-->

Sunday, March 11, 2007

Kita semua bersaudara maka islahlah semampunya

Bismillah...


Firman Allah Taala di dalam surah al-Hujuraat ayat 10:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


Maksudnya: "Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat".

Saya merenung ayat di atas dengan rasa keinsafan yang saya mampu rasakan. Manusia menilai ayat al-quran mengikut kemampuan akal mereka menakkul. Saya bukanlah mufassir yang baik, namun, ayat di atas dapat saya fahami mengikut kadar kemampuan akal saya yang cetek ini.

Apabila saya merenung ayat di atas, saya cuba melihat persekitaran saya. Saudara seislam saya ramai. sebahagiannya adalah ahli keluarga saya sendiri. Yang lain antaranya ahli rumah saya, kawan-kawan senegeri lelaki dan perempuan, kawan-kawan luar negeri lelaki dan perempuan, pimpinan-pimpinan persatuan, pegawai-pegawai, jiran sebelah rumah, pemandu bas dan semua muslimin adalah saudara saya. Apa yang saya fikirkan, adakah saya telah memperbaiki hubungan saya dengan mereka semua?

Ayat di atas menyeru agar kita sentiasa memperbaiki hubungan kita sesama mukmin atas dasar kita semua adalah seagama serta menyembah Tuhan yang sama. Kita juga mempunyai syariat yang sama, dustur al-quran dan as-sunnah yang sama juga matlamat kehidupan yang sama : Pengabdian kepada Allah Taala. Ayat di atas menggunakan lafaz mukmin, tidak menggunakan lafaz muslim yang lebih umum berbanding mukmin. Kerana tidak semua yang muslim itu mukmin. Tetapi pastinya yang mukmin itu adalah muslim. Jadi, untuk tergolong di kalangan orang yang mukmin, seruan ayat di atas perlulah diambil berat dan sentiasa dipertimbangkan dari semasa ke semasa agar kita menjadi orang yang sentiasa positif di dalam kehidupan. Positif bagaimana?

Di dalam kehidupan ini, pastinya kita akan berhadapan dengan pelbagai karenah dan ragam manusia. Kadangkala ianya menghiburkan dan ada juga yang menyakitkan hati. Setiap gerak geri kita pastinya akan ada yang memerhatikan. Jika tidak mereka pun, yang pasti Tuhan tetap melihatnya. Persoalannya di sini, adakah kita mampu untuk memuaskan hati semua manusia terutamanya saudara seislam kita? Untuk bersikaf positif jawapannya adalah : ya boleh. Namun secara realitinya, kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua manusia. Allah Taala telah mengurnikan kita dengan kemampuan yang terbatas. Yang mampu kita lakukan adalah buat apa yang kita mampu berlandaskan suluhan iman kepada Allah Taala.

Terkadang kita tidak perasan apa yang kita lakukan telah menyakitkan hati sebahagian pihak. Terkadang hanya gurauan namun natijahnya menyakitkan. Terkadang menegur dengan kebenaran namun mungkin dengan cara yang tidak disenangi. Kita tidak sedar semua perkara itu melainkan jika ada yang menegurnya. Jika perkara itu terus dipendam dan hanya menjadi bualan, sindiran serta umpatan, sudah pasti perkara tadi akan terus menjadi amalan dalam diri kita. Kenapa? Kerana tiada yang ikhlas ingin memperbetulkannya. Sebab itu ayat di atas perlu diteliti.

Kita bukan insan perfect yang mampu membuatkan orang semuanya sayang dan suka pada kita. Mampu buat orang semuanya puas hati pada diri kita. Mampu untuk melayani karenah manusia kesemuanya. Yang kita mampu adalah memperbuat sedaya upaya kita keranaNya. Sesuatu yang kita buat keranaNya pastinya di sana ada kekuatan yang mengiringi kita. Walaupun tidak semua orang akan puas hati dengan kita, namun percayalah jika Yang Esa itu redha akan diri kita nescaya cukuplah walau tanpa keredhaan manusia.

Saya bukan insan perfect yang kamil lagi mutakamil. Sudah semestinya juga tidak mampu untuk membuatkan orang semuanya rasa gembira dengan saya. Namun saya cuba untuk mengislahnya. Saya mohon maaf pada semua yang berkecil hati dengan sikap saya. Tidak puas hati dengan tindakan saya. Tidak suka dengan penampilan saya. Namun itulah yang mampu saya pamirkan untuk semua keranaNya. Maafkan daku wahai seluruh saudara semukminku. Daku mohon teguran dan nasihat serta bimbingan untuk memperbaiki hubungan dan persaudaraan ini. Terima kasih kepada yang sudi menegur. Semoga teguran itu termasuk di dalam usaha kita untuk meningkatkan ketaqwaan kepadaNya. Moga-moga kita dirahmatiNya.

Wallahua'alam

2 comments:

Ibnu Ali said...

Haa.. wasathiahla jawabnya. Lakukan segala perkara dengan bersederhana. Yang marah tak jadi yang suka tak lupa diri.

Wallahua'lam

Dr Kadir said...

Sama-samalah menjaga ukhuwwah yang ada...

Related Posts with Thumbnails