-->

HijriDate

Wednesday, August 22, 2007

Perjalanan Masih Panjang

Bismillah...


Kini sudah hampir 3 jumaat permusafiranku ke bumi asing ini. Rasa asing yang ku lalui dahulu kini beransur hilang. Satu petua yang saya perolehi dari seorang rakan untuk menghilangkan rasa keasingan di sini ~ Dont laugh before you say anything ~. Petua ini amat baik sekali untuk diamalkan oleh para pengembara atau siapa sahaja yang berada di tempat baru. Jangan malu untuk bertanya dan jangan takut untuk menjawab. Jangan ketawa sebelum anda berkata sesuatu. Di mana-mana pun begitulah masalah kita orang melayu, malu dan takut untuk bercakap dalam bahasa asing (arab, english etc) sebaliknya hanya tersengih dan takut untuk bercakap apabila disapa. Suasana di sini menjadikan saya tidak malu-malu untuk bercakap dalam bahasa inggeris walau dalam broken english.

Setelah hampir tiga minggu di sini, rasa rindu pula untuk bertutur dalama bahasa arab. Kebanyakkan orang arab yang saya temui di sini lebih gemar untuk bertutur dalam bahasa inggeris. Sebahagiannya memang sudah hilang arabnya. Gayanya juga sudah berubah jadi kebaratan. Namun hari ini kerinduan itu hilang seketika. Saya bertemu dengan seorang lelaki dari Aswan Mesir yang bekerja sebagai pemandu teksi di sini. Namanya Ahmad. Bahasa arabnya sungguh baik. pada awalnya saya tidak menyangka dia berasal dari Mesir. hilang segala lahjah mesirnya. Ga, maalish dan mush langsung tidak kedengaran. Berbual dengannya nampak seolah-olah saya pula yang berasal dari Mesir dek terkesan kuat dengan lahjah ammiyah.


Di Sini Bukan Untuk selamanya.

Ahmad menyatakan kepada saya di sini (London) bukan tempat yang selamat untuk menjana keimanan. Terutamanya bagi yang tiada asas agama dan tidak mencampuri langsung komuniti-komuniti yang berunsurkan keagamaan seperti masjid, usrah dan kelas-kelas ilmu. Hidup akan hanyut di sini jika kita tidak berjaga-jaga dan terikut-ikut dengan gaya kehidupan masyarakat di sini. Kiri dan kanan benda yang haram terpapar bak melambai-lambai agar di gapai. Segala-galanya ada di sini. Saya tidak nafian walupaun masyarakat di sini terkenal dengan akhlak yang baik-baik antaranya menepati janji, menghormnati, peramah dan lain-lain lagi, namun suasana itu tidak cukup untuk membangunkan hati.

Kebanyakkan yang ada di sini hanya menjadikan London sebagai tempat persinggahan sementara dan sekadar tempat mencari rezeki. Kata Ahmad London baginya hanyalah Ardhul Rizki. tempat untuk mencari rezeki dan dia tidak berminat untuk tinggal di sini untuk selamanya.

Keluarga-keluarga melayu yang saya temui juga kebanyakkannya berpendapat yang sama. Mereka agak sukar untuk memberikan pengajian agama yang sebaiknya kepada anak-anak mereka. Itu mereka sendiri yang akui. Bukan tiada tempat-tempat yang menyediakn perkhidmatan pengajian agama, namun ianya amat terhad dan amat sukar untuk mereka turuti. Setakat ini sahaja saya sudah berhadapan dengan ramai adik-adik (peringkat aqil baligh) yang tidak tahu cara untuk solat dan sebahagiannya tidak tahu langsung apa itu solat. Mengaji al-Quran apatah lagi. Itulah hakikat kehidupan di sini. Saya juga tidak mahu berlama di sini. Moga dengan kesibukan yang Tuhan aturkan ini akan menambahkan lagi pengalaman dan pengetahuan saya.

Belajar Itu Minal Mahdi Ilal Lahdi.

Rasa tidak tahu itu juga sudah di kira suatu ilmu kerana kita mengetahui kemampuan ilmu yang kita miliki. Semakin tinggi kita belajar semakin banyak benda yang bermain di kepala. Benarlah Firman Allah di dalam al-Quran yang menyatakan ilmu Allah itu jika ditulis dengan dengan mata pena yang bertintakan lautan yang berbilang-bilang pun tidak akan cukup untuk mencatit ilmu Allah Taala. Ilmu yang ada pada kita ini mungkin tidak sampai setitik dari lautan yang luas tadi.

Pelbagai persoalan diajukan kepada saya di sini dan banyak yang tidak mampu saya ulas dan berikan jawapannya. Di tambah pula minggu ini bermula kelas pengajian hujung minggu untuk komuniti keluarga di west hendon dan kilburn. Berdebar juga rasa hati bila pak cik-mak cik ni jemput untuk isi pengajian mingguan mereka. Namun bagi saya ia amat baik juga untuk diri saya sebagai latihan dan murajaah kepada pengajian-pengajian saya yang lalu. Ilmu jika lama tidak di belek-belek akan hilanglah ia dan gelaplah jiwa. sesiapa yang 40 hari tidak mengikuti kelas kelas pengajian agama maka akan keraslah hatinya dan sangat mudah untuk tercebur ke lembah kemaksiatan kerana ilmu itu nyawa hati. Itulah pesanan Rasulullah SAW kepada Saidina Ali r.a.

Tulisan Ini Hanya Tulisan Bersahaja.

Terima kasih kepada yang sudi bertandang dan memberikan komen yang membina kepada saya agar penulisan di sini mampu berdiri sama tinggi dengan web site-web site ternama seperti zaharuddin.com, saifulislam.com dan lain-lain lagi penulis yang berkongsi pengalaman dan ilmu dalam bentuk yang ilmiah dan standard. Tidak seperti laman kecil ini yang lebih santai dan nampak seperti syok sendiri sahaja. Namun, komentar itu ada baiknya juga. Mungkin saya perlu menulis di laman yang lain untuk penulisan yang lebih standard dan dipenuhi dengan materi ilmiah, tarbiah dan tajribah.

Bagi saya, ruang kecil ini adalah stor untuk menyemai minat saya menjadi seorang motivator atau moderator suatu masa nanti. Untuk itu, saya perlu belajar menjadi pendengar, pemerhati dan penilai yang baik. Di sini saya cuba untuk mengasah minda dan idea agar lebih tajam dalam menilai sesuatu isu dan perkara.

Pengalaman Gagal Tidak Sama Dengan Pengalaman Berjaya.

Saya mendapat berita ramai-kawan dan adik-adik yang gagal dalam peperiksaan yang lalu. Ada yang bawa 3, 4, 5 dan ada juga yang lebih dari itu. Percayalah bahawa setiap yang di lalui itu telah diatur oleh Pencipta yang maha Esa yang tahu apa yang terbaik buat diri kita.

Saya selalu mengingatkan kawan-kawan agar bersabar dengan kegagalan kerana di sebalik kegagalan itu ada sesuatu perkara yang tersirat yang perlu difikir dan dijadikan iktibar. Pengalaman gagal itu tidak sama dengan kejayaan. Walaupun perit di sebaliknya terdapat 1001 hikmah dan pengajaran. bagi yanag ada madah sedikit jangan disia-siakan masa yang ada. Mungkin itu masa yang Allah kurniakan untuk diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Isilah dan rancanglah ia dengan sebaiknya.

Saya juga pernah merasai kegagalan. Sewaktu gagal saya semak semula setahun yang saya lalui sebelum kegagalan. Banyak hak-hak yang tidak saya tunaikan. Hak hati, hak kawan-kawan, hak persatuan dan yang lebih utama hak dengan Tuhan. Hak dengan hati, hati kita banyak dendam dan kotor dengan segala macam penyakit hati. Hak dengan kawan waktu kawan susah kita buat tidak tahu. Hak dengan persatuan kita tak bantu dan tolong bila-bila perlu. Persatuan itukan jamaah. Lari dari kesatuan bererti lari dari jamaah. Hak dengan Tuhan tidak perlu saya cerita. Koreksi diri kita bersama. Mungkin itulah hikmah kegagalan yang kita terima.

Jangan terleka dengan paper yang sedikit nanti. Biasa yang saya lihat begitulah. Semakin sedikit paper yang di bawa semakin malas jadinya. Masa yang banyak itu boleh di isi dengan kelas-kelas bahasa, kelas tafaquh dan macam-macam lagi perkara yang berfaedah. Jangan pula malu dengan kegagalan. Jangan pula terlalu kecewa dengan kegagalan. Semakin cepat pulih kita dari rasa kegagalan semakin banyak perkara yang dapat kita selesaikan, insyaallah. Moga kalian sabar dan tabah dengan ujian kegagalan.

Sekian sahaja coretan kali ni. Bertemu lagi di lain masa dan ketika. Salam mahabbah dari perantauan.

Wassalam, Wallahu'aalam.

[+/-] Selengkapnya...

Sunday, August 12, 2007

Jalan-Jalan Di Kota Kehidupan

Bismillah,


Bertemu kembali di lembaran ini. Lembaran yang mencatat perjalanan seorang musafir di bumi Tuhan. Hampir seminggu saya di sini. Hari jumaat (semalam) solat di Malaysian Hall. Terdetik di dalam hati, rundu dengan khutbah jumaat di Masjid Zahraa yang berdentam dentum bunyinya. Isinya juga penuh mesej walau kadang mata juga terlelap di canai ngantuk yang tak hilang-hilang. Pagi jumaat itu saya rasa bertambah sedikit kekuatan kerana sehari sebelum itu (khamis) sudah berkenalan dengan sebahagian warga Malaysia di situ. Sewaktu Yasinan petang itu, saya telah ditarik oleh Uncle Zainal (pegawai JPM) untuk membawa yasinan, Tahlil (yang ada orang kata bidaah tu) dan tazkirah ringkas. Tetamu petang itu agak ramai juga. Jadi peluang itu memberikan saya sedikit gambaran tentang keadaan sosial sebahagian warga Malaysia di sini. Saya terpaksa jadi bidan terjun kerana ustaz yang sepatutnya membawa program itu tidak dapat datang di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Suasana di sini agak menakutkan saya. Any time jumpa orang tak terjangka permintaannya. Ye lah, USTAZ ni bukan untuk diperdagangkan dan bukan juga untuk dimegah-megahkan. Saya tak minta pun panggilan tu. Tapi kalau dah namanya orang belajar bab agama ni tak nama ustaz pun kenelah ready any time. Kalau dipanggil secara mengejut terutamanya dalam bab-bab kemasyarakatan dan keagamaan ni perlulah dipenuhi walaupun sebenarnya diri ni pun tak lah bagus mana. Bak kata hukamak, sedikit yang namanya ilmu tu jika disampaikan tidak sedikit namanya. Qalilum minka la uqalu lahu qalil. Yang penting jangan takut untuk mencuba suatu yang baru. Banyak ilmu pun kalau takut tak akan jadi apa dengan ilmu itu.

Begitulah juga keadaannya kalau kita pulang ke tanah air nanti. Tempat-tempat stratergik seperti masjid dan surah jangan lupa untuk dikunjungi. Bukan setakat dikunjungi, tetapi perlu diberi perhatian sepenuhnya kerana di situlah bermulanya langkah pertama seorang USTAZ sepatutnya. Kalau ustaz pun dah tak pergi masjid, tak taulah saya nak kata apa. Latih-latihlah diri di mesir untuk selalu solat di mesjid dan di surau. Moga jadi orang yang hatiya lekat dengan Masjid dan surau. Tidak jadi penceramah, imam, tok siak dan lain-lain jawatan pun, cukuplah dengan keberadaan kita di masjid dalam setiap solat lima waktu dan pergaulan kita yang baik dengan warga masjid dan surau. Lisanul hal itu lebih power dari lisanul maqal. Perbuatan kita ke mesjid itu jadi kekuatan kepada orang disekitar kita. Jangan sampai orang sebut, alah ustaz pun tak pegi mesjid. Satu fitnah yang kita sendiri melakarnya.

Di sini juga saya berkenalan dengan 4 5 kumpulan ibu bapa yang minta saya mengajar anaknya mengaji al-quran. Insyaallah akan cuba saya turutkan. Namun tak tahulah saya masa yang sesuai kerana kerja yang dinanti-nanti telah datang. Isnin ini masuk ke kedai MAKAN. Saya kasihan melihat adik-adik itu yang mahukan tenaga pengajar untuk mengaji al-Quran. Sentiasa berubah-ubah guru dan tempat pengajian. Akhirnya, Alif ba Ta ajalah dapatnya. Saya berhasrat belajar untuk mengajar adik-adik itu semoga dapat melatuh saya bertutur dalam bahasa inggeris kelak. Adik-adik tu fasih la cakap orang putih. So, dapat lah kongsi ilmu sikit sambil ajarkan adik-adik tu fardhu ain. Saya lihat kesungguhan ibu dan ayah mereka mahu kepada agama. Namun di sini kemudahan agak terbatas. Dapat jugalah saya lepas rindu, dah lama tak jumpa anak-anak saudara di tanah air.

Ada juga sebahagian pak cik mak cik yang minta untuk isi program mingguan mereka. Program pengajian agama. Erm, takut juga. Pak cik tu kata soalan biasanya benda yang pelik-pelik. Tapi saya kata saya dah ada jawapannya insyaallah untuk setiap soalan mereka. Tidak tahu untuk setiap soalan yang saya tidak tahu menahu, hehe. Kalau tahu jawabla, susah mana nak kata tak tahu. Imam malik pun biasa-biasa je jawab tak tahu. Tak tahu tu pun sudah sebahagiuan ilmu. Kita tahu yang kita tidak tahu. Cuma program ni tak pasti lagi bila akan berjalan. Katanya setiap hari sabtu. Namun bergantung juga pada jadual bertugas saya nanti. Kalau dapat isi nanti elok juga. Dapat saya mentelaah kitab-kitab dan bahan rujukan nanti. Kalau tak bukak nanti ada blur juga pala saya ni.

Di sini alhamdulillah saya dipertemukan dengan kawan-kawan yang baik hati. Tumpangkan rumah, bawa jalan-jalan, carikan kerja dan macam-macam lagi. Moga suasana ukhwah seperti ini akan berterusan tanpa ada sebarang kepentingan. Mereka juga cari kekuatan dan saya juga perlukan mereka untuk sama-sama dapat kekuatan. Betullah kata Nabi, Islam itu dengan jamaah. Baik jamaah yang kita campuri baiklah kita. Kalau kita hidup bersendiri, syaitan akan jadikan kita jamaahnya. Habislah kita. So jangan suka duk sorang-sorang. Kelak di baham serigala yang sentiasa kelaparan. Syaitan tu Nabi gambarkan sebagai serigala yang membaham kambing yang keseekoran.

Setakat ini dahulu untuk kali ini. Hari ini agak penat sedikit kerana penat meneroka kota London. Belajar-belajar guna train, tiub, bas jalan-jalan di sekitar central. Insyaallah jumpa lagi di masa akan datang jika tangan ini berkesempatan untuk melakar dan akal penuh dengan kelapangan.

Wallahuaalam...

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, August 08, 2007

Dunia Baru Yang Lebih Mencabar...

Bismillah...


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menciptakan alam yang sangat luas dan indah. Rasa di hati tidak mahu menulis lagi di sini buat sementara waktu. Namun walau di mana bumi di pijak di situ juga jurnal jalan kehidupanku akan berlalu. Jadi apa salahnya jika saya mahu berkongsi dari pandangan sudut bumi yang amat berbeza, sangat berbeza dan asing bagiku.

Kalau dahulu jumpa siapa sahaja tiada masalah untuk saya memberi salam namun kini satu nikmat sudah ditarik sementara, nak bagi salam terpaksa pandang-pandang. Takut tersalah beri salam akan dipandang serong orang tidak memasal.

Kalau dahulu pergi mana-mana kedai walau kotor manapun ia tidak risau-risau untuk membeli makanan, namun kini walau ada cop halal pun rasa seriau dan takut untuk singgah makan. Apa tidaknya, sudahlah harghanya sangat mahal (cth : saya beli syawarma sebab dah terlalu lapar dengan harga 2.90 pound = LE 30)dan sebahagian gerai yang menjadikan lambang halal sebagai daya penarik semata-mata. Memanglah, walau ayam atau daging yang digunakan diperolehi dari pihak yang dipercayai, namun masakan dan bahan-bahan lain yang digunakan tiada siapa yang mampu memastikannya. Kesimpulannya, saya boleh jadi kurus di sini. Kira ini satu perkara positif buat saya.

Kalau dahulu saya tidak risau untuk tidur di waktu malam, tapi kini amat risau kerana waktu subuh amat rapat dengan waktu isyak. Mudah sangat untuk solat subuh gajah atau dinosour. Dan mudah juga untuk solat isyak semut dan pijat. Waktu isyak jam 11.00 mlm dan subuh jam 2.45 pg. Sunnguh mengerikan.

Kalau dahulu tidak susah bagi saya untuk mencari masjid dan mendengar seruan azan kemudian bersolat secara berjamaah, tapi kini tidak di sini. Sudah 3 hari saya tidak mendengar azan dan solat berjamaah. Nampak mesjid pun agak sukar walau sebenarnya di London ni banyak juga masjidnya. Namun amat jauh antara satu masjid dengan satu mesjid yang lain. Bagi yang mudah-mudah nak dengar azan dan faham akan kepentingan solat secara berjamaah, hidupkanlah syiar itu sebelum nanti Allah tarik nikmat mudah itu dan kita akan jadi rindu setelah ianya di tarik dari kita. Percayalah.

Ini satu lagi, lagi lagi saya takut. Moga dijauhkan dari malapetaka ini. Invironment di sini amat sesuai untuk kita mengamalkan seruan al-Quran yang bermaksud tundukkanlah pandangan (untuk menjaga mata dari pandangan yang tidak tentu hala). Sakit mata saya. Dah lah saya ni bujang. Pemandangan di sini macamlah yang ada dalam filem-filem mereka. Tak perlu saya nak cerita. Moga diselamatkan dari perkara-pekara yang tidak diingini. Harapnya rehlah ini jadi rehlah imaniyah bukan rehlah yang merosakkan iman dan diri. Ameen.

Kalau ada yang masih tidak tahu saya sudah di sini saya minta maaf kerana tidak memberitahu kalian. Saya tidak mahulah kecoh-kocoh sangat sebab saya bukan nak pegi mekah dan madinah tempat yang kawan-kawan boleh kirim doa. Bukan nak balik mesia tempat yang kawan-kawan boleh kirim barang untuk sanak saudara. Tapi saya nak pergi jalan-jalan negeri David Backhem. Tiada rasul yang lahir di negeri ini (Kalau tidak silap sayalah). Jadi kalau saya bagi tahupun sahabat-sahabat tak leh nak kirim barang. Kalau nak kirim doa rasanya di mesir tu buminya lagi barokah. Ramai Rasul-Rasul, Nabi-Nabi dan para imam-imam besar yang sudah berpijak di bumi itu. Tapi rasanya saya tidak menipu kalain kan. Kalian tanya saya bila saya balik Malaysia. Saya cakap insyaallah saya SAFIR 6 haribulan. Jadi jangan marah saya yer.

Terima kasih buat kawan dan teman-teman seperjuangan yang banyak membantu saya sepanjang urusan saya ke sini. Ust Gani, Ust Kemal, Ust mahbob, Ust Jelan, Ust Asri, Ust Hairi, ust Apis, ust Yazid dan semua ustaz-ustaz lah yang tidak mampu saya sebutkan namanya di sini. Moga urusan kalian dipermudah dan mendapat ganjaran pahala yang berpanjangan dari Allah Taala, Ameen.

Saya rasa setakat ini dahulu untuk kali ini. Rumah yang saya duduk kini dekat dengan stadium wambeley. Tapi sayang saya jauh dengan all traford. Jadi mungkin tak berpeluang untuk ke sana. Duit kat poket ni pun bukan banyak sangat. Tengok kat television jer lah. Bagi akhmal & Anis, Arsenal pun dekat je kat sini. Kalau kalian nak suh saya amikkan gambar or belikan baju origenal yang sangat mahal (kalau kira pakai LE lah) insyaallah ada masa dan rezeki saya leh bawakan nanti. Tapi elok kalau kalian yang datang sini sendiri kan. Bukan jauh sangat, 4 jam jer mai.

Oklah, saya sentiasa harap doa-doa kalian. Moga rehlah ini bertepatan dengan seruan Allah SWT yang : [Katakanlah (wahai Muhamad) berjalanlah di muka bumi Allah, dan lihatlah bagimana jadinya bagi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat ku)]. Salam rindu dan hormat buat teman-teman dan adik-adik bumi di Cairo. Moga ketemu lagi di dalam siri-siri pertemuan mahabbah yang akan datang. Insyaallah, jika ada rezeki saya akan uploadkan gambar-gambar menarik di sini nanti.

Sekian, wassalam.
Wallahu'aalam.

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, August 01, 2007

Berbakti Pada Guru Dapat Sama Hasilnya

Bismillah…


Kala ini waktu subuh baru sahaja menjelma. Usai solat subuh pagi ini, saya duduk sebentar di depan komputer. Pagi ini pagi istimewa bagi saya dan seisi rumah saya. Kami di hadiri oleh tetamu yang kami pun tidak sangka akan menyambutnya. Kalau nak kata tetamu tu rumah kami alhamdulillah memang tidak pernah lekang dari kehadiran tetamu. Namu tetamu kali ini sangat istimewa kerana beliau adalah Syeikh Abdul Azim Syaaban, guru al-Quran kami bersama cucu beliau, 'Izz. Bersama kami juga Syeikh Basir dan Syeikh Zarul Saleh yang turut membantu berkhidmat untuk Syeikh.

Entah bagaimana percaturan Allah sehingga tergerak hati Syeikh untuk menziarahi kami serumah. Malahan bukan sekadar berziarah, hari ini Syeikh juga tidur di rumah kami. Allah, seronoknya. Moga kehadiran tetamu yang mulia ini membawa keberkatan kepada kami semua dan mengeluarkan kegelapan dari rumah kami. Syeikh datang ada tujuan tersendiri. Mahu siapkan sijil sanad untuk pelajar-pelajar yang bakal khatam mengaji bersama Syeikh.

Hari-hari terakhir di sini agak memenatkan juga. Namun, bila difikirkan semula seronok dan rasa gembira. Apa tidaknya sedikit demi sedikit cuba mengikis sikap menangguh kerja dan suka tudur pagi yang bersarang dalam diri sejak berkurun lama. Masa yang dah sedikit ni terpaksalah susun semua gerak kerja agar dapat disipakan dalam waktu yang dijanjikan.

Saya ada suatu perkara yang nak dikongsi pada kali ini. Sewaktu menulis rentetan sanad syeikh bersama guru-guru beliau, saya melihat beliau banyak berkhidmat untuk guru-gurunya. Saya terpanggil untuk berkongsi bersama siding pembaca semua. Sebenarnya berkhidmat dan berbakti kepada Tuan Guru ni terlalu banyak hikmahnya. Kalau nak dikutkan banyak tempat yang Syeikh mengaji dan kebanyakkannya pasti syeikh akan menjadi khadam kepada guru tersebut sehingga ada suatu kisah sewaktu berguru dengan salah seorang guru beliau yang buta yang menjadi muqrik di zamannya masa syeikh banyak dihabiskan untuk berkhidmat sehingga tidak sempat khatam pengajiannya. Namun, keberkatannya tetap mengalir di dalam diri Syeikh disebabkan keikhlasan hati beliau berbakti kepada gurunya.

Kita zaman ini agak sukar untuk berjumpa dengan murid yang mampu menjadi khadam untuk guru 100%. Kelas pun selalu ponteng. Guru pula kita sering perkecilkan. Guru tu begitu begini. Kalau kita ni hanya mencari keburukan dan kekurangan guru memang kita akan dibukankan dengan kelemahan dan kesalahannya yang banyak. Tapi jika kita mencari dan mengambil istifadah dengan kebaikan pada seorang guru, insyaallah kita akan ditutup dari melihat aibnya dan moga-moga kita akan mendapat keberkatan dari Allah Taala melalui kebaikan guru tadi.

Kalau kita ingin berbakti seperti mana Tuan-tuan guru kita berbakti kepada guru mereka suatu ketika dahulu memang agak sukar. Zaman pun telah berubah. Banyak pengajian yang hanya berorentasiakn peperiksaan. Sehingga guru zaman ini pun hanya melihat anak murid dari kaca mata peperiksaan. Bukan mahu mendidik tetapi mahu mengisi kekosongan dan sebagai sumber pendapatan semata. Tu yang macam-macam kes kita dengar di Malaysia. Anak murid cekik leher guru. Guru cabul anak murid. Guru belasah anak murid, murid bantai guru dan macam-macam lagi. Rosaknya institusi sekolah kini. Pasal apa? Semua gara-gara orentasi peperiksaan tanpa ada penekanan dalam pembinaan syaksiah dan pembangunan modal insane. Jumpa guru hanya di sekolah sahaja. Luar sekolah dia bukan guru akau dia bukan anak murid aku.

Tiada lagi rasa hormat dan respect anak murid terhadap guru. Anak murid semakin nakal dengan pelbagai ragam gejala social yang membimbangkan. Semalam ada kes 9 pelajar wanita tingkatan 4 dari sebuah negeri bantai, terajang, belasah dan kemudian tanpa segan silu membogelkan sehingga tiada seurat benang dan seterusnya merakam adegan bogel mangsa yang juga wanita gara-gara tidak puas hati dengan pelajar wanita tadi. Ganas ooo. Ini dah macam sek-sek mafia ni. Dah la ganas macamtu, lepas tu main tinggal jer kawan tu dalam keadaan berbogel di tepi jalan. Apa nak jadi budak-budak ni. Tak pening kepala cikgu zaman ni..!

Saya baca berita ni pun jadi pening kepala. Kira zaman sekarang bukan sahaja kawan lelaki bahaya bagi adik dan anak perempuan kita, bahkan kawan wanita juga sangat berbahaya dan pemangsa kepada kawan wanita yang lainnya. Dah wanita nak kawan dengan sapa lagi.

Kes lain pula Ustaz cabul budak. Ni lagi sakit kepala saya baca. Memang la kalau orang belajar agama, faham agama, dapat title ustaz pula tu, kalau buat salah nampak lebih besar dari orang biasa yang buat salah. Malas nak komen banyak kes ni la. Cuma ni pengajaran bagi bakal-bakal ustaz, kahwin la cepat-cepat. Zaman sekarang ni anak murid dah pandai mengurat cikgu. Pernah pengalaman saya dengar cerita abang saya yang baru masuk kerja jadi guru agama di sekolah agama petang di ngurat dan dikenyit anak muridnya yang perempuan yang baru darjah 6 sekolah agama (tapi tingkatan 3 sekolah menengah la). Tak peninga kepala ustaz. So, kalau dah kahwin kan senang sikit. Tak lah terpedaya dengan anak-anak murid ni. Berkahwin tu kan melengkapkan sebahagian lagi iman. Tapi zaman sekarang kahwin ni bukan senang kan. Ni kena bagi kursus kat mak ayah zaman sekarang agar cepatkan dan jangan tangguh-tangguhkan tempoh bujang anak-anaknya. Kahwinkanlah anak tu kalau dah bertemu jodoh yang sesuai walau terpaksa membantu pada awalnya. Maslahah lagi besar pak cik mak cik. Tak kesian ker dengan ustaz tu.

Ni dah jau merapulah ni. Oklah, ni ambil kesempatan sementara Syeikh masih berehat di bilik sebelah. Pasni nak kena siapkan lagi tulisan yang masih tidak selesai. TQ for ustaz Basir dan Ustaz Ghani yang sama-sama membantu menaip. Dah lama tak menaip jawi ni terkial-kial nak cari huruf. Oklah, buat mahasiswa/wi tahun akhir jumpa saya nanti insyaallah di perkumpulan mahasiswa/wi tahun akhir (HEMAT). Ada perkara yang boleh dikongsi bersama di sana nanti, insyaallah. Slot saya petang jam 1.30.

Wallahu'aalam.


[+/-] Selengkapnya...

Saturday, July 28, 2007

Rehat Suatu Kemestian?

Bismillah…


Entri kali ini mungkin tidak banyak maknanya bagi yang tidak memahami. Ini bukan ruang untuk menyatakan isi hati sendiri yang tidak memberi faedah kepada orang lain. Kalau ada artikel saya yang lalu berbentuk luahan hati yang tidak memberi faedah kepada sidang pembaca budiman saya minta maaf.

Mungkin kehadiran saudara semua ke laman ini agak sia-sia kerana tiada manfaatnya. Saya berhasrat untuk menyatakan perjalanan hidup saya yang boleh dijadikan panduan atur hidup kita bersama. Sebab itu laman ini saya namakan jurnal jalan kehidupan.

Manusia dikurniakan dengan masa. Masa yang dikurnikan pula semuanya sama dengan top up 24 jam setiap hari. Manusia juga diuji dengan tanggung jawab. Banyak dan sedikit tanggung jawab di dalam kehidupan bergantung kepada kemampuan dan kewarasan pemikiran kita. Ada orang kata kita tidak punya masa yang cukup untuk memenuhi semua tanggung jawab kita. Al-wajibat akstaru minal auqat. Saya juga mengakui kenyataan itu. Memang benar jika kita sedar sebenarnya tanggung jawab selaku seorang muslim itu terlampau banyak. Sehingga tiada istilah masa lapang dan waktu untuk berpoya-poya. Namun itu bukan bermaksud kita tidak punya masa untuk berehat.

Di dalam sebuah hadis nabi SAW, ada menyeut mengenai keperluan berehat di dalam diri manusia;

Maksudnya : Berpuasa dan berbukalah, Jaga dan tidurlah kerana sesungguhnya bagi jasadmu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, bagi matamu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, dan bagi pasanganmu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, dan bagi jiwamu(roh) itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan.

Jelas di sini bahawa rehat itu perlu dalam kehidupan kita. Tertolaklah kata-kata yang menyatakan tiada rehat di dalam perjuangan. Kerana rehat itu adalah fitrah dalam kehidupan insane. Hanya cara kita menguruskan waktu rehat itu yang memerlukan kepada kebijaksanaan. Masa rehat perlu dirancang. Jika tidak, hak-hak yang sepatutnya ditunaikan di atas tidak akan kesampaian.

Saya melihat pelbagai ragam orang mengurus waktu rehat mereka. Ada yang berehat dengan tidur sepuas-puasnya. Ada yang pergi berkelah. Ada yang melayari internet, berchating, menelefon orang-orang tersayang, layan fifa 2007 dan macam-macam lagi. Rehat bebas bergantung kepada jiwa sesorang asalkan ia tidak melanggar batas-batas syarak. Pernah suatu ketika saya bekerja dengan seorang rakan dalam sesuatu program, setelah selesai program ia minta waktu rehat dari saya. Katanya saya sudah terabai banyak zikir dan aurad saya waktu program. Saya mahu rehat untuk dapatkan semula kekuatan rohani saya. Aduhh..bagusnya waktu rehat begitu. Kalau saya pula waktu exam adalah waktu paling rehat dalam hidup saya, sebab dapat duduk dirumah tanpa panggilan telefon dan gangguan.

Ada juga yang saya lihat tidak menjaga dan merancang waktu rehatnya. Sehingga cengkung dan tiada seri di wajahnya. Tiada rehat akan menyebabkan tekanan. Wajah nampak tua (macam saya). Akal dan pemikiran akan jadi sempit. Hati juga boleh jadi rosak. Apabila kita merasakan diri kita paling banyak melakukan kerja, kita akan menuding kawan-kawan kita yang lain hanya duduk rehat semata-mata. Kan sudah rosak hati kalau macam tu. Ikhlas sudah tiada lagi kalau begitu. Ada pula yang lebih dahsyat lagi kesan diri dan jiwa yang tidak mendapat rehat yang cukup. Futur dan rasa malas untuk bekerja akan menanti di hadapan kerana jasmani dan rohani telah over flow. Lebih had dan ketahanannya.

Pihak kepimpinan perlu memainkan peranannya dalam hal sebegini. Lihak ajk yang berada di bawah anada. Adakah mereka terbeban dengan kerja yang teralu banyak sehingga tidak cukup tangannya. Mereka malu untuk menyatakannya takut orang akan kata mereka menguingkit kerja yang telah mereka buat. Jadi pimpinan tertinggi perlu prihatin terhadap suis-suis ini takut jika sudah terbakar nanti agak sukar untuk mencari gantinya.

Kesimpulannya, saya menyeru kepada sahabat-sahabat agar ambillah waktu rehat secukupnya. Berehat itu tuntutan dan kerja juga merupakan tuntutan dan tanggung jawab. Imbangi keduanya agar semua hak-hak yang tersebut tadi mendapat tempat yang sewajarnya.

Saya ambil kesempatan ini mohon maaf pada pihak yang berkenaan kerana kerja yang saya pikul banyak yang tidak sempurna. Kerana saya juga orang yang lemah dan perlu mengambil sedikit rehat. Saya amat risau waktu sedikt yang berbaki ini akan mencela saya kerana apa yang saya tinggalkan terbengkalai dan tidak mencapai matlamatnya. Maafkan saya semua.

Wallahu'aalam..


[+/-] Selengkapnya...

Sunday, July 15, 2007

Bertalaqi al-Quran Satu Tuntutan..

Bismillah..

Mungkin ini kali terakhir saya menulis menggunakan khidmat AMILO Pi 1505 keluaran Fujitsu Siemens ini. Oleh itu sebelum berpindah milik kepada insan lain, elok saya ambil kesempatan ini untuk menulis dan mengabadikan jasa AMILO yang amat banyak buat diri saya. Hampir 8 bulan saya menggunakannya, kini ia bakal berpindah milik kepada sahabat saya, Azizulhisyam yang bakal pulang ke tanah air hari Selasa ini.

Justeru AMILO akan sampai ke tanah air lebih awal dari saya. Saya amat puas hati dengan AMILO. Jika tidak disebabkan oleh keperluan yang lebih besar, saya tidak akan menjualnya kepada orang lain kerana ia sangat hebat berprestasi.

Dua tiga minggu ini amat penat saya rasakan. Di akhir-akhir keberadaan saya di sini dipenuhi dengan pelbagai taklifan peribadi dan persatuan. Namun ianya amat baik saya rasakan. Jika tidak, masa pagi mungkin banyak dihabiskan dengan tidur yang tidak kunjung puas. Yang paling mencabar saya rasakan adalah talaqqi al-Quran yang setiap hari perlu saya ikuti. Sudah hampir 5 tahun saya mendapat didikan Syeikh Abdul Azim Syaaban. Kalau orang lain dalam masa 5 tahun tu mungkin sudah banyak kali khatamnya. Namun bagi saya sekali pun belum merasa khatam di hadapan Syeikh. Bulan ini amat mencabar. Syeikh minta saya khatamkan dalam masa sebulan yang berbaki ini. Yang lebih mencabar lagi saya diminta untuk mengulang kembali bermula dari juzuk yang pertama.

Sudah jadi pelajar tua ni, semakan Syeikh jadi lebih tajam lagi. Kalau dahulu saya baca rasa macam sudah betul, tapi kini sudah jadi salah. Kata Syeikh, lahjah saya masih melayu lagi. Huruf yang paling bermasalah sehingga kini adalah huruf Dhad. Ye lah, hanya Rasulullah sahaja yang paling betul dalam menyebut huruf Dhad ni. Namun kata Syeikh, walau tidak 100% sama dari segi tempat keluar hurufnya, yang penting bunyinya mestilah sama. Kene rotan, cubit telinga dan penyapu lalat itu biasalah bagi saya. Apa tidak marahnya, sudah 5 tahun belajar pun tak pandai-pandai lagi.

Ilmu tajwid bagi saya ianya amat dharuri. Jika kita pelajar agama, belajar tinggi-tinggi tetapi dalam membaca al-Quran masih lagi berterabur tidak padanlah dengan ilmu yang tinggi itu. Salah membaca al-Quran boleh membawa tidak sah dalam solat kita. Ini bukan perkara main-main. Saya nasihatkan bagi kawan-kawan yang masih mempunyai masa untuk bertalaqi al-Quran eloklah cari mana-mana guru yang anda rasakan sesuai. Tidak mahukah kita dalam seumur hidup kita merasa khatam membaca al-Quran di hadapan orang yang pernah bersambung sanad bacaannya hingga sampai kepada Rasulullah SAW..? Ini peluang kita. Di Mesir ni amatlah ramai guru-guru muqrik yang mahir dan bersanad.

Nak ceritanya, guru di sini cek bacaan kita sambil pejam mata jer. Kadang-kadang sambil beliau ke dapur pun tahu kesalahan apa yang kita baca. Nak kata mahir dan kuatnya ingatan guru-guru di sini ni. Kita ni baca berulang kali di rumah. Sampai depan guru rupanya masih banyak lagi kesalahan yang kita baca. Bayangkan jika kita langsung tidak pernah membaca di hadapan guru. Salah tak salah kita langgar sahaja. Nanti kalau kesalahan itu sudah melekat dimulut kita amatlah susah untuk kita betulkan di hari kemudian. Itu baru membaca, belum tasmik hafazan lagi. Kalau benda yang kita baca dan nampak di hadapan mata pun sudah salah banyak, inikan pula hafazan kita. Macam mana pula bacaan kita dalam solat kita.

Saya tidak nafikan, walau sudah hampir 5 tahun belajar pun masih banyak kesalahannya juga. Namun, sekurang-kurangnya dapatlah juga saya meminimumkan kesalahananya. Dahulu saya pernah juga berguru di Malaysia. Jadi apabila baca di hadapan Syeikh kali pertama dahulu saya rasakan macam sudah betul sahaja bacaan saya. Tup tup 7 kesalahan saya dalam al-Fatihah. Hah, terkejut saya. Kebanyakkannya kesalahan dalam menyebut makhraj huruf. Patutlah, dahulu saya belajar dengan guru melayu jadi lahjahnya pun lahjah melayu. Sekarang ni dengan guru arab, jadi lahjahnya perlulah ikut seperti orang arab. Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab dan dengan lahjah sebutan Nabi Muhammad SAW, insan yang paling fasih dalam dunia.

Banyak perkara yang saya dapat sewaktu belajar dengan Syeikh. Antaranya bacaan perlulah kuat. Kalau kita baca perlahan sudah tentu tidak nampaklah kesalahan bacaan kita. Banyak la tempat makhraj yang tidak betul keluarnya. Tempat berhenti pun kita main langgar sahaja. Sebab mudah-mudah kita curi nafas waktu membacanya. Kalau kita baca kuat, paling kurang kita yakin yang bacaan kita itu betul. Orang yang sekitar kita pasti akan membetulkan bacaan kita jika kita tersalah membacanya.

Antara lain, apabila membaca perasaan dan penumpuan haruslah sepenuhnya dengan apa yang kita baca. Saya banyak kali berhadapan dengan sutuasi yang tidak khusuk apabila membaca di hadapan Syeikh. Kepala ingat kerja di rumah. Ingat kerja dan program. Macam-macam lagi lah. Dan waktu itu pastinya bacaan saya akan banyak salahnya. Itu tanda kita tidak beri penumpuan pada bacaan kita. Nak baca dengan baik harus beri penumpuan dengan apa yang kita baca. Sambil baca perlu juga tahu maknanya agar kita tidak berhenti pada tempat yang tidak selayaknya. Syeikh kata siapa yang tidak tahu tempat waqaf hasan (berhenti yang elok) maka dia tidak layak untuk jadi guru al-Quran. Ini memang sangat mencabar. Saya banayak kali ditegur o leh syeikh kerana berhenti di temoat waqaf qobih (berhenti yang buruk).

Saya hanya ingin berkongsi dengan kawan-kawan sahaja. Kalaupun kawan-kawan tidak sempat untuk cari guru, ada alternatif lain yang perlu kawan-kawan buat untuk perbaiki bacaan al-Quran. Antaranya anda perlu banyak membaca al-Quran dengan kuat. Untuk lebih baik lagi cari rakan-rakan yang elok bacaannya agar menyemak bacaan kita. Manhaj al-Quran dalam USRAH perlulah dipertingkat agar semua ahli usrah mampu membaca al-Quran dengan baik.

Saya rasa sedih juga kerana terjumpa kes-kes terpencil kawan-kawan yang merangkak-rangkak dalam membaca al-Quran. Itu tidak sepatutnya terjadi di sini. Kalau merangkak kerana lidah pelat itu boleh dimaafkan, tetapi apa yang saya dapai ianya sebaliknya. Al-Quran tidak dibaca. Ilmu tajwid pula tidak diendahkan. Kita harus sama-sama benteras perkara ini sebelum ia jadi lebih parah lagi. Zaman akan datang mungkin kita akan sekali lagi bertemu dengan zaman anak-anak kita tidak kenal tulisan jawi. Kalau kita tidak bersedia dari sekarang, siapa lagi yang kita harapkan untuk mendidik anak-anak kita..?!

[+/-] Selengkapnya...

Thursday, July 05, 2007

Ibu, kau inspirasiku...

Bismillah...

Sempena mengenang pemergian insan tersayang bergelar ibu, saya ingin bawakan di sini titipan khas buat mengenang jasa-jasa ibu. Moga ada iktibar untuk kita bersama.

Ibu, tanpanya mungkin kita tidak akan lahir di dunia ini. Hanya ada satu kisah sahaja yang menyatakan kelahiran manusia tanpa ibu iaitu insane pertama Nabi Adam A.S. Selian dari itu tiada insane yang Tuhan ciptakan melainkan setelah ianya duduk di dalam kandungan insane yang bergelar ibu.

Setelah dua tahun pemergian ibu (2 Julai 2005), saya dapat rasakan betapa sepinya hidup insane yang tidak punya ibu. Pemergian ayah 7 tahun sebelum pemergian ibu saya rasakan tidak sekuat cabaran dan rintangan kehilangan seorang ibu. Setelah ayah pergi, ibu tetap tabah. Ibu adalah ibu, ibu jugalah ayah waktu itu. Peranan ibu waktu itu sangat saya kagumi. Ibu tabah walau sudah tidak punya suami. Di temani 10 orang anak yang 8 orang darinya sudah berkahwin dan ditambah dengan 36 orang cucu menjadikan ibu bisa tersenyum walau di hati ibu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sewaktu ayah sakit, semanjak tahun 1990 kalau tidak silap saya, ibu tetap setia menjaga ayah. Hampir 8 tahun lamanya. Setianya ibu. Ayah mengidapi sakit yang ganjil. Waktu itu ayah mudah marah. Dek sakit yang dihadapinya menyebabkan emosi ayah mudah terganggu. Batuk yang dihadapinya kadang-kadang sehari suntuk tidak lekang darinya. Sehingga letih dan lelah ayah dibuatnya. Semalaman jugalah ibu tidak tidur menemani ayah yang kesakitan. Serangan penyakit itu menyebabkan ayah agak mudah melenting. Apabila saya dan adik bertengkar, alamat dua-dua akan mendapat hadiah rotan panjang. Waktu itu sedih juga rasanya, tapi sekarang jadi rindu dengan situasi itu. Mana ada ayah yang tidak sayang pada anaknya. Apabila ayah marah, ibulah yang menenangkannya.

Ibu pernah kata pada saya, Seorang ibu mampu membesarkan 10 orang anak sehingga dewasa, namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu ketika ibu sudah tua. Perkataan itu saya masih ingat sehingga hari ini. Seorang ibu yang sudah kehilangan suami akan jadi lebih tabah. Namun begitu, emosinya sangat mudah terluka. Itu pengalaman saya bersama ibu. Kalau abang dan akak tidak balik atau tidak telefon maka saya dan adiklah tempat ibu mengadu. Satu point di sini bagi yang masih punya ibu, selalu-selalulah telefon dan ziarah ibu. Ibu tidak minta dihargai tapi menghargai dan menghormati ibu itu satu kewajipan dan tuntutan buat kita semua. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Saya sering kali mengikut ibu ke kebun. Kata ibu tangan saya ada mengikut sedikit berkat tangan ayah. Kalau tanam pokok mudah menjadi. Tangan panas katanya. Waktu bersama ibu di kebun kami sering berbual. Waktu itu ibu sering memberikan motivasinya kepada saya. Ibu kata : Kamu nak jadi macam ibu ker?? Hidup susah, kene baut kerja berat macam ni setiap hari? Motivasi seperti itu saya rasa susah nak dapat kalau tidak mengikut ibu ke kebun. Gabungan motivasi lisanul maqal dan lisanul haal memang sangat berkesan. Kata-kata itu saya jadikan azimat untuk mengubah diri saya. Kata ibu lagi, kalau kamu sudah besar nanti ingat lagi tak kamu pada Ibu ye?? Saya amat sedih bila kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga kala ini. Saya tidak sempat berbakti pada ibu. Bagi yang masih punya ibu, jangan biarkan ibumu menderita di hari tuanya.

Ibu sering mengajar saya erti kesusahan. Saya jarang diajar hidup senang dan mewah. Masih saya ingat sewaktu sekolah dahulu kedudukan rumah saya dengan sekolah sekitar 5 KM. Saya di ajar pergi ke sekolah dengan berbasikal bertemankan adik. Pagi ke sekolah kebangsaan dan petang pula ke sekolah agama. Jarak setiap hari yang saya lalui hampir 20 KM. Ibu kata biar kamu rasa susah dahulu. Nanti besar moga kamu ingat kamu berasal dari orang susah. Jangan lupa diri pula kalau sudah senang. Motivasi itu saya pegang sungguh-sungguh. Semangat saya untuk belajar jadi bertambah setiap kali dinasihati ibu.

Pernah suatu masa keadaan waktu itu sangat susah. Kebun tiada hasil. Kakak dan abang lama tidak pulang gara-gara tiada cuti. Ayah pula sakit. Duit banyak dihabiskan untuk mengubat ayah. Waktu itu lama juga kami tidak menjamah nasi. Ibu kata, orang dahulu hidup lebih susah lagi. Kita dapat makan mee sup ni pun dah kira bertuah. Waktu itu ingat lagi baki duit ibu hanya tinggal sekitar RM 5. Cukup untuk makan mee sup 4 beranak. Ibu kata jangan bagi tahu abang dan kakak kamu. Tapi saya tidak sanggup. Waktu abang dan kakak balik saya ceritakan semuanya. Habis semua berderai air mata. Begitulah sikap seorang ibu. Tidak berniat langsung menyusahkan anak-anaknya.

Ibu sangat mengambil berat terhadap pembelajaran saya. Ibu memberikan kebebasan kepada saya untuk memilih bidang saya. Walau begitu ibu tetap mengaturnya. Langkah saya di halakan ke sekolah menengah agama. Bersusah payah ibu mengusahakannya. Terima kasih ibu. Kalau ibu tidak melorongkan saya ke lorong ini mungkin kini saya tidak di sini. Ibu mahu 4 beradik yang terakhir bersekolah agama. Nak jadi apapun kata ibu biarlah kamu berasal dari sekolah agama. Kesedaran ibu waktu itu membuahkan hasil kini. Keempat-empat anak yang terakhir semuanya lepasan sekolah agama. Ada juga orang yang kata pada ibu nak jadi apa anak-anak kamu nanti sekoah agama. Tak ada masa depan. Ibu tetap yakin, mungkin ibu sudah nampak, saham akhirat ibu akan jadi makin berat (insyaallah) bila anak-anak ada pengetahuan agama. Adik beradik saya sebelum itu semuanya keluaran kebangsaan.

Ibu jadi Simbol kekuatan saya. Jika saya susah pasti ibu akan terasa. Doa ibu memang cukup mujarab. Setiap kali saya telefon pasti tidak lupa untuk minta ibu mendoakan saya. Waktu itu tidak saya perasan kekuatan doa ibu. Setelah ibu pergi barulah saya rasa rindu dengan doa seorang ibu. Banyak perkara yang saya rasakan mungkin ianya datang dari doa ibu. Kadang-kadang perkara itu tidak terjangka. Waktu pertama kali exam di al-Azhar dahulu saya ingatkan saya bakal sangkut disebabkan beberapa perkara teknikal. Namun ianya lepas dan saya rasakan ianya berkat dari doa ibu yang tidak putus-putus mendoakan saya. Kini saya benar-benar rindu dengan doa ibu. Benarlah doa ibu yang ikhlas mendoakan anak-anaknya itu antara doa-doa yang mujarab. Anda semua jangan lepaskan peluang keemasan memohon doa restu ibu. Kalau sudah kehilangan seperti saya nanti baru anda akan rasa sepi tanpa doa seorang ibu.

Apa yang saya tuliskan ini tidak mampu menghuraikan jutaan jasa-jasa ibu buat saya. Kesemua jasa-jasa itu tidak mampu rasanya saya balas dan pastinya memang tidak akan terbalas. Hanya mengharapkan saya mampu jadi saham buat ibu dan ayah di akhirat sana. Moga Allah jualah yang membalas jasa ayah dan ibu lebih baik dari jasa-jasa mereka terhadap saya semenjak saya kecil hingga dewasa.

Bagi mereka yang punya ayah dan ibu, jangan siakan kehidupanmu dengan meminggirkan kasih ayah ibu. Hormati, sayangi, kasihi dan berbaktilah pada mereka selagi usiamu di kandung badan. Sayang ibu dan ayah membawa ke syurga.

Al-Fatihah buat almarhumah Hjh Rumini bte Mohd Mashudi dan Al-Marhum Hj Tamjis B Hj Yosuf.

Wallahu'aalam...

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, June 27, 2007

INTIM tanpa CINTA

Bismillah..

“Berkawan biar seribu, berkasih (beristeri) mula-mula satu…”.

Kata-kata tersebut sering kita dengar meniti di bibir teman-teman dan rakan taulan dan kebiasannya ia sangat sinonim bagi seorang yang bergelar lelaki. Kali ini saya tidak mahu bercerita tentang fenomena kecurangan atau ketidak setiaan, adik-kakak-abang angkat dan yang seangkatan dengannya kerana ianya telah saya kupas dalam tajuk entri saya yang lalu : Saya Benci Lelaki Yang Tidak Setia.

Kali ini saya cuba untuk mengupas satu lagi fenomena yang saya rasakan ia mula membarah di kalangan kita ; INTIM tanpa CINTA dan minta maaf sekiranya artikel ini banyak menyentuh hati dan naluri sidang pembaca semua. Tulisan ini hanya sekadar pandangan seorang lelaki yang tidak punya apa-apa kepentingan dalam menulis artikel sebegini. Ia juga adalah permintaan dari seseorang yang meminta saya menulis berkaitan hukum atau kaedah dan batasan berkawan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Terlanjur menulis, saya cuba untuk mengupas fenomena ini sekadar yang termampu.

Situasi kini saya melihat hubungan social antara lelaki dan perempuan bertambah terbuka ditambah lagi dengan kewujudan teknologi maklumat dan IT yang semakin merencam. Siapa sahaja yang tidak kenal friendster, YM, GT, Tagged, SMS, 3G dan lain-lain komuniti yang menyediakan ruang maya untuk berinteraksi. Ruang yang diberikan juga amat luas sehingga mampu untuk berbual dan saling melihat walupun berada di kejauhan dan berbentengkan tembok pemisah. Suasana sosial yang berada di luar sana di bawa ke alam maya seolah-olah hukumnya berbeza dengan apa yang dilakukan di alam realiti. Bahkan terkadang amat ‘terlampau’ melebihi batasan realiti. Dosanya ringan sedikit katanya berhujjah.

Sebelum pergi lebih jauh, elok saya nyatakan terlebih dahulu apa ‘ghard’ atau tujuan manusia berkawan dan berinterkasi. Di dalam ayat al-Quran surah al-Hujuraat : ayat 13.

Yang bermaksud : “Wahai sekelaian manusia, sesungguhnya telah kami jadikan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan dan kami jadikan pelbagai bangsa dan kaum agar kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu itu adalah yang paling tinggi ketaqwaannya kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Luas PengetahuanNya”.

Umum ayat di atas menyatakan bahawa lelaki dan perempuan dijadikan memang untuk berkenalan dan beramah mesra. Namun apakah sebenarnya tujuan persahabatan itu? Adakah ia khusus untuk yang sejenis sahaja (lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan)atau termasuk juga yang berlawanan jenis dengannya.

Sebuah hadis sohih di dalam kumpulan hadis Imam Turmuzi ada menyatakan tujuan persahabatan itu;Maksudnya: “7 kelompok yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya. Mereka adalah pemimpin yang adil, anak muda yang senantiasa beribadah kepada Allah Azza wa Jalla, seseorang yang hatinya senantiasa dipertautkan dengan mesjid, dua orang yang saling mencintai karena Allah, yakni keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah, seorang laki-laki yang ketika dirayu oleh seorang wanita bangsawan lagi rupawan lalu ia menjawab: “Sungguh aku takut kepada Allah”, seseorang yang mengeluarkan shadaqah lantas di-sembunyikannya sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian ia mencucurkan air mata”.

Mafhum dari hadis tersebut menunjukkan bahawa tujuan persahabatan itu adalah untuk berkasih sayang kerana Allah Taala. Persahabatan itu ikhlas keranaNya tanpa ada kepentingan yang lain selainNya.

Mafhum dari maksud hadis di atas juga menunjukkan bahawasanya dua orang yang dimaksudkan itu adalah di antara 2 orang lelaki atau dua orang perempuan sahaja.(Lafaz ‘rajul’ umum termasuk juga perempuan). Ia tidak menunjukkan maksud hubungan antara lelaki dan perempuan akan tetapi hanya untuk lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita yang bersahabat dan berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah maka mereka akan mendapat payungan rahmat dan keselamatan dari Allah Taala di akhirat kelak.

Sewaktu pengajian yang berkaitan dengan hadis di atas bersama al-Marhum Syeikh Fauzi sutau ketika dahulu, saya pernah bertanya adakah sekiranya seorang wanita dan lelaki berkasih dan berkenalan kerana Allah Taala, maka mereka juga termasuk di dalam hadis di atas. Beliau menjawab tidak, sesungguhnya wanita dan lelaki itu berkawan bukan kerana Allah tetapi kerana perkahwinan atau pernikahan. Maka perkahwinan dan pernikahan itu perlulah didasari niat ikhlas kerana Allah Taala moga-moga akan termasuk di dalam 7 golongan yang mendapat perlindungan Allah kelak.

Di dalam sebuah kitab karangan Ar-raudhatul ‘Athir karangan syeikh An-Nafzawi ada menyatakan :

Maksudnya : “Persahabatan lelaki itu tidak berkaitan dengan wanita kerana apabila 2 jiwa itu bertemu akan terdetik kelainan rasa di dalam hati keduanya itu (berbanding apabila 2 hati lelaki bertemu), Kemudian akan masuklah rasa was-was (syaitan) merosakkan 2 jiwa itu lantas akhirnya akan tersebarlah kisah keduanya di hadapan sekelian manusia”.

Oleh itu jelas, hubungan yang melibatkan antara lelaki dan wanita amat-amat perlu dipelihara kerana syaitan sentiasa mengambil peluang untuk mengotori jiwa manusia terutamanya para penuntut ilmu Allah Taala agar merasa lapang apabila berinteraksi dengan wanita. Lebih-lebih lagi saluran yang terlalu banyak sekarang lebih mudah mendedahkan kita kepada bahaya was-was dari syaitan.

Sekali pandang, pandangan saya ini nampak agak keras dan syadid. Saya hanya menaqalkan pandangan ini dari guru saya. Dan itu jugalah yang saya rasakan baik untuk dipraktikkan di dalam masyarakat pelajar yang belajar agama kerana satu kejahatan yang ada pada kita gambaran ada 10 lagi keburukan dan mungkin lebih lagi yang ada pada orang yang tidak belajar agama seperti kita. Kalau di sini kita sudah terbiasa dengan suasana sosial yang terlalu bebas walau di alam maya, bagaimana nanti mahu mengislah keadaan masyarakat kita yang amat kritikal dewasa ini hasil serangan jarum-jarum kuffar yang mengajak ke arah kehidupan cara barat.

Saya perhatikan juga dewasa ini pelajar-pelajar kita mula bebas bergaul dan bertegur sapa antara yang berlainan jantina. Kalau berchating dengan yang sejenis tiada apa yang nak dibualkan. Tapi jika ada yang berlawanan jenis masuk menyapa, wah sejam biasa dua tiga jam terlajak tidak terasa. Benarlah kata-kata syeikh An-Nafzawi di atas tadi, memang ada kelainan rasa bila 2 jiwa itu bertemu. Sama ada nampak wajah atau tidak, dengar suara atau tidak, kenalan lama atau tidak pastinya rasa ‘huwas’ itu akan terbit walau sekelumit cuma.

Bila ditanya, wah intimnya(rapatnya) kau dengan si Dia. Jawabnya, ala aku tidak ada apa-apa. Kawan biasa ajer. Aku memang rapat dengan semua orang. Wah hebatnya intim tanpa cinta.

Bila ditanya kau baik-baik dengan lelaki lain ni tunang kau tak marah ker. Jawabnya, ala aku bukan buat apa-apa. Kawan biasa jer. Hati aku tetap dengan dia. Lagipun aku baru bertunang, belum kahwin lagi. Wah hebatnya, intim tanpa cinta.

Apabila ditanya ramainya kawan perempuan kau. Jawabnya, ala biasala social la sikit. Kawan biar seribu berkasih biar satu. Wah hebatnya boleh intim tanpa cinta.

Saya nasihatkan diri saya sendiri, tinggalkanlah perkara ini. Berhati-hatilah dalam berinteraksi. Kan berbeza kalau kita berinteraksi untuk belajar dan bekerja dengan kita berinteraksi untuk berbual dan berpoya-poya. Saya tidak katakana hubungan itu tidak boleh wujud langsung, tetapi berpadalah dengan keperluanya. Kalau sudah sampai melekek ketawa dan bersuka-suka itu apa kesnya…!!?

‘alalasafissyadid…

Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak wanitanya jadi piala pusingan.

Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak lelakinya ada wanita keliling pinggang.

Wallahu’aalam

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, June 20, 2007

Mati itu pasti, kenapa didustai...

Bismillah..


Alhamdulillah, hari ini saya diberi peluang untuk sekali lagi menulis. Exam telah berakahir, namun bukan bererti hari cuti telah tiba. Exam itulah sebenarnya hari cuti bagi saya kerana dapat duduk di rumah mengulangkaji pelajaran. Kalau tamat sahaja exam bermakna waktu untuk masuk bertugas semula telah tiba.

Seminggu yang lalu kita dikejutkan dengan berita kematian yang sangat menyayat hati. Kali kedua dalam sejarah hidup saya di sini, berdepan dengan kes pembunuhan. 3 tahun dahulu, sahabat sekuliah dan satu study group dengan saya mati dibunuh. Bukan sekadar dibunuh, bahkan dibakar hidup-hidup sekeluaarga (isteri dan 2 orang anak kecil) sewaktu orang ramai berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Wajah manja anak-anak yang mati dibakar itu sehingga kini masih saya ingati. Sungguh kejam. Saya ingat, itulah kali pertama dan terakhir ia berlaku di bumi al-azhar.

Tahun ini sekali lagi terjadi. Tiada bakar-bakar. Tapi mencincang. 4 bilah pisau digunakan. Sehingga si mangsa tidak mampu mempertahankan diri walau untuk melarikan diri. Akibatnya mati disebabkan luka yang teramat parah. Apa sudah jadi dengan kita semua ni. Belajar apa kita di sini sebenarnya. Sehingga dalam keadaan tertekan sanggup untuk membunuh. Hilang sifat rahmah dan kasih sayang. Mungkin sebab kita telah terlalu jauh dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Bukankah ini fitnah yang patut kita rasai bersama.

Akan datang?? Bagaimana?? Ya mati itu pasti datang, usah ia didustai.

Saya amat terkejut dengan pelbagai spekulasi yang menyatakan sebab pembunuhan. Amat kesal sehingga yang tidak tahu menahu turut ingin memberikan komen. (Sila rujuk forum kes pembunuhan di dalam tranungkita.net) Akhirnya, kes yang terjadi dimasak dan ditanak sehingga menjadi fitnah pula kepada mangsa dan si pelaku. Kita yang mendengar ni bukan kerja kita nak mengesyaki yang bukan-bukan. Tokok tambah cerita yang kita agak-agak dan rasa-rasakan. Cukuplah kita mengambil iktibar di atas kematian yang datang. Ia datang tidak diduga. Datangnya juga tidak kita ketahui bagaimana caranya. Dibunuh, terbunuh, mati berperang, kemalangan, di atas katil hospital, jatuh tangga, mati diracun semuanya tidak kita ketahui. Yang ini kita tidak ambil kira waktu mendengar kes pembunuhan tadi. Malahan ada pula yang sanggup melawak. Ehh. Mati jadi jenaka..!!! Cukuplah mati itu menjadi peringatan untuk orang-orang yang beriman.

وَجَاءتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ذَلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ

Maksudnya: "Dan telah datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya." (Qaf : 19)

فَإِذَا جَاء أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya :"Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya." (al-A'araf : 34)

Saya pernah mendengar pesanan pensyarah saya sewaktu di MADIWA suatu ketika dahulu. Katanya ada suatu perkara yang sangat benar dan semua orang tahu dan beriman bahawa ia benar namun terlalu ramai orang yang mendustakannya setelah beriman dengan kebenarannya. Apa dia?? Itulah dia MATI. Kalau kita beriman dengan benarnya kematian, sudah tentu kita amat takut untuk melakukan maksiat malahan membuang masa juga tidak sanggup kita lakukan. Mengapa? Sebab kita tidak tahu bila kita akan mati. Cukupkah bekalan kita untuk ke akhirat nanti. Apa kita nak jawab di hadapan Tuhan dengan seciput bekalan yang kita bawa?? Bayangkan pula kalau mati menemui kita sewaktu kita sedang sedap melakukan maksiat dan membuang masa. Nak jawab apa depan kamera Tuhan?? Na'uzubillahi min zalik.

Harapnya kita tidak tergolong di kalangan orang yang mendustakan MATI. Kalau sudah dibangkitkan kelak, kita sudah tiada peluang lagi untuk kembali ke dunia.

حَتَّى إِذَا جَاء أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ # لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحاً فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya : Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu, hingga apabila datang kematian kepada seorang dari mereka, dia berkata: "Ya Rabb kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitan. (al-Mu'minuun : 99-100)

Semoga mati bukan jadi bahan lawak jenaka kita. Mati itu benar, jangan kita mendustakannya.

Wallahua'alam.

[+/-] Selengkapnya...

Friday, June 08, 2007

Muslimah, auratmu bukan mainan..

Bismillah...
Sudah hampir seminggu website saya sepi bersawang. Pengungjung yang datang pun sudah berasa bosan untuk berkunjung dek kerana isi yang sama mengisi ruangan utama. Saya minta maaf pada yang datang kerana seminggu yang berlalu dipenuhi dengan tugasan-tugasan yang tidak dapat di elakkan. Bagi kawan-kawan yang menghubungi, saya juga minta maaf kerana banyak yang tidak berangkat dan tidak dapat untuk saya hubungi semula kerna masa yang padat dan poket yang sudah kosong belum berisi.

Terfikir saya untuk menulis artikel ini di atas beberapa peristiwa yang saya lalui dalam beberapa minggu ini. Saya rasa amat sedih kerana tidak mempu meluahkannya secara berhadapan. Oleh itu saya ambil kesempatan ini untuk saya titipkan di dalam jurnal jalan kehidupan saya. Moga ia dapat dijadikan iktibar, didengari oleh pihak yang berkenaan dan dalam masa yang sama melepaskan tanggung jawab fardul muslim saya : menegur dan ingat mengingat dalam kebaikan.


Hati saya membuak-buak memberontak untuk menegurnya. Namun apakandaya, iman ini masih diperingkat awam. Namun, saya berharap tulisan tangan ini masih tergolong di dalam peringkat pertama yanag disebutkan di dalam Hadis Nabi SAW yang bermaksud : Sekiranya kamu melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tanganmu. Papan keyboard ini, bukankah ia lebih tajam dari mata pedang.

Saya fokus isu ini hanya buat muslimah kerana saya rasa terpanggil untuk berkongsi bersama muslimah sebuah hadis yang sering kita dengar di dalam kumpulan hadis-hads Nabis SAW yang berbunyi :

سيكون في آخر أمتي نساء كاسيات عاريات، على رؤوسهن كأسنمة البخت، العنوهن فإنهن ملعونات

Maksudnya : Akan datang nanti wanita di kalangan ummatku di akhir zaman, mereka berpakaian tetapi seolah-olah mereka berbogel (berpakaian nipis dan menampakkan badan), di atas kepala mereka (tidak bertutup) seperti mana belakang bonggol unta (jadi tayangan dan kebanggaan), Celalah mereka, sesunguhnya mereka itu orang-orang yang tercela. [Sanad hadis Sohih Riwayat Tabrani]

Hadis ini amat berat bunyinya. Sehingga Rasulullah SAW mengarahkan kita melaknat wanita yang disifatkan sebagai 'ariaat di dalam hadis di atas.

Apa yang saya lalui, saya lihat seolah-olah muslimah (saya tidak kata semua) sengaja mencari peluang untuk mendedahkan aurat mereka. Muslimah bukan tidak tahu etika pakaian yang Islam kehendaki, mereka amat tahu, tetapi saya rasa seolah-olah muslimah sengaja tidak menghayati apa yang telah diketahui. Terlalu banyak ahdas dan peristiwa yang saya alami. Saya akan perincikan di sini moga ada perubahan sedikit sebanyak selepas ini.

Pertamanya, saya terlihat muslimah sengaja memakai baju yang berlengan terbuka lebar tanpa memakai jaurab lengan yang menutup sehingga ke pergelangan tangan. Nak kata fesyen mak datin tidak juga. Mungkin juga terpengaruh dengan minah-minah arabyang ada di sini. Yang saya 'terperhatikan' tu sengaja angkat lengan seolah-olah ada sesuatu yang ingin ditonjolkan. Nak kata ada rantai emas berlian tiada. Apa yang ada hanyalah rantai asfour. Tak padan kalau setakat nak tunjuk gelang asfour berbanding azab yang telah Tuhan janjikan. Kalau terlupa yang aurat wanita tu sampai ke lengan, kat sini saya mahu ingtakan semula bahawa aurat tu sampai ke pergelangan tangan. So kenalah hati-hati yer. Jaurab lengan pun bukan mahal sangat. Lebih murah dari gelang asfour yang berlilit di tangan.

Keduanya, saya 'terperhatikan' muslimah tidak memakai stokin sewaktu berjalan. Ye lah, kadang-kadang nak pindah ke bilik sebelah jer, lecehlah pakai stokin. Boleh sembunyi belakang tabir, orang tak nampak. Tapi tak perasan kaki tu tetap orang nampak. Memang tiada dalam quran wajib kene pakai stoking kan. Tapi bukan ker kaki tu juga masih lagi aurat yang perlu ditutup. Ala ustaz stoking basah kene hujan. Emm, beli la banyak sikit. Tak kan hanya ada satu stoking jer. Baju banyak, kasut banyak. Stokin satu jer. Tak padan. Ala ustaz, jubah panjang tak nampak kaki. Saya no komen. Jawab la nanti depan Tuhan dengan alasan-alasan tu. Kaki ni bukan pandai sembunyi sendiri dalam jubah. Kalau dah terjulur nampak kaki jangan salahkan kaki. Salahkan tuan kaki yang tak pakai stokin.

Ketiganya, saya 'terperhatikan' muslimah tidak pasang langsir tingkap atau tidak tutup tingkap. Tabir dan tingkap tu aurat ke ustaz? Baca la dalam kitab. Pernah jumpa langsir tu aurat ker. Saya terperhatikan langsir-lansir dan tingkap-tingkap di buka luas musim panas ni. Ye lah panas, tapi api neraka tu lagi panas. Kalau duduk kat bilik tu pakai tudung dan pakain lengkap tidak mengapalah nak cabut terus ke langsir dan tingkap tu. Tapi yang terperhatikan tidak seperti itu. Ala ustaz ni, saja nak tengok bilik akhwat. Bukan nak tengok tapi ada tarikan untuk dilihat. Bukan ikhwah jer nak tengok, arab kat depan rumah tu duk perhati jer. Siap datang menegur pula kata musliamh kita tak tutup aurat buat pawagam untuk tayangan ramai. Hati-hati muslimah. Kalau panas juga, belilah kipas. Apalah nak dinilaikan harga kipas tu dengan ganjaran pahala yang Allah janjikan bagi mereka-mereka yang bersungguh-sungguh menutup aurat mereka. Niatkan beli kipas tu untuk tutup aurat kan bagus.

Keempatnya, saya terperhatikan muslimah suka angkat tudung yang sedia labuh sehingga ke bahu. Kenapa yer. Panas ker. Atau sudah biasa pakai tudung kecil, tapi kat sini terpaksa pakai tudung labih sebab takut ustaz marah. Kakak-kakak marah. Kalau terangkat tidak mengapa. Tapi ini selalu sangat. Dah jadi macam sengaja. Kalau buat macamtu sesama akhwat tidak mengapa. Ini yang peliknya di luar. Nampaklah bentuk badan tu. Aurat sudah lepas di tutup tapi masih lagi tidak sempurna kerana syarat tidak dipenuhi. Pakaian mesti tidak menampakkan bentuk tubuh. Ala ustaz, jubah kita labuh la tak nampak bentuk badan. Bagi saya kalau lepas pun dari segi hukum tetap pemandangan tu tak manis dari kaca mata saya yang rabun ni. Terpulang muslimah untuk menilainya. Saya hanya kata apa yang hati saya rasa.

Nak saya tuliskan semua saya rasa muslimah lebih mengetahui hak-hak mereka. Saya hanya melihat dua tiga kes di depan mata. Mungkin yang berlaku di sini hanya dua tiga kes ni sahaja yang boleh kita katakan sebagai kes-kes terpencil. Tapi mencegah sebelum jadi parah itu lebih baik dari memotong anggota yang sudah parah di makan kanser. Saya sebut di sini sebab muslimah jadi contoh di luar sana. Manis muslimah berbusana, bijak muslimah berhijab cukup menjadi dakwah yang berkesan berbanding kata-kata yang dilafazkan. Lisanul hal ablagh wa asdaq min lisanil maqal.

Maaf jika artikel ini tidak sedap dibaca. Ini hanya pandangan dari insan rabun seperti saya..

Wallahu'aalam..

[+/-] Selengkapnya...

Saturday, June 02, 2007

Rezeki Tangan Sendiri..

Bismillah,


Iza Kana Qutuka min yadaik, Yakti Qararuka Min Roksik - al-Marhum Syeikh Mutawalli as-Shakrawi r.a.

Maksud : Jika Makananmu (rezeki) datang dari tanganmu (usaha) sendiri, maka pertimbangan mu akan lahir dari fikiranmu yang asli (tanpa kongkongan dan paksaan).

Lafaz hikmah di atas saya dengar semalam dari seorang ustaz, Ustaz Selamat. Ia cukup membuat saya merasai kehaibatan ulamak tersebut. Ulamak besar yang pernah menjadi Menteri Wakaf Mesir, duduk di bawah pimpinan Sang Penakut Si Kuku Besi, Hosni Mubarak. Namun apa yang membanggakan, beliau tidak terpengaruh dan tidak tunduk dengan kehendak serakah sang Pemerintah. Beliau terkenal dengan seorang yang berpendirian tegas dan berani menyatakan kebenaran walau berhadapan dengan pemerintah tertinggi Negara. (Tidak hanya enggih engih, tidak hanya angguk angguk). Bukan mudah untuk melafazkan kalimatulhaq inda sultan al-ja'ir.

Pernah suatu ketika saya menyaksikan di dalam sebuah klip video, Syeikh Shakrowi menegur Sang President di hadapan halayak dan siaran tersebut keluar di dalam television tempatan.Sungguh berani dan tegas dalam menyatakan komentarnya. Sang President pula yang tertunduk kaku mendengar komentar tersebut. Bagaimana keberanian itu boleh timbul? Jawapannya, kata-kata di atas menjadi pegangan beliau. Beliau tidak meminta-minta untuk jadi mewah dan hidup senang walaupun bergelar seorang menteri!!! Rezekinya datang dari usahanya sendiri.

Pernah juga beliau mendapat hadiah dari kerajaan Arab Saudi dalam jumlah yang amat besar. Namun sumbangan tersbut tidak dijamahnya lalu diberikan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin di dalam negara. Sungguh luar biasa. Adakah kita juga mampu jadi seperti beliau jika wang bantuan zakat yang kita terima pun sukar kita nak sharing dengan kawan-kawan.

Saya harap ia dapat jadi motivasi buat kita semua. Jangan rendahkan martabat ilmu yang kita pelajari dengan kesenangan dunia yang sementara. Rezeki yang kita perolehi haruslah datang dari usaha dan penat lelah kita sendiri. Jangan mudah meminta-minta atau mudah menerima jolokan kemewahan dan harta benda, kelak jika diterima kita terpalit dan sukar menyatakan kebenaran dek rasa terhutang budi dan kesenangan yang mengikat perut kita. Nak senang itu boleh, tapi jangan diganti dengan kemurkaan Tuhan.

Istilah-istilah seperti "nak jaga periuk nasi", ulamak rice cooker dan macam-macam lagi istilah sangat menakutkan saya. Cakap memang senang kan, tapi nanti kalau dah teruji tidak tahulah adakah mampu diri menghadapinya. Moga Allah menjaga kita semua dari fitnah ini. Saya anggap itu semua fitnah bagi seorang yang belajar agama. Contoh dah banyak di depan mata. Duduk di sana cukup takut untuk menyatakan kebenaran. Sebab apa? Tengkuk kita kita sudah kita letakkan secara sukarela depan mata pedang musuhNya. Kita sudah terikat dengan kemewahan dan kesenangan yang kita dambakan.

Percaya atau tidak, dunia ini akan rosak jika dua golongan ini rosak. Pertamanya Institusi Ulamak dan ilmuan. Keduanya Golongan pemerintah dan pentadbir.

Wallahu'aalam..

[+/-] Selengkapnya...

Thursday, May 24, 2007

Sifat Solat An-Nabi S.A.W

Bismillah…


Alhamdulillah. Kitab yang ingin saya perkenalkan ini bertajuk "Sohih Sifat Solat An-Nabi SAW Min at-Takbir Ila at-Taslim Kaannaka Tanzur Ilaiha" – Karangan Hassan Ali as-Saggaf. Hampir 2 tahun saya mencari kitab ini di merata tempat, kini dapat juga saya baca dan PDF kan untuk dikongsi bersama para pembaca budiman. Saya hanya mampu meminjamnya dari kawan CHEM kerana kitab ini telah kehabisan di pasaran. Puas saya cari di maarad kutub, di maktabah sekitar kaherah dan tanta, namun kitab ini seolah-olah telah ghuyub dari pasaran dengan dua kemungkinan. Pertamanya ia sudah habis kerana terlalu banyak permintaan. Kedua, kitab ini telah dihalang dari memasuki pasaran Mesir kerana terlalu ramai kewujudan mereka yang bertentangan dengan pengarang kitab ini. Itu hanya sangkaan saya sahaja. Terpulang pada para sahabat untuk menilainya. Sangka baik, mungkin ada tempat lain yang saya tak pegi lagi.

Yang banyak di pasaran adalah kitab di bawah ini dengan tajuk yang hampir sama iaitu " Sifat Solat An-Nabi SAW Min at-Takbir Ila at-Taslim Kaannaka Taraha" – Karangan Muhammad Nasiruddin al-Albani. Di mana-mana maktabah sekitar Kaherah hanya kitab ini sahaja yang ada. Pernah saya sewaktu mencari kitab di atas dicemuh oleh petugas di sebuah maktabah katanya : Buat apa cari kitab tu, kitab ini (Karangan Al-Albani) kan ada. Saya kata saya dah ada. Suka hati saya nak baca yang mana. Pelik, seolah-olah ada sesuatu yang menarik sehingga kitab tersebut ghuyub dari pasaran Mesir.

Saya tidak mahu komen apa-apa lagi. Bacalah kedua-dua kitab tersebut dan jangan halang sesiapa untuk menilainya. Saya tidak mahu pengaruhi anda sebelum anda sendiri membaca kedua-dua kitab tersebut. Zaman ni ramai orang yang menghalang orang untuk membaca kitab-kitab karangan puak yang berlawanan dengan mereka. (halang tak bagi baca terus dengan hujjah haram baca kitab ahli bid'ah). Kebenaran akan terjelma juga walaupun kita dihalang dari membacanya. Kita ni banyak sangat komen orang sebelum kita temui dan nilai dengan teliti hujah yang orang bawa. Bahaya sekali. Nanti kita akan terhalang dari menemui kebenaran. Bagi saya, walaupun kita bertentangan pendapat tak sepatutnya kita menghalang orang dari menilai dengan teliti hujjah yang di bawa pihak yang berlawanan. Satu lagi, kita berlawan hujjah bukan berlawan syaksiyah. Tak boleh kita mencela pihak yang berlawanan dengan kita dengan sebab hujah kita habis di ptah pihak lawan. Dah dah..panjang pulak membebel.

Sila klik link di bawah untuk dapatkan PDF kitab karangan Syeikh Hassan Saggaf tersebut. Kitab yang satu lagi tu karanagn Syeikh Al-Albani, anda boleh dapatkan di Darul Salam atau mana-mana maktabah yang banyak di Mesir ni. Kalau sesiapa ada jumpa kitab karanagn Syeikh Hassan Saggaf tu boleh bagi tahu saya untuk saya beli yang soft copy. Belilah barangan original. Minta maaf sekiranya PDF tu tak berapa terang. Kalau nak terang lagi kene besarkan saiz dpi dia. Berat la nanti hasilnya. Nak buat sekali lagi kene tunggu 5 jam pulak duduk depan scanner. Tak larat. Sekian sahaja untuk kali ini.

File tersebut dalam bentuk PDF yang telah di kecilkan dengan file rar bersaiz 12 MB.
Sila Klik :

Sohih Sifat Solat An-Nabi SAW Min at-Takbir Ila at-Taslim Kaannaka Tanzur Ilaiha" – Karangan Hassan Ali as-Saggaf

Wallahu'aalam.


[+/-] Selengkapnya...

Tuesday, May 22, 2007

Professionalkah kita...?

Bismillah...

Alhamdulillah. Syukur pada Ilahi kerana dengan limpah rahmatnya masih lagi diberikan kesempatan untuk mencoret sedikit titipan untuk para pembaca budiman. Saya rasa terpanggil untuk menyatakan beberapa perkara di sini untuk tatapan pembaca. Saya tahu pembaca yang ada di sini bukanlah semuanya datang dari bumbung yang sama (pelajar bidang Agama), namun isi kandungannya bagi saya tetap sesuai untuk diambil pengajaran oleh sesiapa sahaja. Fokus saya kali ini adalah : Saya pelajar Agama serba boleh...!!!

Saya sebenarnya amat tertarik dengan satu slogan yang timbul tidak berapa lama dahulu. Slogan itu berbunyi memprofessionalkan ulamak dan mengulamakkan professional. Semua orang tahu apa itu ulamak. Tapi tak semua tahu apa erti professional. Di dalam kamus Dwibahasa, professional dinyatakan sebagai seseorang yang mempunyai kemahiran yang terlatih. Ada juga yang mengatakan bahawa professional mewakili bidang-bidang tertentu dalam pekerjaan. Pekerja kelas A seperti Doktor, Peguam, Pensyarah dan lain-lain digelar sebagai golongan professional. Bagi saya, tidak semestinya seorang doktor, pensyarah atau peguam tergolong dalam golongan professional. Ia tetap tidak professional jika ia tidak mahir dan terlatih dalam bidangnya.

Yang pastinya di sini, tiada orang yang lahir dalam keadaan professional. Semua orang boleh jadi professional kerana professional bagi saya tidak mewakili golongan tertentu dalam kerjaya. Professional perlukan latihan dan kemahiran. Seorang guru, tukang besi, pemain bola, ustaz dan apa sahaja profession boleh digelar professional. Syaratnya ia perlulah terlatih dan berkemahiran dalam bidangnya. Lebih-lebih lagi jika ia melampaui kemahiran di dalam bidang-bidang lainnya.

Di dalam sebuah hadis ada dinyatakan :

إن الله يحب الذين آمنوا إذا عمل عملا أن يتقنه

Maksudnya : Sesungguhnya Allah Taala menyukai orang-orang yang beriman yang mana sekiranya ia melakukan sesuatu pekerjaan ia laksanakannya dengan kesungguhan (ketekunan)

Jelas diketahui dari mafhum hadis di atas, Islam amat menggalakkan agar ummatnya bersungguh-sungguh di dalam sesuatu pekerjaan. Kesungguhan di dalam sesuatu pekerjaan akan menatijahkan kemahiran dan kesempurnaan sekaligus akan menyebabkan kita tergolong di dalam kumpulan professional yang digembar-gemburkan masyarakat massa kini.

Pelajar Al-Azhar tidak professional?

Saya sering kali mendengar komentar dari pihak luar yang mengatakan pelajar al-Azhar tidak mahir, malas, selekeh, tiada keterampilan dan selalu ponteng kuliah. Saya secara peribadi mengakui bahawa telahan itu ada juga benarnya. Dalam masa yang sama saya menyatakan sebahagian pendapat yang bercakap itu tidak menghayati keadaan sebenar mahasiswa di sini dan menilai ikut sesedap rasa sahaja.

Saya ingin berikan beberapa gambaran kepada pihak yang hanya menuding jari menyatakan kelemahan dalam masa yang sama, tiada tindakan yang dibuat untuk mengatasi masalah tersebut. Bukan maksud saya untuk menafikan kelemahan. Tidak, saya akui kelemahan, tapi biarlah mereka tahu apa sebenarnya yang mereka tudingkan.


~ Mereka kata pelajar-pelajar lepasan al-Azhar lemah bahasa arab.


  1. Saya katakan ya, memang lemah. Tapi ketahuilah bahawa kemahiran bahasa arab itu ada banyak. Kemahiran membaca, menulis, bercakap dan mendengar. Tidak wajar dikatakan bahawa orang melayu yang tidak fasih berbahasa melayu dikatakan lemah bahasa melayu kerana dia masih lagi boleh menulis, membaca dan mendengar dengan baik. Ketahuilah bahawa bercakap itu hanya sebahagian dari kemahiran bahasa arab. Namun orang sekarang menilai bahawa bercakap itulah yang paling utama. Tidak fasih bercakap bererti tidak mahir bahasa arab.

  2. Saya katakan juga, sebenarnya kelemahan itu bukan semuanya berasal dari sini. Perlu diketahui ada juga lepasan al-Azhar yang hanya setahun dan dua tahun di sini. Macam sayalah. 2 tahun sahaja di al-Azhar. Kalau nak kata yang lemah itu 100% dari sini tidak wajarlah. Lihatlah juga sistem pengajian yang di jalankan di malaysia sebelum mereka melanjutkan pengajian di sini. Soalnya di sini, kami belajar bahasa arab ni sejak dari tingkatan satu lagi, tapi tidak mahir-mahir juga. Kenapa? Malas? Entahlah...

  3. Kalau yang empat tahun juga masih lemah, ya saya katakan itu memanglah ia tidak bergaul dengan manusia.

~ Mereka juga kata pelajar-pelajar ni lemah dalam bidang agama, bidang mereka sendiri.


  1. Pertamanya perlu diketahui, Doktor sakit mata kalau kita suruh dia ubati orang yang sakit otak manalah dia boleh buat. Sebab apa? Sebab itu bukan bidang dia. Dia pakar bahagian mata. Pelajar agama akhir zaman ni pun macam tu juga. Walau ia belajar ilmu agama, tetapi ia telah dipecahkan kepada beberapa takhassus. Usuluddin, bahasa arab, syariah dan dirasaat islamiyah. Saya tidak nafikan memang itu satu kelemahan jika seorang pelajar agama tidak mempu menjawab persoalan agama. Tapi perlulah dilihat, ia dari bidang apa. Orang belajar agama ni pun macam doktor juga. Kalau jawab bukan ikut pengetahun dan kemahiran alamat sesatlah orang. Kalau soal sakit mata pun kene jumpa doktor sakit mata. Nak tanya soalan bab-bab agama juga kenelah tanya orang yang alim di dalam bidangnya.

  2. Bidang agama ni bukan bidang kecil yang cukup belajr 4 tahun sahaja. Ia perlukan masa yang lama. Bagi saya 4 tahun tu baru permulaan untuk menimba lebih banyak ilmu agama. Agama ni bukan benda mati, tapi ia benda hidup. Setiap masa ada benda baru dan perlu kepada pengkajian. Macam saintis jugalah. Sebab agama ini adalah kehidupan. jadi bagi saya, biasalah kalau keluar 4 tahun tu masih belum mahir. Kalau dia mahir sungguh dalam bidangnya itu sudah cukup bagus.

~ Mereka juga kata pelajar-pelajar ni jumud, tiada daya saing, tiada keterampilan dan tidak professional di alam pekerjaan.

  1. Ya, saya tidak nafikan. Memang kebanyakkan pelajar-pelajar lepasan al-Azhar ramai yang masuk bidang pendidikan. Majoritinya macam tu. sebab apa? Sebab itu bidang yang diketengahkan untuk mereka. Itu bidang yang telah dilorongkan buat mereka. Keluar di dalam satu forum (dirahsiakan) Pelajar agama ni jumud. Asyik jadi ustaz sahaja. Sepatutnya pelajar agama perlu lebih terkehadapan. Masuk dalam semua bidang. Penerbitan, lakonan, dan macam-macam lagilah. Saya kata, ye lah betul sepatutnya pelajar agama perlu lebih terbuka. Tapi lorongnya di mana? tidak nampak denga jelas ada usaha ke arah itu. Suatu kalam dari mantan perdana menteri suatu ketika dahulu (sewaktu tahun saya mahu terbang ke al-Azhar). Pihak kerajaan tidak menjanjikan ruang pekerjaan untuk lepasan bidang agama. Pasif dan ada suatu pertentangan. Bidang agama sahaja?

  2. Kami di sini berada di suatu tempat yang kurang bersistem. Ada nizom pun macam tiada. Kulah tidak wajib, kelas tutorial perlu susun sendiri dan banyak lagi yang perlu disistemkan sendiri. Memang serba sedikit kami (saya sendiri) terikut-ikut dengan rentak di sini. Jadi perlukan masa untuk follow sistem dan budaya cepat yang berjalan lancar di dalam negara. Kelemahan ini perlu di tangani bersama. Alhamdulillah, kebelakangan ini sudah ada sedikit momentum untuk ke arah kesistematikan. Ditambah pelajar yang ada sekarang ini kebanyakkannya bukan lagi gred 3 dan 4 yang menjadikan al-Azhar sebagai pilihan terakhirnya atau yang datang secara terpaksa. Mereka datang sebagai pilihan pertama dan atas kehendak sendiri.

  3. Ramai juga pelajar-pelajar ni yang ada kemahiran tambahan seperti komputer, IT, perniagaan dan macam-macam lagi. Semuanya mereka belajar sendiri dan dapat ilmu secara berkongsi. Tidak terdapat paper khusus dalam peperiksaan. Pelajar dalam negara sudah di ajar begitu. Ada major dan minornya. Kami semua perlu cari sendiri. Bantulah kami ni. jangan hanya menuding jari. kami rakyat malaysia juga apa...!!

Ayuh professionalkan diri sendiri.

Saya mengajak diri saya dan kawan-kawan semua untuk jadi professional bermula dari dalam diri terlebih dahulu. Karana professional itu bermula dari sikap dan minat. Penampilan, kemahiran sosial, pengurusan masa dan sikap-sikap yang baik itu perlu dipraktik di sini. Kalau kita masih dengan budaya lama, maka beginilah kita selamaya. Saya selalu katakan kita perlu bertindak luar biasa. Barulah kemudiannya kita akan jadi luar biasa kerana orang yang luar biasa itu adalah insan biasa yang punyai tindakan yang luar biasa.

Kita seharusnya menilai apa yang sering orang perkatakan mengenai kita. Apabila orang sering berkata tentang kita, maka jelaslah di sana sebenarnya kita amat benilai dan popular di mata mereka. Sebab itu kita sentiasa diperkatakan dan dikritik. Kritakan itu kalau buruk dan pedas bunyinya kita buang rasanya dan ambil sahaja intipatinya. Soalnya, kita memang lemah dan perlu bangkit untuk atasi keleman dan berikan hasil yang terbaik nantinya kepada ummah. Doktor sakit ummah ini lebih payah tugasnya berbanding doktor sakit jasad ummah. Kalau doktornya sudah sakit, bagaimana nanti ingin mengubat kelukaan dan kecelaruan ummah.

Di samping kita mempelajari dan mendalami bidang yang kita duduki kini, amat perlulah kita cuba untuk menguasai bidang-bidang lainnya. Kalau tidak mahirpun perlulah kita tahu secara umumnya supaya minda kita lebih terbuka dan sebagai modal untuk membolehkan kita masuk ke dalam setiap peringkat masyarakat. Sebagai contoh, salurannya telah ada kini. Kebanjiran sahabat-sahabat MEDIC perlu digunakan sebaiknya untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran.

Kemahiran seperti software dan hardware komputer sepatutnya bukan lagi menjadi igauan dan ketakutan kepada kita semua. Kemahiran dalam IT perlulah digunakan sebaiknya sebagi medan tambahan menyebar dakwah. Saya rasa seronok melihat kebanjiran mahasiswa kita mempunyai web peribadi sendiri yang mempunyai genre yang pelbagai. Sekurangnya-kurangnya mampu membuka mata masyarakat terhadap kemampuan kita dan sebagai batu loncatan untuk kita pergi lebih jauh dalam menyebar maklumat dan ISLAM itu sendiri. Kemahiran berbahasa Arab terutamanya pertuturan dan interkasi perlu digembling lagi. kemahiran berbahasa Inggeris pula perlulah di cari agar medan kita lebih luas nanti.

Kemahiran dan kelainan dalam penyampaian saya tidak mahu perkatakan lagi. Anda boleh baca dalam tulisan saya sebelum ini yang bertajuk alat bantuan mengajar. Ia sudah jelas amat penting dan sebagai satu tuntutan buat kita semua.

Saya rasa sudah amat panjang tulisan kali ini. Saya ni banyak bercakap takut juga tiada hasilnya nanti. Tapi, jika tidak diluahkan di sini akan terpendam di dalam hati. Jadi tak dapat tidak saya perlu lepaskan di sini agar tidak jadi Kanser dan barah dalam hati.

Sekian sahaja untuk kali ini. Sebelum berundur saya ingin rakamkan ucapan terima kasuh buat sahabat-sahabat saya terutamanya Sifu Mohd Zaki dan Cik Munique yang membantu dalam memperkemas web ini. Terima kasih daun keladi, lain masa mintak tolong lagi.

Wallahu'aalam

[+/-] Selengkapnya...

Related Posts with Thumbnails