-->

HijriDate

Wednesday, October 10, 2007

Allahumma Ballighna Ramadhan...

Bismillah...

Ramadhan yang datang sudah masuk hari ke-28. Ini menandakan tetamu istimewa ini (Ramadhan) bakal meninggalkan umat Islam tidak berapa lama lagi. Sebelum pemergiannya, Ramadhan menjanjikan bonus unlimited kepada mereka-mereka yang melayaninya dengan penuh rasa "imanan" dan "ihtisaban" antaranya Rahmat dari Allah Taala, Maghfiroh (Keampunan dari dosa-dosa), Itqun minannar (Terselamat dari api neraka), Malam Lailatul Qadar dan banyak lagi yang tidak penulis nyatakan di sini.

Sekadar muhasabah bersama, masa yang berlalu 28 hari lalu adakah sudah terisi dengan sebaiknya bersama tetamu kehormat ini. Memang begitulah sifat manusia, waktu bersama rasa bosan, benci dan tidak mengerti. Namun setelah hampir ditingalkan barulah terasa penyesalan, kenapalah tetamu ini disiasiakan..? Namun penyesalan hanyalah penyesalan, tetamu ini tetap akan pergi. Tahun hadapan tidak kita ketahui adakah kita akan dikunjungi lagi. Baki sehari dua ramadhan ini mungkin mampu mengubat penyesalan yang terbuku di hati. "Ma la yudraku kulluhu la yutraku kulluhu". Sesuatu yang tak mampu kita daptakan semuanya janganlah kita tinggalkan keseluruhannya. Maksimumkan layanan di hari yang berbaki. Namun yang biasa terjadi persiapan untuk menyambut syawal telah melenyapkan rasa penyesalan tadi. Ramadhan pergi tanpa ada sekelumit rasa sedih dan insaf terhadap kelemahan diri.


Hari raya dan Perantau.

Tahun ini saya bakal merayakan hari raya untuk pertama kalinya di sini (insyaallah jika panjang umur). Namun tahun ini mungkin saya akan beraya di tempat kerja jika hari raya jatuh pada hari Sabtu. Nama saya sudah ada dalam senarai petugas pada hari tersebut. Harap-harap tahun ini tidak tertinggal solat hari raya pula (tolonglah boss bagi saya solat raya). Begitulah suasananya di sini. Bagi perantau yang bertugas dan bekerja terutamanya yang bertugas di syarikat dan pejabat tempatan, hari raya hanyalah hari biasa yang membezakannya hanyalah pengharaman berpuasa pada hari tersebut bagi menzahirkan rasa kegembiraan setelah sebulan berpuasa. Hari raya di sini tidak diangap sebagi cuti umum kepada semua penduduk di kota ini disebabkan masyarakat Islam di sini hanyalah sekadar minoriti dari penduduk negara ini.

Bagi saya yang duduk menumpang bersama sebuah keluarga warga Malaysia di sini, kemeriahan persiapan sambutan hari raya agak terasa juga walaupun jauh di sudut hati saya terasa kesepian dan kekosongan dek jauh dari keluarga dan rakan-rakan. Bau kuih raya dari dapur Kak Siti, ketupat dan lemang yang sudah siap diikat hanya menunggu masa untuk di rebus membuatkan nostalgia aidilfitri di tanah air kembali bersemi. Namun, sudah saya katakan tadi, hati ini hanya diri sendiri (dan Allah) yang tahu.

Berbeza dengan waktu menyambut perayaan di kota Kaherah, persiapan agak meriah juga walau berjauhan dari keluarga. Tawa riang dari kawan dan taulan mampu mengurangkan rasa kekosongan berjauhan dengan keluarga. Ditambah dengan kondisi title mahasiswa yang berbeza dengan title seorang pekerja. Berada di perantau sebagai seorang mahasiswa lebih meriah berbanding merantau sebagai seorang pekerja. Itu pandangan peribadi saya melalui pengalaman yang saya lalui sekarang ini. Di tambah juga dengan status bujang yang menambah lagi rasa kekosongan, opss maaf ini sudah terkeluar dari tajuk perbincangan.


Raya Malaysia, Kaherah dan London.

Hari raya adalah hari untuk menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah Taala. Setelah sebulan berpuasa Allah SWT memerintahkan agar puasa sebulan tadi dihentikan dengan makan dan minum dan segala yang dihalalkan pada hari pertama Syawal. Hari raya juga digelar dengan "Eidul Fitr". Fitr bermaksud fitrah. Dengan tazkiah dan penyucian jiwa yang berjalan sebulan di bulan ramadhan diharapkan jiwa kita akan kembali suci seperti fitrah seorang bayi yang baru dilahirkan. Bersih dari segala noda dan dosa.

Hari raya di Malaysia sudah dianggap sebagai satu festifal dan perayaan agung dan tebesar di Malaysia. Cuti panjang, ziarah menziarahi, makan dan minum, bermaaf maafan, marhaban, duit raya, mercun bunga api (hukum duit raya dan mercun boleh rujuk di (zaharuddin.com) menjadi agenda sepanjang hari raya. Selagi masih ada syawal, selagi itulah hari raya akan disambut di Malaysia. Orang kata sudah puasa sebulan raya pun kena sebulan lah juga. Saya no komen. Bagi saya nak raya setahun pun tidak apa, asalkan tiada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pembaziran dan sebagainya.

Hari raya di Kaherah pula sangat pelik. Usai solat hari raya, masyarakat arab mula berbondong-bondong menuju ke taman-taman permainan dan pusat-pusat hiburan secara berkeluarga dan tidak kurang juga yang ber"couple". Kalau kita di malaysia sibuk dengan ziarah menziarahi, mereka pula sibuk ke tempat-tempat hiburan. Menurut penelitian saya, orang arab memang lebih gemar ke taman bunga dan taman permainan pada hari-hari cuti untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Satu fakta menarik, orang arab jarang sekali berdendam dan menyimpan kemaharan di dalam hati. Kalau mereka tidak puas hati, marah dan sebagainya mereka akan "meletup" dalam waktu yang sama kemudian setelah reda mereka terus bermafan. Berbanding dengan orang melayu, kita lebih suka simpan di dalam hati dan dikumpulkan kesalahan untuk di bawa ke hari raya. Jikalau setahun lagi hari raya maka setahun lah juga dendam dan kesalahan tadi dibawa. mungkin dengan fakta inilah orang arab tiada marhaban, ziarah menziarahi pada pagi hari raya. Sekadar pandangan sahaja.

Hari raya di kota London pula tidak saya ketahui bagaimana keadaannya. Namun antara yang menarik saya dengar, suasana solat hari raya disini amat meriah sekali sehingga ada masjid yang mengulang solat hari raya sehingga 5 kali dek kepadatan dan keramaian jemaah yang datang. Ye lah, jika solat jumaat pun sudah dibuat dua sesi, inikan pula solat hari raya. Suasana sebenar hari raya di sini insyaallah akan saya catatkan dalam jurnal yang akan datang.


Ramadhan ohh Ramadhan.

Ramadhan di malaysia memang amat meriah. Kemeriahan itu digambarkan dengan ribuan pasar-pasar ramadhan yang dibuka sepanjang bulan ramadhan. Segala macam kuih dan makanan yang sukar dijumpai akan ditemuai di pasar-pasar tersebut. Malaysia berubah menjadi syurga makanan. Orang bukan Islam juga mendapat manfaat sama dapat merasa segala macam juadah yang disediakan. Tambahan pula ada pelita-pelita dan lampu lap lip yang di pasang di akhir-akhir ramadhan menampakkan lagi kemeriahan tersebut. Namun begitu, suasana ibadah agak muram dan kurang meriah. Mungkin kerana takrifan meriah bagi masyarakat melayu Islam agak berbeza dengan takrifan meriah bagi warga negara arab.

Sepengetahuan saya, kebanyakkan negara arab menggelar ramadhan sebagai festival ibadah, bukan festival lampu dan juadah seperti yang berlaku di Malaysia. Bagi masyarakat arab, ramadahan itu lebih meriah dari syawal kerana ramadhan adalah perayaan ibadan. Ramadhan musim menuai amal kebaikan. Sedekah berleluasa, maidatul rahman merata-rata (juadah berbuka percuma), masjid penuh sesak solah-olah ada majlis penyampaian anugerah. Qiamullail menjadi budaya menjadikan masjid bercahaya sepanjang malam. Al-Quran di baca di mana-mana, di dalam bas, tepi jalan, bus stop dan tidak kurang yang hanya terkumat kamit menyebut zikrullah sambil memegang biji tasbih.

Itulah perbezaan kemeriahan dan budaya meyambut ramadhan. Takrif kemeriahan itu pada pandangan saya haruslah diperbetulkan semula. Bayangkanlah jika di malaysia orang lebih tertunggu-tunggu bila nak raya, bila syawal nak tiba, tapi di negara arab mereka tertunggu-tunggu bilakah pula Ramadhan akan menjelma. Masih lagi 6 bulan meniti ramadhan, orang-orang soleh terdahulu mula berdoa "Allahumma ballighna Ramadhan" Ya Alllah, sampaikan aku (usiaku) sehingga dapat menyambut ramadhan akan datang.

Sekian sahaja, "Barikillahumma Lana Fi Syahri Ramadhan" dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri dari saya di perantauan.

Minta maaf bagi yang menunggu artikel saya. Saya agak kesibukan, terima kasih atas sokongan dan teguran kalian. Minta maaf di atas segala kesalahan.


Waallahu'aalam

2 comments:

BiSkUtZ LeMaU said...

Salam ziarah ya.. ustaz..
best jugak blog ustaz ni..
ustaz ader jer idea nk menaip sesuatu topik ni..
kagum tul sy ngan ustaz..
kaitan ustaz ngan sesuatu keadaan tu kena aje ngan topiknye..
wah.. ustaz ghaye kat UK tu..
ustaz mmg keje kat saner ker?

ustaz dh bnyk kali sy view blog ni..leh tak sy nk mintak ijin nk amek link blog ustaz ni..
nak dijadikan sebagai panduan lah..
leh yer..

MOHAMAD FAIRUZ BIN TAMJIS said...

wsalam..silakan jika mahu dilinkkan..sekadara menulis untuk berkongsi pengalaman..tq atas kunjunagn..

Related Posts with Thumbnails