sedikit berbanding dengan ujian para pejuang Islam. Ujian di dalam kehidupan seharian itu belum namanya ujian jika kita tidak meletakkan diri kita di dalam perjuangan yang dibawa Baginda. Kita bukan orang yang memulakan perjuangan. Moga kita tergolong di kalangan mata rantai-mata rantai yang menjadi penerus perjuangan Baginda walau di mana posisi kita berada. Islam dijunjung walau di mana bumi dipijak insyaallah.

Wallahu'aalam



[+/-] Selengkapnya...

Monday, November 12, 2007

Catatan Rindu..

Bismillah..

Jemari sudah lama tidak menari. Gara-gara masa yang menghambat dan kelangkapan yang tidak mencukupi untuk jari mengolah resepi perjalanan diri. Hari ini rasa rindu untuk menulis lagi. keluar awal dan singgah di cyber cafe selepas menghantar anak-anak murid ke sekolah usai mengaji al-Quran bersama pagi ini. Alhamdulillah, anak-anak murid itu kini sudah mampu membaca sendiri. 3 Bulan lalu mereka tidak mengenal Alif, Ba dan Ta. usaha ibu bapa mereka sendiri banyak membantu saya dalam menanam al-Quran di dada anak mereka. Namun di sana masih ramai lagi anak murid lain yang masih belum mampu membaca sendiri. Begitulah aturanNya. Ada yang mudah ada yang susah. Ada yang laju dan pasti ada yang agak perlahan. memang seronok kalau sudah mampu melihat tanaman sendiri mengeluarkan hasil.

Esok pula kelas pengajian lebih mencabar. Satu kelas di al-Manar mosque menanti di temani Tuan Imam besar masjid, Syeikh Ahmad Al-maghribi yang mahir riwayat warsh. Di hadapan kami sekumpulan pelajar-pelajar tempatan dari pelbagai warna dan keturunan. Pengalaman ini tidak sama seperti mengajar anak-anak melayu mengaji al-Quran. CabaranNya lebih hebat. Kenakalan, hiruk piruk dan kepayahan menanti namun ia amat menyeronokkan. Setiap malam yang berlalu pula kaki melangkah ke setiap ceruk kota London untuk bersama anak-anak malaysia-England yang dahagakan pengajian al-Quran dan Fardhu ain.

Sebentar lagi, masa kerja akan bermula. Melayani karenah pelanggan yang pelbagai bangsa yang mana pelanggan utamanya adalah penduduk setempat dan luar negara yang amat meminati masakan malaysia-Indonesia-Singapura. Pelanggan melayu yang datang boleh dibilang dengan jari sahaja. Kesukaran yang amat sangat apabila melayani pelanggan yang berkulit gelap. Bahasanya agak pekat dan kasar menyebabkan terkadang terbakar juga hati kecil ini. Namun inilah pengalaman berharga yang saya perolehi di sini. Rekod bahasa inggeris saya semenjak zaman purba kala memang agak teruk. Harapnya dengan pergaulan seperti ini mampu meningkatkan penguasaan bahasa saya.

Petang ini, pulang dari kerja kaki akan mengikuti kelas pengajian di Sels College. 2 jam sehari dan 3 kali seminggu. Saya di tawarkan oleh seorang yang pemurah untuk mengikuti pengajian English corse di situ. Dari siapa? Pemilik kolej itu sendiri yang menawarkannya. Berkat bantuan Uncle Hulaimi akhirnya Datuk Yunus Rais dengan selamba mengatakan "Well come to my college, kamu orang melayu terakhir yang saya beri percuma". terkejut saya mendengarnya. Kini sudah 2 minggu saya menjadi penuntut di Sels College secara rasmi. Pengajian memang memberangsngkan. Hanya 4 orang di dalam satu kelas membuatkan saya tidak segan untuk bertutur kerana baki yang 3 juga sama level dengan saya. Tetapi kira saya yang paling teruk berbanding yang tiga. Kini niat kedua saya datang ke sini telah Allah perkenankan. Hanya mahu atau tidak sahaja yang bakal menghalangnya.

Pejam celik masa berlalu begitu pantas. keluar pagi jam 8 pagi dan pulang sekitar jam 11 malam setiap hari membuatkan laman ini seolah-olah sudah kematiannya pemiliknya. Keberadaan saya di sini mungkin sudah tidak lama. Pengajian hujung minggu (kitab hadis 40) bersama komuniti melayu di Hendon, Ealing dan Brent sudah masuk hadis yang ke 16. kelas semalam lebih bermakna kerana Us. Erfi Nor (pegawai khas agama JPM London) turut serta menjadi mentor. Moga dapat diteruskan pada masa-masa mendatang. Ilmu di dada tidak banyak. rasa sudah habis dicurahkan semuanya. Tidak sabar untuk pulang ke Cairo semula untuk mengisi kekosongan yang amat banyak. Kekurangan bahan dan kitab di sini membuatkan saya sedikit sukar untuk mencari rujukan dan menjawab persoalan2 yang di ajukan.

Sekian sahaja catatan kali ini. Bas pun sudah kelihatan. Kaki terpaksa berlalu pergi. Salam mahabbah untuk semua. Ana Uhibbukum Fillah..

Wassalam

[+/-] Selengkapnya...

Friday, October 26, 2007

Kebangkitan Dalam Kepelikan.

Bismillah..

Salam sejahtera buat semua. Alhamdulillah syukur tidak terhingga dengan kurnian nikmat iman dan kehidupan, moga kita semua sentiasa berada di dalam limpahan rahmatNya. Sudah hampir 3 bulan saya berada di Kota Kehidupan London, maka selama itu jugalah pengalaman yang diterima mengajar dan mendidik jiwa muda yang mencari-cari erti perjalanan kehidupan. Jurnal jalan kehidupan ini tidak mampu melakar kesemua memori yang dilalui. Yang tertulis hanyalah yang terlekat di benak fikiran dan terkesan di dalam perlakuan.

Hari Raya yang lalu menggambarkan kepesatan dakwah Islam di Kota ini. Setiap masjid yang berada di kota ini dipenuhi Jemaah yang datang dari pelbagai negara, warna dan keturunan. Saya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti jemaah internasional di Regent Mouque (Central Mosque London) bagi merasai suasana sebenar perkumpulan bersejarah itu. Memang mengagumkan. Di tengah-tengah kota metropolitan ini, berdirinya tiang keimanan yang kukuh terpasak di dada-dada umat Islam mendepani cabaran sekitar yang menakutkan.

Walaupun Islam sudah semakin berkembang di Kota ini, namun ia masih lagi menjadi agama pelik dan sinonim dengan nama terrorist dan extremist. Agama yang kononnya mahu menguasai dunia. Agama yang katanya menekan para pengikutnya dengan pelbagai tekanan dan paksaan. Solat sehingga 5 waktu sehari, berpuasa sebulan dengan melarang perkara yang dihalalkan seperti makan minum dan hubungan suami isteri, keluarkan harta untuk orang miskin(zakat), makan hanya benda yang halal serta lain-lain lagi aturan Islam semuanya itu seolah-olah keterlaluan, syadid (ketat) dan dianggap sebagai penindasan. Sesiapa yang mahu beramal dengan ajaran Islam dianggap extremist dan pelampau agama.

Bagi mereka, jika anda muslim cukuplah anda mengucap 2 kalimah syahadah, tidak perlu nak tunjuk sangat bahawa anda beragama Islam. tidak perlu solat, tidak perlu bayar zakat dan tidak perlu dakwah-dakwah (mengajak orang kepada ajaran Islam). Sehingga memakai tudung pun mereka anggap sebagai extrem. Pelik. Memang Islam itu pelik. Nabi S.A.W telah berpesan kepada kita umat akhir zaman bahawa Islam itu akan dipandang pelik seperti mana ia datang suatu masa dahulu.

Mafhum hadis Nabi SAW : Bermulanya Islam itu dengan kepelikan (dagang & asing), kemudian akan kembali menjadi pelik (akhir zaman) dan beruntunglah orang-orang yang pelik itu. Hadis Riwayat Imam Muslim.

Siapakah yang pelik itu? Merekalah yang beramal dengan ajaran Islam, berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Nabi di akhir zaman. Seolah-olah islam itu ajaran baru. Yang lebih mengharukan, orang-orang yang beramal ini dipandang asing dan pelik oleh umat islam sendiri. Di pandang serong oleh sanak saudara dan kawan-kawan. Kalau teman se-Islam pun sudah begitu, apatah lagi non Muslim yang tidak tahu menahu mengenai ajaran Islam. Memanglah begitu keadaannya bagi sesiapa yang mahukan ISLAM secara total. Berpegang dengan islam di akhir zaman ini seperti memegang bara api. (mafhum hadis Nabi SAW). Tidak kuat dan kepanasan maka terlepaslah Islam dari genggaman. Bersabarlah wahai orang-orang yang kepanasan. Sesungguhnya panas bara itu hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan api neraka jahannam. Panas itu hanaya sementara. Keberuntungan dan tempat kembali yang damai adalah janji Tuhan yang pasti.

Wallaua'alam

[+/-] Selengkapnya...

Saturday, October 20, 2007

Salam Aidil Fitri

SALAM AIDIL FITRI DARI KOTA LONDON.
Solat hari Raya Aidil fitri (round 2) Regent Mosque, London.
Bismillah...
Salam Aidil Fitri buat semua pembaca dan pengunjung http://www.afais.blogspot.com/. Saya masih tidak berkesempatan untuk menulis pengalaman berhari raya di kota London. Gambar di atas adalah sebahagian dari kenangan manis di hari raya pertama. Kelihatan kebangkitan Islam di kota ini dengan kehadiran beribu-ribu jemaah menunaikan solat sunat Aidil Fitri di Central Mosque London. Solat dijalankan sehingga 3 kali ulangan iaitu pada jam 8 pagi, 9 pagi dan 10 pagi. Masjid dipenuhi dengan jamaah sehingga ke dataran luar. Sungguh menakjubkan. Insyaallah, pengalaman tersebut akan tertulis dalam tulisan akan datang.
Minal 'Aaidin Wal Faaizin.
Wassalam...

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, October 10, 2007

Allahumma Ballighna Ramadhan...

Bismillah...

Ramadhan yang datang sudah masuk hari ke-28. Ini menandakan tetamu istimewa ini (Ramadhan) bakal meninggalkan umat Islam tidak berapa lama lagi. Sebelum pemergiannya, Ramadhan menjanjikan bonus unlimited kepada mereka-mereka yang melayaninya dengan penuh rasa "imanan" dan "ihtisaban" antaranya Rahmat dari Allah Taala, Maghfiroh (Keampunan dari dosa-dosa), Itqun minannar (Terselamat dari api neraka), Malam Lailatul Qadar dan banyak lagi yang tidak penulis nyatakan di sini.

Sekadar muhasabah bersama, masa yang berlalu 28 hari lalu adakah sudah terisi dengan sebaiknya bersama tetamu kehormat ini. Memang begitulah sifat manusia, waktu bersama rasa bosan, benci dan tidak mengerti. Namun setelah hampir ditingalkan barulah terasa penyesalan, kenapalah tetamu ini disiasiakan..? Namun penyesalan hanyalah penyesalan, tetamu ini tetap akan pergi. Tahun hadapan tidak kita ketahui adakah kita akan dikunjungi lagi. Baki sehari dua ramadhan ini mungkin mampu mengubat penyesalan yang terbuku di hati. "Ma la yudraku kulluhu la yutraku kulluhu". Sesuatu yang tak mampu kita daptakan semuanya janganlah kita tinggalkan keseluruhannya. Maksimumkan layanan di hari yang berbaki. Namun yang biasa terjadi persiapan untuk menyambut syawal telah melenyapkan rasa penyesalan tadi. Ramadhan pergi tanpa ada sekelumit rasa sedih dan insaf terhadap kelemahan diri.


Hari raya dan Perantau.

Tahun ini saya bakal merayakan hari raya untuk pertama kalinya di sini (insyaallah jika panjang umur). Namun tahun ini mungkin saya akan beraya di tempat kerja jika hari raya jatuh pada hari Sabtu. Nama saya sudah ada dalam senarai petugas pada hari tersebut. Harap-harap tahun ini tidak tertinggal solat hari raya pula (tolonglah boss bagi saya solat raya). Begitulah suasananya di sini. Bagi perantau yang bertugas dan bekerja terutamanya yang bertugas di syarikat dan pejabat tempatan, hari raya hanyalah hari biasa yang membezakannya hanyalah pengharaman berpuasa pada hari tersebut bagi menzahirkan rasa kegembiraan setelah sebulan berpuasa. Hari raya di sini tidak diangap sebagi cuti umum kepada semua penduduk di kota ini disebabkan masyarakat Islam di sini hanyalah sekadar minoriti dari penduduk negara ini.

Bagi saya yang duduk menumpang bersama sebuah keluarga warga Malaysia di sini, kemeriahan persiapan sambutan hari raya agak terasa juga walaupun jauh di sudut hati saya terasa kesepian dan kekosongan dek jauh dari keluarga dan rakan-rakan. Bau kuih raya dari dapur Kak Siti, ketupat dan lemang yang sudah siap diikat hanya menunggu masa untuk di rebus membuatkan nostalgia aidilfitri di tanah air kembali bersemi. Namun, sudah saya katakan tadi, hati ini hanya diri sendiri (dan Allah) yang tahu.

Berbeza dengan waktu menyambut perayaan di kota Kaherah, persiapan agak meriah juga walau berjauhan dari keluarga. Tawa riang dari kawan dan taulan mampu mengurangkan rasa kekosongan berjauhan dengan keluarga. Ditambah dengan kondisi title mahasiswa yang berbeza dengan title seorang pekerja. Berada di perantau sebagai seorang mahasiswa lebih meriah berbanding merantau sebagai seorang pekerja. Itu pandangan peribadi saya melalui pengalaman yang saya lalui sekarang ini. Di tambah juga dengan status bujang yang menambah lagi rasa kekosongan, opss maaf ini sudah terkeluar dari tajuk perbincangan.


Raya Malaysia, Kaherah dan London.

Hari raya adalah hari untuk menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah Taala. Setelah sebulan berpuasa Allah SWT memerintahkan agar puasa sebulan tadi dihentikan dengan makan dan minum dan segala yang dihalalkan pada hari pertama Syawal. Hari raya juga digelar dengan "Eidul Fitr". Fitr bermaksud fitrah. Dengan tazkiah dan penyucian jiwa yang berjalan sebulan di bulan ramadhan diharapkan jiwa kita akan kembali suci seperti fitrah seorang bayi yang baru dilahirkan. Bersih dari segala noda dan dosa.

Hari raya di Malaysia sudah dianggap sebagai satu festifal dan perayaan agung dan tebesar di Malaysia. Cuti panjang, ziarah menziarahi, makan dan minum, bermaaf maafan, marhaban, duit raya, mercun bunga api (hukum duit raya dan mercun boleh rujuk di (zaharuddin.com) menjadi agenda sepanjang hari raya. Selagi masih ada syawal, selagi itulah hari raya akan disambut di Malaysia. Orang kata sudah puasa sebulan raya pun kena sebulan lah juga. Saya no komen. Bagi saya nak raya setahun pun tidak apa, asalkan tiada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pembaziran dan sebagainya.

Hari raya di Kaherah pula sangat pelik. Usai solat hari raya, masyarakat arab mula berbondong-bondong menuju ke taman-taman permainan dan pusat-pusat hiburan secara berkeluarga dan tidak kurang juga yang ber"couple". Kalau kita di malaysia sibuk dengan ziarah menziarahi, mereka pula sibuk ke tempat-tempat hiburan. Menurut penelitian saya, orang arab memang lebih gemar ke taman bunga dan taman permainan pada hari-hari cuti untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Satu fakta menarik, orang arab jarang sekali berdendam dan menyimpan kemaharan di dalam hati. Kalau mereka tidak puas hati, marah dan sebagainya mereka akan "meletup" dalam waktu yang sama kemudian setelah reda mereka terus bermafan. Berbanding dengan orang melayu, kita lebih suka simpan di dalam hati dan dikumpulkan kesalahan untuk di bawa ke hari raya. Jikalau setahun lagi hari raya maka setahun lah juga dendam dan kesalahan tadi dibawa. mungkin dengan fakta inilah orang arab tiada marhaban, ziarah menziarahi pada pagi hari raya. Sekadar pandangan sahaja.

Hari raya di kota London pula tidak saya ketahui bagaimana keadaannya. Namun antara yang menarik saya dengar, suasana solat hari raya disini amat meriah sekali sehingga ada masjid yang mengulang solat hari raya sehingga 5 kali dek kepadatan dan keramaian jemaah yang datang. Ye lah, jika solat jumaat pun sudah dibuat dua sesi, inikan pula solat hari raya. Suasana sebenar hari raya di sini insyaallah akan saya catatkan dalam jurnal yang akan datang.


Ramadhan ohh Ramadhan.

Ramadhan di malaysia memang amat meriah. Kemeriahan itu digambarkan dengan ribuan pasar-pasar ramadhan yang dibuka sepanjang bulan ramadhan. Segala macam kuih dan makanan yang sukar dijumpai akan ditemuai di pasar-pasar tersebut. Malaysia berubah menjadi syurga makanan. Orang bukan Islam juga mendapat manfaat sama dapat merasa segala macam juadah yang disediakan. Tambahan pula ada pelita-pelita dan lampu lap lip yang di pasang di akhir-akhir ramadhan menampakkan lagi kemeriahan tersebut. Namun begitu, suasana ibadah agak muram dan kurang meriah. Mungkin kerana takrifan meriah bagi masyarakat melayu Islam agak berbeza dengan takrifan meriah bagi warga negara arab.

Sepengetahuan saya, kebanyakkan negara arab menggelar ramadhan sebagai festival ibadah, bukan festival lampu dan juadah seperti yang berlaku di Malaysia. Bagi masyarakat arab, ramadahan itu lebih meriah dari syawal kerana ramadhan adalah perayaan ibadan. Ramadhan musim menuai amal kebaikan. Sedekah berleluasa, maidatul rahman merata-rata (juadah berbuka percuma), masjid penuh sesak solah-olah ada majlis penyampaian anugerah. Qiamullail menjadi budaya menjadikan masjid bercahaya sepanjang malam. Al-Quran di baca di mana-mana, di dalam bas, tepi jalan, bus stop dan tidak kurang yang hanya terkumat kamit menyebut zikrullah sambil memegang biji tasbih.

Itulah perbezaan kemeriahan dan budaya meyambut ramadhan. Takrif kemeriahan itu pada pandangan saya haruslah diperbetulkan semula. Bayangkanlah jika di malaysia orang lebih tertunggu-tunggu bila nak raya, bila syawal nak tiba, tapi di negara arab mereka tertunggu-tunggu bilakah pula Ramadhan akan menjelma. Masih lagi 6 bulan meniti ramadhan, orang-orang soleh terdahulu mula berdoa "Allahumma ballighna Ramadhan" Ya Alllah, sampaikan aku (usiaku) sehingga dapat menyambut ramadhan akan datang.

Sekian sahaja, "Barikillahumma Lana Fi Syahri Ramadhan" dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri dari saya di perantauan.

Minta maaf bagi yang menunggu artikel saya. Saya agak kesibukan, terima kasih atas sokongan dan teguran kalian. Minta maaf di atas segala kesalahan.


Waallahu'aalam

[+/-] Selengkapnya...

Sunday, September 23, 2007

Ramadhan Bulan Perubahan

Bismillah..

Bersua lagi di kesempatan masa yang ada ini. Masa yang mana jika kita tidak memotongnya maka ia pula yang akan memotong kita. Masa itu adalah kehidupan. Maka masa yang ada ini perlu diisi sebaiknya agar kita tidak tergolong di kalangan yang dinyatakan di dalam al-Quran sebagai " Demi masa, Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian". Manusia yang rugi adalah manusia yang mensia-siakan masa kehidupannya.

Ramadhan yang datang sudah masuk hari yang ke-11. Tahun ini saya dapat merasakan sedikit kelainan mengikuti ramadhan di sini. Kalau di Cairo setiap kali Ramadhan dipenuhi dengan suasana penuh gemilang dengan kelas Tafaqquh Syeikh Nuruddin, Tarawih dan tazkirah harian, Juadah berbuka puasa percuma (maidatul rahman), Iftor Jamaie (Break fast open haouse)dan di mana-mana orang bawa al-Quran dan baca Quran(Dalam Bas, tepi jalan, etc.) , namun di sini segalanya berbeza. Bukan kata Ramadhan di sini tidak meriah. Tidak begitu, bahkan orang di sini juga mengakui bahawa Ramadhan di sini adalah bulan yang paling meriah.

Antara yang meriah ialah mesjid penuh sesak dengan umat Islam di sini. Bulan Ramadhan menyaksikan betapa Umat Islam di London Ini sangat ramai. Kebanyakkan Masjid terpaksa buat Tarawih sehingga dua trip. Saya sahaja sudah berapa kali terpaksa beratur di luar masjid menunggu giliran untuk solat trip kedua. Masjid tu tak kecik. Empat tingkat tingginya. Naka kata ramainya umat Islam di sini. Di masjid lain pula saya dikhabarkan sehingga 5 trip solat aidil adha terutamanya di Regent Mouse (Masjid paling besar di Kota London). Allahu Akhbar..!!!

Masuk Islam vs Kelaur Islam

Saya tidak berapa pasti bilangan sebenar saudara baru (convert muslim) yang memasuki Islam secara bulanan di sini. Khabarnya memang ramai. Terutamanya semenjak peristiwa 11 september dahulu, semua orang mula mencari apakah itu Islam. Mereka yang masuk Islam pula kebanyakkannya adalah insan-insan gred A. Bukan calang-calang orangnya. Mereka ahli fikir, jurutera, Doktor dan pelbagai lagi status yang menunjukkan mereka memasuki Islam atas dasar kajian dan kefahaman tentang dakwah Islam. begitulah Allah Membantu agamanya. "Ketikamana datang 'Nasrullah' dan 'al-Fath', dan kamu akan lihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam Agama Allah Taala" - Surah al-Fath.

Di malaysia pula kita menyaksiakn orang berbondong-bondong keluar dari Islam. mengapa? Kerana mereka dapat Islam secara keturunan. Lahir dalam kalangan ibu bapa yang Islam. Sebab itu Islam bagi mereka tiada apa-apanya. Bukan masuk Islam atas dasar kebenaran dan kefahaman. Yang keluar Islam itu biasanya mereka yang mempunyai IQ yang rendah dan selalunya terpalit dengan masalah kesempitan hidup atau percintaan atau lebih tepat lagi mereka yang ingin bebas dari ikatan dan norma agama. Tulisan saya ini bukan tulisan yang membenarkan kenyataan sesetengah pihak yang berpendapat biarkan sahaja orang yang murtad ini kerana kalau duduk dalam Islam pun tiada gunanya (Mafhum katanya),(Hakikat kita perlu membenteras gejala murtad adalah kewajipan bersama seperti mana Saidina Abu bakar dan kaum muslimin memerangi golongan murtad yang tidak mahu membayar zakat suatu ketika dahulu), akan tetapi tulisan saya ini sekadar menyatakan hakikat bahawa mereka yang keluar dari Islam itu majoritinya adalah orang-orang bermasalah dan menjadiokan murtad sebagai jalan penyelesai masalah.

Atas dasar inilah, pemuka agama Kristian, budha dan segala macam agama lain yang ada di dunia mula risau degan kebangkitan Islam akhir-akhir ini. Apa tidak risaunya, manusia gred A semakin ramai yang memeluk Islam dan orang-orang yang berjaya mereka murtadkan pula tiada apa manfaat yang dapat di ambil dari mereka. Oleh sebab itu, mutaakhir ini mereka lebih giat menjalankan kegiatan mereka di univesiti dan pusat-pusat pengajian tinggi untuk mencari seberapa ramai orang-orang gred A yang boleh mereka pergunakan. Mereka tidak sedar agama yang benar hanya akan diterima oleh orang-orang yang benar dan lurus.

Bulan Ramadhan Bulan Perubahan

Kita bukan disuruh berpuasa untuk sekadar rasa lapar dan dahaga. Bukan untuk tahan nafsu dan perkara-perkara lain yang boleh membatalkan puasa. Kalau puasa kita hanya sekadar itu, maksudnya puasa kita tidak ada maknanya. Allah Taala memerintahkan kita berpuasa sebulan Ramadhan agar kita jadi insan yang bertaqwa. "Kutiba 'alaikumussiam kama kutiba 'alal lazina min qablikum la'allakum TATTAQUN". Taqwa pula bukan boleh dapat dalam masa sehari. Sebulan inilah medan untuk kita melentur ketaqwaan kita. Moga-moga dengan latihan puasa(puasa hati, mata, tangan, telinga fikiran dan lain-lain) sebulan ini akan membentuk kekuatan kita untuk menghadapi bulan seterusya. Apa yang kita kehendaki dengan puasa kita adalah kesan ketaqwaan ketika dan selepas ramadhan. Bukan hanya di dalam ramadahn.

Kalau kita boleh puasa mata (lihat maksiat), puasa telingan (dengar umpatan), puasa hati (hasad dengki), puasa tangan dan kaki (ke tempat maksiat) di bulan Ramadhan ini, kenapa nantinya di luar Ramadhan kita kembali kepada diri kita sebelum ramadhan. Harap-harapnya tidak begitu. Bulan Ramadhan ini adalah bulan perubahan dan islah. Sama-sama kita bertekad untuk berubah dan menjadi insan yang benar-benat bertaqwa kepada Tuhannya.

Menangis Itu Ibadah Dan Syafaat

Artikel saya sudah dua kali di tulis dengan tajuk menangis. Salah satunya bersempena bulan Ramadhan yang lalu. Saya tidak mahu berceloteh panjang lagi. Sekadar memuhasabah diri sudah berapa kali kita menangis memohon kemapunan dan mengakui dosa-dosa yang telah kita lakukan di hadapan Allah Taala dalam ramadhan ini. Bulan ini bulan rahmat, bulan keampunan dan pelepasan dari api neraka. Mintalah sehingga merah mata berlinangan air mata.

Kalau tidak pernah menangis lagi bak kata syeikh Nuruddin berlatihlah menangis sehingga anda boleh menangis seorang diri di dahapan Allah Taala. Kalau anda memang tidak mampu mennagis, menangislah kerana anda tiada upaya untuk menangis. Orang mumkin itu sifatnya banyak tangisan dari ketawa. Sama-sama kita muhasabah diri kita insyaallah..

Wallahu'aalam.

[+/-] Selengkapnya...

Saturday, September 01, 2007

Merdeka, Taqwa dan Syubhat

Bismillah...

Baru-baru ini negara kita telah menyambut hari kemerdekaan yang ke-50. Sedar tidak sedar tahun ini saya telah merayakan hari kemerdekaan di negara yang telah menjajah negara kita 50 tahun yang lalu. Penjajah telah menjajah tanah air, pemikiran dan meninggalkan kesan mendalam terhadap negara kita yang sehingga ke hari ini dapat kita lihat. Rakyat kita penuh dengan alemen kebaratan. Apa sahaja yang di bawa barat dirasakan wahyu Ilahi yang mesti dituruti. Undang-undang kita masih lagi bersumber undang-undang yang dirangka oleh Lord Reid dan sekutunya. Budaya masyarakat kita terutamanya muda mudi banyak terpengaruh dengan ragam muda mudi barat. Warna rambut, sosial bebas, hubungan sex suka sama suka, budaya black, super hero dan macam-macam lagi yang bertentangan dengan budaya timur dan adab-adab Islam tidak mampu untuk saya tulis di sini. Serdarlah kemerdekaan yang kita kecapi sebenarnya masih belum sepenuhnya. Merdeka 50 tahun hanyalah slogan semata-mata. Buatlah sambutan semeriah piala dunia pun nasib bangsa kita tetap sama. Moga arus perubahan yang dinanti-nantikan akan membawa negara kita ke mercu baldatun toiyibatun wa rabbun ghafur.

Soalnya apakah agen perubahan yang di nanti-nantikan itu? Ya, tidak dapat tidak agen perubah itu ialah "kembali kepada Islam" secara total 100%. Setiap ruang kehidupan kita mestilah di Islamkan. Bagaimana? Kalau pakaian kita terkena najis lebih-lebih lagi najis mughallazoh seperti najis babi dan anjing, kita akan basuh sebanyak 7 kali basuhan dan satu daripadanya dengan tanah. Apa pula pandangan anda dengan negara kita yang pernah di jajah oleh najis kuffar laknatullah adakah cukup dengan keluarnya najis itu dari negara kita sedangkan warna, bau dan rasa najis itu masih lagi melekat di dalam negara kita? Sudah tentu tidak. Pembersihan yang perlu di lakukan lebih berat lagi dari membersih najis mughallazoh yang kecil tadi. Pembersihan perlu dilakukan secara global dan melibatkan semua rakyat yang inginkan kesucian. Tidak dapat tidak pembersihan secara besar-besaran itu perlulah secara berjamaah dan jamaah yang perlu dituruti mestilah yang diyakini dan mempunyai alat yang lengkap dan kuat untuk membersih. Jika kita basuh bersendirin mungkin akan terlambat dan perlahan dan juga mungkin tidak akan kesampaian kerana najis ini telah mengotori negara kita dalam segenap aspek. Oleh itu carilah jamaah itu dan berkerjasamalah dalam membersih dan membawa Islam ke mercu kegemilangan. Jamaah apa yer...??? Cari sendiri. Jangan malas..!! Nak basuh baju sendiri pun malas ker.


Kita Semua Sama, Yang Membezakan Antara Kita Adalah Taqwa

Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang yang berpangkat Dato'. Tidak perlu saya sebutkan siapa namanya. Pada awalnya dia tidak memberitahu saya mengenai kedudukannya. Kisahnya cukup menarik. Minta saya datang ke rumahnya setiap hari untuk mengajar al-Quran. Terkejut juga pada awalnya. Dari mana Dato' ni dapat nombor telefon saya. Sesampai saya di rumahnya rupa-rupanyanya dia minta saya mendengar dan memperbetul bacaannya. Katanya dalam kesibukan bertugas di Malaysia sudah sebulan dia tidak membuka al-Quran. Saya lihat dia memang begitu bersungguh untuk memperbaiki bacaannya. Dalam buku kecilnya tertulis jadual bacaan al-Quran yang saya lihat memang terancang. Waktu di Malaysia pun dia akan memanggil guru-guru al-Quran yang bertugas di sekolahnya untuk mendengar bacaannya. Beliau menyatakan al-Quran ini seperti kekasih. Lama ditinggalkan maka akan rasa berjauhan. Lebih lama ditinggalkan akan mendapat kedukaan. Lama-lama lagi ditinggalkan maka akan terus dilupakan. Berat lidah menbaca setelah sebulan ditinggalkan.

Beliau juga menyebut bahawa ramai orang kota kita yang sudah jauh dari al-Quran. Jika membukanya sudah jarang-jarang, maka membaca dan mengikutinya apatah lagi. Beliau mengambil alternatif membuka sebuah sekolah pengajian al-Quran di tengah ibu kota dengan hasrat membuka ruang kepada warga kota yang mahu belajar mengaji al-Quran. Hampir 5000 orang dari semua peringkat umur telah mendaftar di sekolah berkenaan. Tindakan yang sepatutnya di contohi oleh orang-orang yang banyak duit@kaya. Saya lihat begitulah juga keadaannya di sini. Ramai orang yang mahu belajar dan mendalami al-Quran. Namun ruang dan peluang yang ada amatlah sempit sehingga terpaksa menunggu-nunggu untuk mengikuti kelas pengajian. Lama kelamaan semangat itu hilang dek menunggu peluang yang tak kunjung datang. Hanya ketaqwaan yang mampu memberikan ketahanan. Pangkat dan harta bukanlah bekalan yang memcukupi untuk mengadap Tuhan melainkan jika ianya disulami dengan ketaqwaan. Kita semua sama di dunia ini hanya taqwa yang membezakan.


Bahasa Inggeris, Kelas pengajian dan halal haram.

Malam Ahad lalu usai sudah kali kedua pengajian bersama komuniti west hendon. Malam itu tajuk yang dipilih hadis ke-6 dari hadis arbain an-Nawawiah. Yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas. Di antara keduanya ada perkara syubhat yang ramai manusia tidak mengetahuinya. Perbincangan malam itu agak mendapat perhatian. Pelbagai persoalan diajukan. Antaranya maksud al-Qalbu yang dinyatakan dalam hadis tersebut. Orang melayu menyebutnya "hati" dan orang putih mentakrifkannya "heart". Ramai yang keliru dengan Istilah tersebut. Heart bermakna jantung bukan hati. Yang mana satu betul? Saya pun tidak tahu. Jantung atau hati. Jika diikutkan, istilah jantung itu lebih tepat lagi. Siapa boleh bantu saya merungkai masalah ini. Di dalam hadis Nabi ada juga disebutkan setiap dosa tanpa taubat maka akan bertambah satu titik hitam yang akan meliputi al-Qalbu tadi. Lama kelamaan akan tertutuplah pintu hati (istilah melayu).

Setiap apa yang kita makan akan mempengaruhi tingkah laku kita. Lihatlah seperti harimau dan lembu. Kerana makan daging dan bangkai menjadikan harimau perlu berburu berbanding lembu yang makan vegitarian, sifatnya jadi lebih baik dari harimau. Begitulah makanan yang halal dan haram. Ia akan mempengaruhi perilaku kita. Juga perilaku anak-anak kita. Ia akan jadi buruk jika makanan yang diberikan adalah dari sumber yang tidak elok(Haram). Ramai orang tersilap faham dalam isu ini. Katanya yang penting daging yang kita makan disembelih, dibasuh dan dimasak itu sudah dikira makanan yang baik. Ya, bukan itu sahaja sebenarnya. Ia tidak dikira baik(halal) jika diambil dari sumber riba', judi, merompak, menipu dan lain-lain sumber yang haram. Tersebarnya sumber makanan yang tidak baik(haram) ini menyebabkan runtuhnya moral dan akhlak masyarakat kita terutamanya remaja hari ini. Berhati-hatilah dalam perkara halal dan haram. Juga dalam perkara yang syubhat yang tidak diketahui halal dan haramnya. Kerana sesiapa yang menjaga dan takut akan perkaa yang syubat maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang tidak takut dan berhati-hati dalam perkara yang syubhat, maka akan mudah terlibat dengan perkara yang haram (mafhum hadis).

Pada malam itu, saya bercakap dengan bahasa melayu 90% dan 10% bahasa inggeris. Teruk sangat sehingga terpaksa ambil seorang transelator untuk memberikan kesimpulan. Hadirin yang datang tidak semuanya faham bahasa melayu terutamanya adik-adik yang lahir di sini. Keesokkan paginya saya mengikuti uncle Kasubi (salah seorang yang mengikuti kelas malam itu) ke outside London bertemu rakan businessnya. Saya terkejut kerana beliau telah bertazkirah kepada rakan businessnya(seorang kristian) tentang isi perbincangan malam tadi. Teruja saya. Sampai mamat tu rasa khusyuk mendengar hujah Uncle Kasubi. Uncle tu cerita lebih baik dari apa yang saya sebutkan semalam. Dua kisah di atas menunjukkan betapa pentingnya penguasaan dwi-bahasa di kalangan para pendakwah. Madu' kita bukan orang melayu sahaja. Jadi mari kita kuatkan penguasaan bahasa arab dan inggeris kita insyaallah. Malu zaman sekarang ni ust tak boleh bercakap bahasa arab dan inggeris. Bukan sahaja malu malah ruang kita akan jadi terbatas jika hanya boleh berbahasa ibunda sahaja.

Setakat ini dahulu sahaja untuk kali ini.
Wallahu 'aalam


[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, August 22, 2007

Perjalanan Masih Panjang

Bismillah...


Kini sudah hampir 3 jumaat permusafiranku ke bumi asing ini. Rasa asing yang ku lalui dahulu kini beransur hilang. Satu petua yang saya perolehi dari seorang rakan untuk menghilangkan rasa keasingan di sini ~ Dont laugh before you say anything ~. Petua ini amat baik sekali untuk diamalkan oleh para pengembara atau siapa sahaja yang berada di tempat baru. Jangan malu untuk bertanya dan jangan takut untuk menjawab. Jangan ketawa sebelum anda berkata sesuatu. Di mana-mana pun begitulah masalah kita orang melayu, malu dan takut untuk bercakap dalam bahasa asing (arab, english etc) sebaliknya hanya tersengih dan takut untuk bercakap apabila disapa. Suasana di sini menjadikan saya tidak malu-malu untuk bercakap dalam bahasa inggeris walau dalam broken english.

Setelah hampir tiga minggu di sini, rasa rindu pula untuk bertutur dalama bahasa arab. Kebanyakkan orang arab yang saya temui di sini lebih gemar untuk bertutur dalam bahasa inggeris. Sebahagiannya memang sudah hilang arabnya. Gayanya juga sudah berubah jadi kebaratan. Namun hari ini kerinduan itu hilang seketika. Saya bertemu dengan seorang lelaki dari Aswan Mesir yang bekerja sebagai pemandu teksi di sini. Namanya Ahmad. Bahasa arabnya sungguh baik. pada awalnya saya tidak menyangka dia berasal dari Mesir. hilang segala lahjah mesirnya. Ga, maalish dan mush langsung tidak kedengaran. Berbual dengannya nampak seolah-olah saya pula yang berasal dari Mesir dek terkesan kuat dengan lahjah ammiyah.


Di Sini Bukan Untuk selamanya.

Ahmad menyatakan kepada saya di sini (London) bukan tempat yang selamat untuk menjana keimanan. Terutamanya bagi yang tiada asas agama dan tidak mencampuri langsung komuniti-komuniti yang berunsurkan keagamaan seperti masjid, usrah dan kelas-kelas ilmu. Hidup akan hanyut di sini jika kita tidak berjaga-jaga dan terikut-ikut dengan gaya kehidupan masyarakat di sini. Kiri dan kanan benda yang haram terpapar bak melambai-lambai agar di gapai. Segala-galanya ada di sini. Saya tidak nafian walupaun masyarakat di sini terkenal dengan akhlak yang baik-baik antaranya menepati janji, menghormnati, peramah dan lain-lain lagi, namun suasana itu tidak cukup untuk membangunkan hati.

Kebanyakkan yang ada di sini hanya menjadikan London sebagai tempat persinggahan sementara dan sekadar tempat mencari rezeki. Kata Ahmad London baginya hanyalah Ardhul Rizki. tempat untuk mencari rezeki dan dia tidak berminat untuk tinggal di sini untuk selamanya.

Keluarga-keluarga melayu yang saya temui juga kebanyakkannya berpendapat yang sama. Mereka agak sukar untuk memberikan pengajian agama yang sebaiknya kepada anak-anak mereka. Itu mereka sendiri yang akui. Bukan tiada tempat-tempat yang menyediakn perkhidmatan pengajian agama, namun ianya amat terhad dan amat sukar untuk mereka turuti. Setakat ini sahaja saya sudah berhadapan dengan ramai adik-adik (peringkat aqil baligh) yang tidak tahu cara untuk solat dan sebahagiannya tidak tahu langsung apa itu solat. Mengaji al-Quran apatah lagi. Itulah hakikat kehidupan di sini. Saya juga tidak mahu berlama di sini. Moga dengan kesibukan yang Tuhan aturkan ini akan menambahkan lagi pengalaman dan pengetahuan saya.

Belajar Itu Minal Mahdi Ilal Lahdi.

Rasa tidak tahu itu juga sudah di kira suatu ilmu kerana kita mengetahui kemampuan ilmu yang kita miliki. Semakin tinggi kita belajar semakin banyak benda yang bermain di kepala. Benarlah Firman Allah di dalam al-Quran yang menyatakan ilmu Allah itu jika ditulis dengan dengan mata pena yang bertintakan lautan yang berbilang-bilang pun tidak akan cukup untuk mencatit ilmu Allah Taala. Ilmu yang ada pada kita ini mungkin tidak sampai setitik dari lautan yang luas tadi.

Pelbagai persoalan diajukan kepada saya di sini dan banyak yang tidak mampu saya ulas dan berikan jawapannya. Di tambah pula minggu ini bermula kelas pengajian hujung minggu untuk komuniti keluarga di west hendon dan kilburn. Berdebar juga rasa hati bila pak cik-mak cik ni jemput untuk isi pengajian mingguan mereka. Namun bagi saya ia amat baik juga untuk diri saya sebagai latihan dan murajaah kepada pengajian-pengajian saya yang lalu. Ilmu jika lama tidak di belek-belek akan hilanglah ia dan gelaplah jiwa. sesiapa yang 40 hari tidak mengikuti kelas kelas pengajian agama maka akan keraslah hatinya dan sangat mudah untuk tercebur ke lembah kemaksiatan kerana ilmu itu nyawa hati. Itulah pesanan Rasulullah SAW kepada Saidina Ali r.a.

Tulisan Ini Hanya Tulisan Bersahaja.

Terima kasih kepada yang sudi bertandang dan memberikan komen yang membina kepada saya agar penulisan di sini mampu berdiri sama tinggi dengan web site-web site ternama seperti zaharuddin.com, saifulislam.com dan lain-lain lagi penulis yang berkongsi pengalaman dan ilmu dalam bentuk yang ilmiah dan standard. Tidak seperti laman kecil ini yang lebih santai dan nampak seperti syok sendiri sahaja. Namun, komentar itu ada baiknya juga. Mungkin saya perlu menulis di laman yang lain untuk penulisan yang lebih standard dan dipenuhi dengan materi ilmiah, tarbiah dan tajribah.

Bagi saya, ruang kecil ini adalah stor untuk menyemai minat saya menjadi seorang motivator atau moderator suatu masa nanti. Untuk itu, saya perlu belajar menjadi pendengar, pemerhati dan penilai yang baik. Di sini saya cuba untuk mengasah minda dan idea agar lebih tajam dalam menilai sesuatu isu dan perkara.

Pengalaman Gagal Tidak Sama Dengan Pengalaman Berjaya.

Saya mendapat berita ramai-kawan dan adik-adik yang gagal dalam peperiksaan yang lalu. Ada yang bawa 3, 4, 5 dan ada juga yang lebih dari itu. Percayalah bahawa setiap yang di lalui itu telah diatur oleh Pencipta yang maha Esa yang tahu apa yang terbaik buat diri kita.

Saya selalu mengingatkan kawan-kawan agar bersabar dengan kegagalan kerana di sebalik kegagalan itu ada sesuatu perkara yang tersirat yang perlu difikir dan dijadikan iktibar. Pengalaman gagal itu tidak sama dengan kejayaan. Walaupun perit di sebaliknya terdapat 1001 hikmah dan pengajaran. bagi yanag ada madah sedikit jangan disia-siakan masa yang ada. Mungkin itu masa yang Allah kurniakan untuk diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Isilah dan rancanglah ia dengan sebaiknya.

Saya juga pernah merasai kegagalan. Sewaktu gagal saya semak semula setahun yang saya lalui sebelum kegagalan. Banyak hak-hak yang tidak saya tunaikan. Hak hati, hak kawan-kawan, hak persatuan dan yang lebih utama hak dengan Tuhan. Hak dengan hati, hati kita banyak dendam dan kotor dengan segala macam penyakit hati. Hak dengan kawan waktu kawan susah kita buat tidak tahu. Hak dengan persatuan kita tak bantu dan tolong bila-bila perlu. Persatuan itukan jamaah. Lari dari kesatuan bererti lari dari jamaah. Hak dengan Tuhan tidak perlu saya cerita. Koreksi diri kita bersama. Mungkin itulah hikmah kegagalan yang kita terima.

Jangan terleka dengan paper yang sedikit nanti. Biasa yang saya lihat begitulah. Semakin sedikit paper yang di bawa semakin malas jadinya. Masa yang banyak itu boleh di isi dengan kelas-kelas bahasa, kelas tafaquh dan macam-macam lagi perkara yang berfaedah. Jangan pula malu dengan kegagalan. Jangan pula terlalu kecewa dengan kegagalan. Semakin cepat pulih kita dari rasa kegagalan semakin banyak perkara yang dapat kita selesaikan, insyaallah. Moga kalian sabar dan tabah dengan ujian kegagalan.

Sekian sahaja coretan kali ni. Bertemu lagi di lain masa dan ketika. Salam mahabbah dari perantauan.

Wassalam, Wallahu'aalam.

[+/-] Selengkapnya...

Sunday, August 12, 2007

Jalan-Jalan Di Kota Kehidupan

Bismillah,


Bertemu kembali di lembaran ini. Lembaran yang mencatat perjalanan seorang musafir di bumi Tuhan. Hampir seminggu saya di sini. Hari jumaat (semalam) solat di Malaysian Hall. Terdetik di dalam hati, rundu dengan khutbah jumaat di Masjid Zahraa yang berdentam dentum bunyinya. Isinya juga penuh mesej walau kadang mata juga terlelap di canai ngantuk yang tak hilang-hilang. Pagi jumaat itu saya rasa bertambah sedikit kekuatan kerana sehari sebelum itu (khamis) sudah berkenalan dengan sebahagian warga Malaysia di situ. Sewaktu Yasinan petang itu, saya telah ditarik oleh Uncle Zainal (pegawai JPM) untuk membawa yasinan, Tahlil (yang ada orang kata bidaah tu) dan tazkirah ringkas. Tetamu petang itu agak ramai juga. Jadi peluang itu memberikan saya sedikit gambaran tentang keadaan sosial sebahagian warga Malaysia di sini. Saya terpaksa jadi bidan terjun kerana ustaz yang sepatutnya membawa program itu tidak dapat datang di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Suasana di sini agak menakutkan saya. Any time jumpa orang tak terjangka permintaannya. Ye lah, USTAZ ni bukan untuk diperdagangkan dan bukan juga untuk dimegah-megahkan. Saya tak minta pun panggilan tu. Tapi kalau dah namanya orang belajar bab agama ni tak nama ustaz pun kenelah ready any time. Kalau dipanggil secara mengejut terutamanya dalam bab-bab kemasyarakatan dan keagamaan ni perlulah dipenuhi walaupun sebenarnya diri ni pun tak lah bagus mana. Bak kata hukamak, sedikit yang namanya ilmu tu jika disampaikan tidak sedikit namanya. Qalilum minka la uqalu lahu qalil. Yang penting jangan takut untuk mencuba suatu yang baru. Banyak ilmu pun kalau takut tak akan jadi apa dengan ilmu itu.

Begitulah juga keadaannya kalau kita pulang ke tanah air nanti. Tempat-tempat stratergik seperti masjid dan surah jangan lupa untuk dikunjungi. Bukan setakat dikunjungi, tetapi perlu diberi perhatian sepenuhnya kerana di situlah bermulanya langkah pertama seorang USTAZ sepatutnya. Kalau ustaz pun dah tak pergi masjid, tak taulah saya nak kata apa. Latih-latihlah diri di mesir untuk selalu solat di mesjid dan di surau. Moga jadi orang yang hatiya lekat dengan Masjid dan surau. Tidak jadi penceramah, imam, tok siak dan lain-lain jawatan pun, cukuplah dengan keberadaan kita di masjid dalam setiap solat lima waktu dan pergaulan kita yang baik dengan warga masjid dan surau. Lisanul hal itu lebih power dari lisanul maqal. Perbuatan kita ke mesjid itu jadi kekuatan kepada orang disekitar kita. Jangan sampai orang sebut, alah ustaz pun tak pegi mesjid. Satu fitnah yang kita sendiri melakarnya.

Di sini juga saya berkenalan dengan 4 5 kumpulan ibu bapa yang minta saya mengajar anaknya mengaji al-quran. Insyaallah akan cuba saya turutkan. Namun tak tahulah saya masa yang sesuai kerana kerja yang dinanti-nanti telah datang. Isnin ini masuk ke kedai MAKAN. Saya kasihan melihat adik-adik itu yang mahukan tenaga pengajar untuk mengaji al-Quran. Sentiasa berubah-ubah guru dan tempat pengajian. Akhirnya, Alif ba Ta ajalah dapatnya. Saya berhasrat belajar untuk mengajar adik-adik itu semoga dapat melatuh saya bertutur dalam bahasa inggeris kelak. Adik-adik tu fasih la cakap orang putih. So, dapat lah kongsi ilmu sikit sambil ajarkan adik-adik tu fardhu ain. Saya lihat kesungguhan ibu dan ayah mereka mahu kepada agama. Namun di sini kemudahan agak terbatas. Dapat jugalah saya lepas rindu, dah lama tak jumpa anak-anak saudara di tanah air.

Ada juga sebahagian pak cik mak cik yang minta untuk isi program mingguan mereka. Program pengajian agama. Erm, takut juga. Pak cik tu kata soalan biasanya benda yang pelik-pelik. Tapi saya kata saya dah ada jawapannya insyaallah untuk setiap soalan mereka. Tidak tahu untuk setiap soalan yang saya tidak tahu menahu, hehe. Kalau tahu jawabla, susah mana nak kata tak tahu. Imam malik pun biasa-biasa je jawab tak tahu. Tak tahu tu pun sudah sebahagiuan ilmu. Kita tahu yang kita tidak tahu. Cuma program ni tak pasti lagi bila akan berjalan. Katanya setiap hari sabtu. Namun bergantung juga pada jadual bertugas saya nanti. Kalau dapat isi nanti elok juga. Dapat saya mentelaah kitab-kitab dan bahan rujukan nanti. Kalau tak bukak nanti ada blur juga pala saya ni.

Di sini alhamdulillah saya dipertemukan dengan kawan-kawan yang baik hati. Tumpangkan rumah, bawa jalan-jalan, carikan kerja dan macam-macam lagi. Moga suasana ukhwah seperti ini akan berterusan tanpa ada sebarang kepentingan. Mereka juga cari kekuatan dan saya juga perlukan mereka untuk sama-sama dapat kekuatan. Betullah kata Nabi, Islam itu dengan jamaah. Baik jamaah yang kita campuri baiklah kita. Kalau kita hidup bersendiri, syaitan akan jadikan kita jamaahnya. Habislah kita. So jangan suka duk sorang-sorang. Kelak di baham serigala yang sentiasa kelaparan. Syaitan tu Nabi gambarkan sebagai serigala yang membaham kambing yang keseekoran.

Setakat ini dahulu untuk kali ini. Hari ini agak penat sedikit kerana penat meneroka kota London. Belajar-belajar guna train, tiub, bas jalan-jalan di sekitar central. Insyaallah jumpa lagi di masa akan datang jika tangan ini berkesempatan untuk melakar dan akal penuh dengan kelapangan.

Wallahuaalam...

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, August 08, 2007

Dunia Baru Yang Lebih Mencabar...

Bismillah...


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menciptakan alam yang sangat luas dan indah. Rasa di hati tidak mahu menulis lagi di sini buat sementara waktu. Namun walau di mana bumi di pijak di situ juga jurnal jalan kehidupanku akan berlalu. Jadi apa salahnya jika saya mahu berkongsi dari pandangan sudut bumi yang amat berbeza, sangat berbeza dan asing bagiku.

Kalau dahulu jumpa siapa sahaja tiada masalah untuk saya memberi salam namun kini satu nikmat sudah ditarik sementara, nak bagi salam terpaksa pandang-pandang. Takut tersalah beri salam akan dipandang serong orang tidak memasal.

Kalau dahulu pergi mana-mana kedai walau kotor manapun ia tidak risau-risau untuk membeli makanan, namun kini walau ada cop halal pun rasa seriau dan takut untuk singgah makan. Apa tidaknya, sudahlah harghanya sangat mahal (cth : saya beli syawarma sebab dah terlalu lapar dengan harga 2.90 pound = LE 30)dan sebahagian gerai yang menjadikan lambang halal sebagai daya penarik semata-mata. Memanglah, walau ayam atau daging yang digunakan diperolehi dari pihak yang dipercayai, namun masakan dan bahan-bahan lain yang digunakan tiada siapa yang mampu memastikannya. Kesimpulannya, saya boleh jadi kurus di sini. Kira ini satu perkara positif buat saya.

Kalau dahulu saya tidak risau untuk tidur di waktu malam, tapi kini amat risau kerana waktu subuh amat rapat dengan waktu isyak. Mudah sangat untuk solat subuh gajah atau dinosour. Dan mudah juga untuk solat isyak semut dan pijat. Waktu isyak jam 11.00 mlm dan subuh jam 2.45 pg. Sunnguh mengerikan.

Kalau dahulu tidak susah bagi saya untuk mencari masjid dan mendengar seruan azan kemudian bersolat secara berjamaah, tapi kini tidak di sini. Sudah 3 hari saya tidak mendengar azan dan solat berjamaah. Nampak mesjid pun agak sukar walau sebenarnya di London ni banyak juga masjidnya. Namun amat jauh antara satu masjid dengan satu mesjid yang lain. Bagi yang mudah-mudah nak dengar azan dan faham akan kepentingan solat secara berjamaah, hidupkanlah syiar itu sebelum nanti Allah tarik nikmat mudah itu dan kita akan jadi rindu setelah ianya di tarik dari kita. Percayalah.

Ini satu lagi, lagi lagi saya takut. Moga dijauhkan dari malapetaka ini. Invironment di sini amat sesuai untuk kita mengamalkan seruan al-Quran yang bermaksud tundukkanlah pandangan (untuk menjaga mata dari pandangan yang tidak tentu hala). Sakit mata saya. Dah lah saya ni bujang. Pemandangan di sini macamlah yang ada dalam filem-filem mereka. Tak perlu saya nak cerita. Moga diselamatkan dari perkara-pekara yang tidak diingini. Harapnya rehlah ini jadi rehlah imaniyah bukan rehlah yang merosakkan iman dan diri. Ameen.

Kalau ada yang masih tidak tahu saya sudah di sini saya minta maaf kerana tidak memberitahu kalian. Saya tidak mahulah kecoh-kocoh sangat sebab saya bukan nak pegi mekah dan madinah tempat yang kawan-kawan boleh kirim doa. Bukan nak balik mesia tempat yang kawan-kawan boleh kirim barang untuk sanak saudara. Tapi saya nak pergi jalan-jalan negeri David Backhem. Tiada rasul yang lahir di negeri ini (Kalau tidak silap sayalah). Jadi kalau saya bagi tahupun sahabat-sahabat tak leh nak kirim barang. Kalau nak kirim doa rasanya di mesir tu buminya lagi barokah. Ramai Rasul-Rasul, Nabi-Nabi dan para imam-imam besar yang sudah berpijak di bumi itu. Tapi rasanya saya tidak menipu kalain kan. Kalian tanya saya bila saya balik Malaysia. Saya cakap insyaallah saya SAFIR 6 haribulan. Jadi jangan marah saya yer.

Terima kasih buat kawan dan teman-teman seperjuangan yang banyak membantu saya sepanjang urusan saya ke sini. Ust Gani, Ust Kemal, Ust mahbob, Ust Jelan, Ust Asri, Ust Hairi, ust Apis, ust Yazid dan semua ustaz-ustaz lah yang tidak mampu saya sebutkan namanya di sini. Moga urusan kalian dipermudah dan mendapat ganjaran pahala yang berpanjangan dari Allah Taala, Ameen.

Saya rasa setakat ini dahulu untuk kali ini. Rumah yang saya duduk kini dekat dengan stadium wambeley. Tapi sayang saya jauh dengan all traford. Jadi mungkin tak berpeluang untuk ke sana. Duit kat poket ni pun bukan banyak sangat. Tengok kat television jer lah. Bagi akhmal & Anis, Arsenal pun dekat je kat sini. Kalau kalian nak suh saya amikkan gambar or belikan baju origenal yang sangat mahal (kalau kira pakai LE lah) insyaallah ada masa dan rezeki saya leh bawakan nanti. Tapi elok kalau kalian yang datang sini sendiri kan. Bukan jauh sangat, 4 jam jer mai.

Oklah, saya sentiasa harap doa-doa kalian. Moga rehlah ini bertepatan dengan seruan Allah SWT yang : [Katakanlah (wahai Muhamad) berjalanlah di muka bumi Allah, dan lihatlah bagimana jadinya bagi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat ku)]. Salam rindu dan hormat buat teman-teman dan adik-adik bumi di Cairo. Moga ketemu lagi di dalam siri-siri pertemuan mahabbah yang akan datang. Insyaallah, jika ada rezeki saya akan uploadkan gambar-gambar menarik di sini nanti.

Sekian, wassalam.
Wallahu'aalam.

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, August 01, 2007

Berbakti Pada Guru Dapat Sama Hasilnya

Bismillah…


Kala ini waktu subuh baru sahaja menjelma. Usai solat subuh pagi ini, saya duduk sebentar di depan komputer. Pagi ini pagi istimewa bagi saya dan seisi rumah saya. Kami di hadiri oleh tetamu yang kami pun tidak sangka akan menyambutnya. Kalau nak kata tetamu tu rumah kami alhamdulillah memang tidak pernah lekang dari kehadiran tetamu. Namu tetamu kali ini sangat istimewa kerana beliau adalah Syeikh Abdul Azim Syaaban, guru al-Quran kami bersama cucu beliau, 'Izz. Bersama kami juga Syeikh Basir dan Syeikh Zarul Saleh yang turut membantu berkhidmat untuk Syeikh.

Entah bagaimana percaturan Allah sehingga tergerak hati Syeikh untuk menziarahi kami serumah. Malahan bukan sekadar berziarah, hari ini Syeikh juga tidur di rumah kami. Allah, seronoknya. Moga kehadiran tetamu yang mulia ini membawa keberkatan kepada kami semua dan mengeluarkan kegelapan dari rumah kami. Syeikh datang ada tujuan tersendiri. Mahu siapkan sijil sanad untuk pelajar-pelajar yang bakal khatam mengaji bersama Syeikh.

Hari-hari terakhir di sini agak memenatkan juga. Namun, bila difikirkan semula seronok dan rasa gembira. Apa tidaknya sedikit demi sedikit cuba mengikis sikap menangguh kerja dan suka tudur pagi yang bersarang dalam diri sejak berkurun lama. Masa yang dah sedikit ni terpaksalah susun semua gerak kerja agar dapat disipakan dalam waktu yang dijanjikan.

Saya ada suatu perkara yang nak dikongsi pada kali ini. Sewaktu menulis rentetan sanad syeikh bersama guru-guru beliau, saya melihat beliau banyak berkhidmat untuk guru-gurunya. Saya terpanggil untuk berkongsi bersama siding pembaca semua. Sebenarnya berkhidmat dan berbakti kepada Tuan Guru ni terlalu banyak hikmahnya. Kalau nak dikutkan banyak tempat yang Syeikh mengaji dan kebanyakkannya pasti syeikh akan menjadi khadam kepada guru tersebut sehingga ada suatu kisah sewaktu berguru dengan salah seorang guru beliau yang buta yang menjadi muqrik di zamannya masa syeikh banyak dihabiskan untuk berkhidmat sehingga tidak sempat khatam pengajiannya. Namun, keberkatannya tetap mengalir di dalam diri Syeikh disebabkan keikhlasan hati beliau berbakti kepada gurunya.

Kita zaman ini agak sukar untuk berjumpa dengan murid yang mampu menjadi khadam untuk guru 100%. Kelas pun selalu ponteng. Guru pula kita sering perkecilkan. Guru tu begitu begini. Kalau kita ni hanya mencari keburukan dan kekurangan guru memang kita akan dibukankan dengan kelemahan dan kesalahannya yang banyak. Tapi jika kita mencari dan mengambil istifadah dengan kebaikan pada seorang guru, insyaallah kita akan ditutup dari melihat aibnya dan moga-moga kita akan mendapat keberkatan dari Allah Taala melalui kebaikan guru tadi.

Kalau kita ingin berbakti seperti mana Tuan-tuan guru kita berbakti kepada guru mereka suatu ketika dahulu memang agak sukar. Zaman pun telah berubah. Banyak pengajian yang hanya berorentasiakn peperiksaan. Sehingga guru zaman ini pun hanya melihat anak murid dari kaca mata peperiksaan. Bukan mahu mendidik tetapi mahu mengisi kekosongan dan sebagai sumber pendapatan semata. Tu yang macam-macam kes kita dengar di Malaysia. Anak murid cekik leher guru. Guru cabul anak murid. Guru belasah anak murid, murid bantai guru dan macam-macam lagi. Rosaknya institusi sekolah kini. Pasal apa? Semua gara-gara orentasi peperiksaan tanpa ada penekanan dalam pembinaan syaksiah dan pembangunan modal insane. Jumpa guru hanya di sekolah sahaja. Luar sekolah dia bukan guru akau dia bukan anak murid aku.

Tiada lagi rasa hormat dan respect anak murid terhadap guru. Anak murid semakin nakal dengan pelbagai ragam gejala social yang membimbangkan. Semalam ada kes 9 pelajar wanita tingkatan 4 dari sebuah negeri bantai, terajang, belasah dan kemudian tanpa segan silu membogelkan sehingga tiada seurat benang dan seterusnya merakam adegan bogel mangsa yang juga wanita gara-gara tidak puas hati dengan pelajar wanita tadi. Ganas ooo. Ini dah macam sek-sek mafia ni. Dah la ganas macamtu, lepas tu main tinggal jer kawan tu dalam keadaan berbogel di tepi jalan. Apa nak jadi budak-budak ni. Tak pening kepala cikgu zaman ni..!

Saya baca berita ni pun jadi pening kepala. Kira zaman sekarang bukan sahaja kawan lelaki bahaya bagi adik dan anak perempuan kita, bahkan kawan wanita juga sangat berbahaya dan pemangsa kepada kawan wanita yang lainnya. Dah wanita nak kawan dengan sapa lagi.

Kes lain pula Ustaz cabul budak. Ni lagi sakit kepala saya baca. Memang la kalau orang belajar agama, faham agama, dapat title ustaz pula tu, kalau buat salah nampak lebih besar dari orang biasa yang buat salah. Malas nak komen banyak kes ni la. Cuma ni pengajaran bagi bakal-bakal ustaz, kahwin la cepat-cepat. Zaman sekarang ni anak murid dah pandai mengurat cikgu. Pernah pengalaman saya dengar cerita abang saya yang baru masuk kerja jadi guru agama di sekolah agama petang di ngurat dan dikenyit anak muridnya yang perempuan yang baru darjah 6 sekolah agama (tapi tingkatan 3 sekolah menengah la). Tak peninga kepala ustaz. So, kalau dah kahwin kan senang sikit. Tak lah terpedaya dengan anak-anak murid ni. Berkahwin tu kan melengkapkan sebahagian lagi iman. Tapi zaman sekarang kahwin ni bukan senang kan. Ni kena bagi kursus kat mak ayah zaman sekarang agar cepatkan dan jangan tangguh-tangguhkan tempoh bujang anak-anaknya. Kahwinkanlah anak tu kalau dah bertemu jodoh yang sesuai walau terpaksa membantu pada awalnya. Maslahah lagi besar pak cik mak cik. Tak kesian ker dengan ustaz tu.

Ni dah jau merapulah ni. Oklah, ni ambil kesempatan sementara Syeikh masih berehat di bilik sebelah. Pasni nak kena siapkan lagi tulisan yang masih tidak selesai. TQ for ustaz Basir dan Ustaz Ghani yang sama-sama membantu menaip. Dah lama tak menaip jawi ni terkial-kial nak cari huruf. Oklah, buat mahasiswa/wi tahun akhir jumpa saya nanti insyaallah di perkumpulan mahasiswa/wi tahun akhir (HEMAT). Ada perkara yang boleh dikongsi bersama di sana nanti, insyaallah. Slot saya petang jam 1.30.

Wallahu'aalam.


[+/-] Selengkapnya...

Saturday, July 28, 2007

Rehat Suatu Kemestian?

Bismillah…


Entri kali ini mungkin tidak banyak maknanya bagi yang tidak memahami. Ini bukan ruang untuk menyatakan isi hati sendiri yang tidak memberi faedah kepada orang lain. Kalau ada artikel saya yang lalu berbentuk luahan hati yang tidak memberi faedah kepada sidang pembaca budiman saya minta maaf.

Mungkin kehadiran saudara semua ke laman ini agak sia-sia kerana tiada manfaatnya. Saya berhasrat untuk menyatakan perjalanan hidup saya yang boleh dijadikan panduan atur hidup kita bersama. Sebab itu laman ini saya namakan jurnal jalan kehidupan.

Manusia dikurniakan dengan masa. Masa yang dikurnikan pula semuanya sama dengan top up 24 jam setiap hari. Manusia juga diuji dengan tanggung jawab. Banyak dan sedikit tanggung jawab di dalam kehidupan bergantung kepada kemampuan dan kewarasan pemikiran kita. Ada orang kata kita tidak punya masa yang cukup untuk memenuhi semua tanggung jawab kita. Al-wajibat akstaru minal auqat. Saya juga mengakui kenyataan itu. Memang benar jika kita sedar sebenarnya tanggung jawab selaku seorang muslim itu terlampau banyak. Sehingga tiada istilah masa lapang dan waktu untuk berpoya-poya. Namun itu bukan bermaksud kita tidak punya masa untuk berehat.

Di dalam sebuah hadis nabi SAW, ada menyeut mengenai keperluan berehat di dalam diri manusia;

Maksudnya : Berpuasa dan berbukalah, Jaga dan tidurlah kerana sesungguhnya bagi jasadmu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, bagi matamu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, dan bagi pasanganmu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, dan bagi jiwamu(roh) itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan.

Jelas di sini bahawa rehat itu perlu dalam kehidupan kita. Tertolaklah kata-kata yang menyatakan tiada rehat di dalam perjuangan. Kerana rehat itu adalah fitrah dalam kehidupan insane. Hanya cara kita menguruskan waktu rehat itu yang memerlukan kepada kebijaksanaan. Masa rehat perlu dirancang. Jika tidak, hak-hak yang sepatutnya ditunaikan di atas tidak akan kesampaian.

Saya melihat pelbagai ragam orang mengurus waktu rehat mereka. Ada yang berehat dengan tidur sepuas-puasnya. Ada yang pergi berkelah. Ada yang melayari internet, berchating, menelefon orang-orang tersayang, layan fifa 2007 dan macam-macam lagi. Rehat bebas bergantung kepada jiwa sesorang asalkan ia tidak melanggar batas-batas syarak. Pernah suatu ketika saya bekerja dengan seorang rakan dalam sesuatu program, setelah selesai program ia minta waktu rehat dari saya. Katanya saya sudah terabai banyak zikir dan aurad saya waktu program. Saya mahu rehat untuk dapatkan semula kekuatan rohani saya. Aduhh..bagusnya waktu rehat begitu. Kalau saya pula waktu exam adalah waktu paling rehat dalam hidup saya, sebab dapat duduk dirumah tanpa panggilan telefon dan gangguan.

Ada juga yang saya lihat tidak menjaga dan merancang waktu rehatnya. Sehingga cengkung dan tiada seri di wajahnya. Tiada rehat akan menyebabkan tekanan. Wajah nampak tua (macam saya). Akal dan pemikiran akan jadi sempit. Hati juga boleh jadi rosak. Apabila kita merasakan diri kita paling banyak melakukan kerja, kita akan menuding kawan-kawan kita yang lain hanya duduk rehat semata-mata. Kan sudah rosak hati kalau macam tu. Ikhlas sudah tiada lagi kalau begitu. Ada pula yang lebih dahsyat lagi kesan diri dan jiwa yang tidak mendapat rehat yang cukup. Futur dan rasa malas untuk bekerja akan menanti di hadapan kerana jasmani dan rohani telah over flow. Lebih had dan ketahanannya.

Pihak kepimpinan perlu memainkan peranannya dalam hal sebegini. Lihak ajk yang berada di bawah anada. Adakah mereka terbeban dengan kerja yang teralu banyak sehingga tidak cukup tangannya. Mereka malu untuk menyatakannya takut orang akan kata mereka menguingkit kerja yang telah mereka buat. Jadi pimpinan tertinggi perlu prihatin terhadap suis-suis ini takut jika sudah terbakar nanti agak sukar untuk mencari gantinya.

Kesimpulannya, saya menyeru kepada sahabat-sahabat agar ambillah waktu rehat secukupnya. Berehat itu tuntutan dan kerja juga merupakan tuntutan dan tanggung jawab. Imbangi keduanya agar semua hak-hak yang tersebut tadi mendapat tempat yang sewajarnya.

Saya ambil kesempatan ini mohon maaf pada pihak yang berkenaan kerana kerja yang saya pikul banyak yang tidak sempurna. Kerana saya juga orang yang lemah dan perlu mengambil sedikit rehat. Saya amat risau waktu sedikt yang berbaki ini akan mencela saya kerana apa yang saya tinggalkan terbengkalai dan tidak mencapai matlamatnya. Maafkan saya semua.

Wallahu'aalam..


[+/-] Selengkapnya...

Sunday, July 15, 2007

Bertalaqi al-Quran Satu Tuntutan..

Bismillah..

Mungkin ini kali terakhir saya menulis menggunakan khidmat AMILO Pi 1505 keluaran Fujitsu Siemens ini. Oleh itu sebelum berpindah milik kepada insan lain, elok saya ambil kesempatan ini untuk menulis dan mengabadikan jasa AMILO yang amat banyak buat diri saya. Hampir 8 bulan saya menggunakannya, kini ia bakal berpindah milik kepada sahabat saya, Azizulhisyam yang bakal pulang ke tanah air hari Selasa ini.

Justeru AMILO akan sampai ke tanah air lebih awal dari saya. Saya amat puas hati dengan AMILO. Jika tidak disebabkan oleh keperluan yang lebih besar, saya tidak akan menjualnya kepada orang lain kerana ia sangat hebat berprestasi.

Dua tiga minggu ini amat penat saya rasakan. Di akhir-akhir keberadaan saya di sini dipenuhi dengan pelbagai taklifan peribadi dan persatuan. Namun ianya amat baik saya rasakan. Jika tidak, masa pagi mungkin banyak dihabiskan dengan tidur yang tidak kunjung puas. Yang paling mencabar saya rasakan adalah talaqqi al-Quran yang setiap hari perlu saya ikuti. Sudah hampir 5 tahun saya mendapat didikan Syeikh Abdul Azim Syaaban. Kalau orang lain dalam masa 5 tahun tu mungkin sudah banyak kali khatamnya. Namun bagi saya sekali pun belum merasa khatam di hadapan Syeikh. Bulan ini amat mencabar. Syeikh minta saya khatamkan dalam masa sebulan yang berbaki ini. Yang lebih mencabar lagi saya diminta untuk mengulang kembali bermula dari juzuk yang pertama.

Sudah jadi pelajar tua ni, semakan Syeikh jadi lebih tajam lagi. Kalau dahulu saya baca rasa macam sudah betul, tapi kini sudah jadi salah. Kata Syeikh, lahjah saya masih melayu lagi. Huruf yang paling bermasalah sehingga kini adalah huruf Dhad. Ye lah, hanya Rasulullah sahaja yang paling betul dalam menyebut huruf Dhad ni. Namun kata Syeikh, walau tidak 100% sama dari segi tempat keluar hurufnya, yang penting bunyinya mestilah sama. Kene rotan, cubit telinga dan penyapu lalat itu biasalah bagi saya. Apa tidak marahnya, sudah 5 tahun belajar pun tak pandai-pandai lagi.

Ilmu tajwid bagi saya ianya amat dharuri. Jika kita pelajar agama, belajar tinggi-tinggi tetapi dalam membaca al-Quran masih lagi berterabur tidak padanlah dengan ilmu yang tinggi itu. Salah membaca al-Quran boleh membawa tidak sah dalam solat kita. Ini bukan perkara main-main. Saya nasihatkan bagi kawan-kawan yang masih mempunyai masa untuk bertalaqi al-Quran eloklah cari mana-mana guru yang anda rasakan sesuai. Tidak mahukah kita dalam seumur hidup kita merasa khatam membaca al-Quran di hadapan orang yang pernah bersambung sanad bacaannya hingga sampai kepada Rasulullah SAW..? Ini peluang kita. Di Mesir ni amatlah ramai guru-guru muqrik yang mahir dan bersanad.

Nak ceritanya, guru di sini cek bacaan kita sambil pejam mata jer. Kadang-kadang sambil beliau ke dapur pun tahu kesalahan apa yang kita baca. Nak kata mahir dan kuatnya ingatan guru-guru di sini ni. Kita ni baca berulang kali di rumah. Sampai depan guru rupanya masih banyak lagi kesalahan yang kita baca. Bayangkan jika kita langsung tidak pernah membaca di hadapan guru. Salah tak salah kita langgar sahaja. Nanti kalau kesalahan itu sudah melekat dimulut kita amatlah susah untuk kita betulkan di hari kemudian. Itu baru membaca, belum tasmik hafazan lagi. Kalau benda yang kita baca dan nampak di hadapan mata pun sudah salah banyak, inikan pula hafazan kita. Macam mana pula bacaan kita dalam solat kita.

Saya tidak nafikan, walau sudah hampir 5 tahun belajar pun masih banyak kesalahannya juga. Namun, sekurang-kurangnya dapatlah juga saya meminimumkan kesalahananya. Dahulu saya pernah juga berguru di Malaysia. Jadi apabila baca di hadapan Syeikh kali pertama dahulu saya rasakan macam sudah betul sahaja bacaan saya. Tup tup 7 kesalahan saya dalam al-Fatihah. Hah, terkejut saya. Kebanyakkannya kesalahan dalam menyebut makhraj huruf. Patutlah, dahulu saya belajar dengan guru melayu jadi lahjahnya pun lahjah melayu. Sekarang ni dengan guru arab, jadi lahjahnya perlulah ikut seperti orang arab. Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab dan dengan lahjah sebutan Nabi Muhammad SAW, insan yang paling fasih dalam dunia.

Banyak perkara yang saya dapat sewaktu belajar dengan Syeikh. Antaranya bacaan perlulah kuat. Kalau kita baca perlahan sudah tentu tidak nampaklah kesalahan bacaan kita. Banyak la tempat makhraj yang tidak betul keluarnya. Tempat berhenti pun kita main langgar sahaja. Sebab mudah-mudah kita curi nafas waktu membacanya. Kalau kita baca kuat, paling kurang kita yakin yang bacaan kita itu betul. Orang yang sekitar kita pasti akan membetulkan bacaan kita jika kita tersalah membacanya.

Antara lain, apabila membaca perasaan dan penumpuan haruslah sepenuhnya dengan apa yang kita baca. Saya banyak kali berhadapan dengan sutuasi yang tidak khusuk apabila membaca di hadapan Syeikh. Kepala ingat kerja di rumah. Ingat kerja dan program. Macam-macam lagi lah. Dan waktu itu pastinya bacaan saya akan banyak salahnya. Itu tanda kita tidak beri penumpuan pada bacaan kita. Nak baca dengan baik harus beri penumpuan dengan apa yang kita baca. Sambil baca perlu juga tahu maknanya agar kita tidak berhenti pada tempat yang tidak selayaknya. Syeikh kata siapa yang tidak tahu tempat waqaf hasan (berhenti yang elok) maka dia tidak layak untuk jadi guru al-Quran. Ini memang sangat mencabar. Saya banayak kali ditegur o leh syeikh kerana berhenti di temoat waqaf qobih (berhenti yang buruk).

Saya hanya ingin berkongsi dengan kawan-kawan sahaja. Kalaupun kawan-kawan tidak sempat untuk cari guru, ada alternatif lain yang perlu kawan-kawan buat untuk perbaiki bacaan al-Quran. Antaranya anda perlu banyak membaca al-Quran dengan kuat. Untuk lebih baik lagi cari rakan-rakan yang elok bacaannya agar menyemak bacaan kita. Manhaj al-Quran dalam USRAH perlulah dipertingkat agar semua ahli usrah mampu membaca al-Quran dengan baik.

Saya rasa sedih juga kerana terjumpa kes-kes terpencil kawan-kawan yang merangkak-rangkak dalam membaca al-Quran. Itu tidak sepatutnya terjadi di sini. Kalau merangkak kerana lidah pelat itu boleh dimaafkan, tetapi apa yang saya dapai ianya sebaliknya. Al-Quran tidak dibaca. Ilmu tajwid pula tidak diendahkan. Kita harus sama-sama benteras perkara ini sebelum ia jadi lebih parah lagi. Zaman akan datang mungkin kita akan sekali lagi bertemu dengan zaman anak-anak kita tidak kenal tulisan jawi. Kalau kita tidak bersedia dari sekarang, siapa lagi yang kita harapkan untuk mendidik anak-anak kita..?!

[+/-] Selengkapnya...

Thursday, July 05, 2007

Ibu, kau inspirasiku...

Bismillah...

Sempena mengenang pemergian insan tersayang bergelar ibu, saya ingin bawakan di sini titipan khas buat mengenang jasa-jasa ibu. Moga ada iktibar untuk kita bersama.

Ibu, tanpanya mungkin kita tidak akan lahir di dunia ini. Hanya ada satu kisah sahaja yang menyatakan kelahiran manusia tanpa ibu iaitu insane pertama Nabi Adam A.S. Selian dari itu tiada insane yang Tuhan ciptakan melainkan setelah ianya duduk di dalam kandungan insane yang bergelar ibu.

Setelah dua tahun pemergian ibu (2 Julai 2005), saya dapat rasakan betapa sepinya hidup insane yang tidak punya ibu. Pemergian ayah 7 tahun sebelum pemergian ibu saya rasakan tidak sekuat cabaran dan rintangan kehilangan seorang ibu. Setelah ayah pergi, ibu tetap tabah. Ibu adalah ibu, ibu jugalah ayah waktu itu. Peranan ibu waktu itu sangat saya kagumi. Ibu tabah walau sudah tidak punya suami. Di temani 10 orang anak yang 8 orang darinya sudah berkahwin dan ditambah dengan 36 orang cucu menjadikan ibu bisa tersenyum walau di hati ibu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sewaktu ayah sakit, semanjak tahun 1990 kalau tidak silap saya, ibu tetap setia menjaga ayah. Hampir 8 tahun lamanya. Setianya ibu. Ayah mengidapi sakit yang ganjil. Waktu itu ayah mudah marah. Dek sakit yang dihadapinya menyebabkan emosi ayah mudah terganggu. Batuk yang dihadapinya kadang-kadang sehari suntuk tidak lekang darinya. Sehingga letih dan lelah ayah dibuatnya. Semalaman jugalah ibu tidak tidur menemani ayah yang kesakitan. Serangan penyakit itu menyebabkan ayah agak mudah melenting. Apabila saya dan adik bertengkar, alamat dua-dua akan mendapat hadiah rotan panjang. Waktu itu sedih juga rasanya, tapi sekarang jadi rindu dengan situasi itu. Mana ada ayah yang tidak sayang pada anaknya. Apabila ayah marah, ibulah yang menenangkannya.

Ibu pernah kata pada saya, Seorang ibu mampu membesarkan 10 orang anak sehingga dewasa, namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu ketika ibu sudah tua. Perkataan itu saya masih ingat sehingga hari ini. Seorang ibu yang sudah kehilangan suami akan jadi lebih tabah. Namun begitu, emosinya sangat mudah terluka. Itu pengalaman saya bersama ibu. Kalau abang dan akak tidak balik atau tidak telefon maka saya dan adiklah tempat ibu mengadu. Satu point di sini bagi yang masih punya ibu, selalu-selalulah telefon dan ziarah ibu. Ibu tidak minta dihargai tapi menghargai dan menghormati ibu itu satu kewajipan dan tuntutan buat kita semua. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Saya sering kali mengikut ibu ke kebun. Kata ibu tangan saya ada mengikut sedikit berkat tangan ayah. Kalau tanam pokok mudah menjadi. Tangan panas katanya. Waktu bersama ibu di kebun kami sering berbual. Waktu itu ibu sering memberikan motivasinya kepada saya. Ibu kata : Kamu nak jadi macam ibu ker?? Hidup susah, kene baut kerja berat macam ni setiap hari? Motivasi seperti itu saya rasa susah nak dapat kalau tidak mengikut ibu ke kebun. Gabungan motivasi lisanul maqal dan lisanul haal memang sangat berkesan. Kata-kata itu saya jadikan azimat untuk mengubah diri saya. Kata ibu lagi, kalau kamu sudah besar nanti ingat lagi tak kamu pada Ibu ye?? Saya amat sedih bila kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga kala ini. Saya tidak sempat berbakti pada ibu. Bagi yang masih punya ibu, jangan biarkan ibumu menderita di hari tuanya.

Ibu sering mengajar saya erti kesusahan. Saya jarang diajar hidup senang dan mewah. Masih saya ingat sewaktu sekolah dahulu kedudukan rumah saya dengan sekolah sekitar 5 KM. Saya di ajar pergi ke sekolah dengan berbasikal bertemankan adik. Pagi ke sekolah kebangsaan dan petang pula ke sekolah agama. Jarak setiap hari yang saya lalui hampir 20 KM. Ibu kata biar kamu rasa susah dahulu. Nanti besar moga kamu ingat kamu berasal dari orang susah. Jangan lupa diri pula kalau sudah senang. Motivasi itu saya pegang sungguh-sungguh. Semangat saya untuk belajar jadi bertambah setiap kali dinasihati ibu.

Pernah suatu masa keadaan waktu itu sangat susah. Kebun tiada hasil. Kakak dan abang lama tidak pulang gara-gara tiada cuti. Ayah pula sakit. Duit banyak dihabiskan untuk mengubat ayah. Waktu itu lama juga kami tidak menjamah nasi. Ibu kata, orang dahulu hidup lebih susah lagi. Kita dapat makan mee sup ni pun dah kira bertuah. Waktu itu ingat lagi baki duit ibu hanya tinggal sekitar RM 5. Cukup untuk makan mee sup 4 beranak. Ibu kata jangan bagi tahu abang dan kakak kamu. Tapi saya tidak sanggup. Waktu abang dan kakak balik saya ceritakan semuanya. Habis semua berderai air mata. Begitulah sikap seorang ibu. Tidak berniat langsung menyusahkan anak-anaknya.

Ibu sangat mengambil berat terhadap pembelajaran saya. Ibu memberikan kebebasan kepada saya untuk memilih bidang saya. Walau begitu ibu tetap mengaturnya. Langkah saya di halakan ke sekolah menengah agama. Bersusah payah ibu mengusahakannya. Terima kasih ibu. Kalau ibu tidak melorongkan saya ke lorong ini mungkin kini saya tidak di sini. Ibu mahu 4 beradik yang terakhir bersekolah agama. Nak jadi apapun kata ibu biarlah kamu berasal dari sekolah agama. Kesedaran ibu waktu itu membuahkan hasil kini. Keempat-empat anak yang terakhir semuanya lepasan sekolah agama. Ada juga orang yang kata pada ibu nak jadi apa anak-anak kamu nanti sekoah agama. Tak ada masa depan. Ibu tetap yakin, mungkin ibu sudah nampak, saham akhirat ibu akan jadi makin berat (insyaallah) bila anak-anak ada pengetahuan agama. Adik beradik saya sebelum itu semuanya keluaran kebangsaan.

Ibu jadi Simbol kekuatan saya. Jika saya susah pasti ibu akan terasa. Doa ibu memang cukup mujarab. Setiap kali saya telefon pasti tidak lupa untuk minta ibu mendoakan saya. Waktu itu tidak saya perasan kekuatan doa ibu. Setelah ibu pergi barulah saya rasa rindu dengan doa seorang ibu. Banyak perkara yang saya rasakan mungkin ianya datang dari doa ibu. Kadang-kadang perkara itu tidak terjangka. Waktu pertama kali exam di al-Azhar dahulu saya ingatkan saya bakal sangkut disebabkan beberapa perkara teknikal. Namun ianya lepas dan saya rasakan ianya berkat dari doa ibu yang tidak putus-putus mendoakan saya. Kini saya benar-benar rindu dengan doa ibu. Benarlah doa ibu yang ikhlas mendoakan anak-anaknya itu antara doa-doa yang mujarab. Anda semua jangan lepaskan peluang keemasan memohon doa restu ibu. Kalau sudah kehilangan seperti saya nanti baru anda akan rasa sepi tanpa doa seorang ibu.

Apa yang saya tuliskan ini tidak mampu menghuraikan jutaan jasa-jasa ibu buat saya. Kesemua jasa-jasa itu tidak mampu rasanya saya balas dan pastinya memang tidak akan terbalas. Hanya mengharapkan saya mampu jadi saham buat ibu dan ayah di akhirat sana. Moga Allah jualah yang membalas jasa ayah dan ibu lebih baik dari jasa-jasa mereka terhadap saya semenjak saya kecil hingga dewasa.

Bagi mereka yang punya ayah dan ibu, jangan siakan kehidupanmu dengan meminggirkan kasih ayah ibu. Hormati, sayangi, kasihi dan berbaktilah pada mereka selagi usiamu di kandung badan. Sayang ibu dan ayah membawa ke syurga.

Al-Fatihah buat almarhumah Hjh Rumini bte Mohd Mashudi dan Al-Marhum Hj Tamjis B Hj Yosuf.

Wallahu'aalam...

[+/-] Selengkapnya...

Related Posts with Thumbnails