Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah Taala dengan segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya. Pejam celik, pejam celik, Ramadhan al-Mubarak sudah masuk penggal ke-3 dan merupakan fasa terakhir yang dikenali dengan ’Akhiruhu ’itqun min an-naar’ (keselamatan dari api neraka Allah Taala). Moga kita semua tergolong di kalangan mereka yang terselamat dari azab tersebut ameen. Fasa terakhir ini juga yang menurut sebahagian besar ulamak mengatakan terdapat salah satu dari malamnya yang digelar dengan ’Lailatul Qadar’. Malam yang lebih baik dan mulia dari seribu bulan. Ya Allah, jadikanlah kami sebahagian dari malam itu, Ameen.
SMK TUN AMINAH, BATU PAHAT.
Pejam celik, pejam celik, minggu ini juga merupakan minggu terakhir saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Aminah (girls school), Batu Pahat. Sekolah perempuan yang majoriti cikgunya juga adalah perempuan ini merupakan sekolah pertama di Malaysia, tempat saya menumpahkan bakti dan menceduk pengalaman mengajar. Hampir dua bulan saya di sini, pelbagai ragam dan pengalaman dapat saya ’burn’kan dalam memori kehidupan saya. Menangani karenah adik-adik perempuan ini kadang kala memeningkan juga. Namun ia satu pengalaman yang amat berharga. Setelah sebulan di sini, alhamdulillah kami mampu tertawa, tersenyum dan pernah juga menangis bersama. Ya, mereka pernah menangis bersama saya.
Kesemua pelajar dari 12 kelas yang saya didik itu telah saya bawa mengembara ke angkasa lepas. Meninjau-ninjau keluasan dan kebesaran Allah S.W.T. Juga melihat-lihat kebesaran dan ciptaan Allah Taala yang terdapat di dalam diri sendiri. Juga melihat-lihat masa depan yang bakal di lalui bersama Mungkar dan Nakir di alam barzakh. Ya, mungkin itu semua yang membuat kami gembira lalu menangis. Kesemua pengalaman yang dipaparkan itu membawa matlamat yang satu, mengenal siapakah diri ini. Kalau ditanya kepada mereka selepas ini siapakah mereka, insyaallah mereka mampu menjawab sekurang-kurangnya, saya hamba Tuhan. Kalau ditanya kepada mereka apakah itu Islam, sekurang-kurangnya mereka mampu menjawab Islam is the beutiful way of life.
Hakikat yang saya lalui memang kadang kala menyedihkan jika difikirkan. Mereka semua seolah-olah terabai dengan sebab examination-oriented yang berleluasa. Pelajar dinilai cemerlang dengan kejayaan dalam peperiksaan semata. Aspek yang lebih penting iaitu praktikal atau amali seolah-olah dipinggirkan. Yang penting adalah silibus bukan penerapan nilai-nilai amali dan praktikal. Akhirnya pelajar hanya mampu menjawab peperiksaan, tetapi gagal melaksanakannya di dalam kehidupan. Sebagai contoh pelajar tahu tugas malaikat Raqib dan Atid, namun ia seolah-olah hanya ilusi kerana pelajar tidak takut membuat kesalahan dan jenayah walhal Raqib dan Atid itu tidak pernah tertidur menulis amalan manusia.
Saya akui, ini bukan kesilapan pihak sekolah semata-mata. Peranan ibu bapa yang menjadikan sekolah sebagai pusat pemulihan akhlak juga dilihat menambah parah lagi situasi ini. Ayah ibu hanya pandai ’cari duit’ untuk hantar anak ke sekolah namun terlupa tanggung jawab ibu bapa bukan sekdar mencari rezeki malah kasih sayang, akhlak, caring dan lain-lain aspek sebagai pendidikan tidak rasmi di rumah sering kali diabaikan. Tanggung jawab ’Qu anfusakum wa ahlikum naara’ (peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka) telah bertukar kepada pihak sekolah seolah-olah pihak sekolah sahaja yang bakal disoal oleh Mungkar dan Nakir nanti di kubur. Mungkin ayah ibu juga harus didehkan dengan siksa kubur dan neraka sewaktu pengajian di masjid-masjid agar tidak mengabaikan peranan dan tanggung jawab ini.
RAMADHAN DAN HARI RAYA
Ramadhan ini amat berlainan sekali dengan ramadhan yang sebelum ini. Ramadhan kali ini saya telah bergelar suami. Ramadahan dan hari raya ini juga merupakan yang terkini selaps lebih 3 tahun tidak kembali ke tanah air. Tahun lepas saya melalui Ramadahn dan Aidil Fitri di Kota London. Tahun sebelumnya di Cairo dan sekarang di Malaysia. Perbezaan yang ketara di antara ketiga-tiga tempat ini ialah dari segi sambutannya. Ramadahan di Mesir dikira sebagai perayaan ibadah. Ramadhan di London agak sederhana manakala Ramadhan di Malaysia merupakan perayaan atau pesta makanan.
Ramadhan di Malaysia, semakin puasa semakin mudah menemui pelbagai jenis juadah sehingga sebahagian besar siaran TV memuatkan tentang petua dan cara masakan sehingga kepada live ke bazar-bazar seluruh negara dan dokumentari khas berkaitan makanan-makanan yang istimewa. Bazar-bazar itu sudah satu fenomena Ramadhan di Malaysia. Tidak lupa juga dengan lelong kuih di malam raya yang berlarutan sehingga waktu subuh. Selepas subuh tertidur sihingga tidak solat sunat hari raya dan tidak ziarah menziarahi. Bagi yang berpuasa sebulan rayanya juga sebulan. Kanak-kanak antara yang paling gembira dengan mercun, bunga api dan duit raya. Upin dan Ipin juga tidak dilupa. Marhaban dan ziarah menziarahi memenuhi 30 hari di bulan Syawal. Puasa makan, raya pun makan itulah suasana di negara kita.
Di Mesir, teringat saya kepada iftor jamaie (majlis berbuka puasa beramai-ramai), ’Maidatul Rahman’ (tempat-tempat percuma untuk berbuka puasa) dan keriuhan malam-malam Ramadhan dengan solat tarawih, tazkirah dan kuiz ramadhan di masjid-masjid yang penuh seperti penuhnya masjid di Malaysia di pagi hari raya. Pintu masjid dibuka seluas-luasnya dan tidak lupa juga fenomena solat tarawih di atas jalan raya kerana berimamkan Syeikh Jibril di masjid Amru. Pagi hari raya, sekembali dari masjid, taman-taman bunga dipenuhi oleh warganya. Sambutan hari raya diadakan di taman-taman bunga. Tiada marhaba dan duit raya. Hari raya hanya satu hari itulah bukan sebulan seperti di Malaysia.
Di london teringat saya kepada perubahan dan hormatnya warga kota kepada Bulan Ramadhan. Namun begitu, itu juga pengalaman yang agak pelik bagi saya. Maaf sekadar coretan dan harap tiada siapa yang terasa. Kalau terasa alhamdulillah. Saya berjumpa dengan pelbagai ragam puasa. Ada yang puasa tapi tak sembahyang. Bulan-bulan lain memang dia tidak sembahyang, Tapi hormatnya dengan bulan Ramadhan, dia berpuasa juga. Puasa tapi hisap rokok juga. Katanya asap rokok bulan ramadhan ni tak boleh sedut dalam-dalam. Nanti batal puasa. Macam-macam ragamnya.
Namun bagi ahli Ramadhan. Walau di mana mereka berada insyaallah mereka tahu bagaimana mahu merayakannya. Orang-orang terdahulu menangis ketika Ramadhan hampir pergi dan minta dapat bertemu lagi dengan Ramadhan tahun berikutnya. Kita pula gembira dengan perginya Ramadhan kerana 1 Syawal itu lebih istimewa gamaknya. Tanya diri sendiri : anda bagaimana pula??
Wallahu’aalam
1 comment:
assalamualaikum .. bz ker cuti sekolah nie ?? lama tak update nie dah lupa kawan lama yer
Post a Comment