-->

HijriDate

Tuesday, June 02, 2009

Catatan Tengah Malam : My Happening SC members

Bismillah..

Pulang dari Smart Circle (SC dalam bahasa saintifiknya 'usrah') bersama rakan-rakan Medic Alexandaria tadi, saya terfikir dan melamun sendirian di dalam tramco (van untuk pengangkutan). Saya mengimbau pengisian di dalam SC sebentar tadi. Kami membaca sambungan ayat dari Surah Al-Kahfi berkenaan kisah Nabi Musa A.S berguru dengan Nabi Khidir A.S. Kemudian pembentangan taklifan bertajuk 'Malu' oleh Akhi Syakrani dan akhirnya berkaitan isu-isu semasa. Saya dapat rasakan, semakin jauh SC ini melangkah, semakin akrab dan rapatnya hati-hati kami di dalam SC ini.

Saya cuba memberikan perkongsian yang sebaiknya dalam SC ini. Semuanya diaturkan agar dapat memberikan input dan pengalaman yang terbaik kepada seluruh anggota SC termasuk saya. Saya mengutamakan keberanian memberikan pandangan dan pembangunan bakat yang mungkin jarang diperolehi di luar sana. Juga isu ukuwah yang biasanya sering bermain di bibir-bibir namun tidak melekat di hati. Saya percaya setiap insan punya bakat dan keberanian, namun dengan sebab platform latihan yang berkurangan, bakat itu hanya terpendam dan tidak dimanipulasiakan sebaiknya untuk kebaikan Islam.

Bermula dari membuka majlis dan mewarnai perjalanan majlis, saya serahkan kepada anggota SC untuk mengolahnya. Saya lebih suka untuk mendengar dan memerhati sambil sekali sekala memberikan pandangan dan komentar.
Kadang-kadang terlebih juga komentar saya. Namun, yang penting semua pihak ada peluang untuk bercakap dan memberikan pandangan. Konswp 'dua hala' dalam pendidikan dan pembelajaran amat perlu. Saya takut hanya 'syok sendiri' jika terlalu banyak bercakap dan berkomentar. Jika semua bersuara, itu tanda konsep 'dua hala' sudah berjaya diterapkan.

Usai pembentangan oleh Akhi Syakrani tadi, saya meminta komentar dari semua anggota berkaitan metod pembentangan. Harapan saya agar semua dapat membangunkan bakat dan berkongsi kemahiran serta pengalaman. Antara ulasan yang baik ialah mengurangkan menyebut 'aaaaa' dalam ucapan. Juga 'eye contact' bersama para pendengar. Jangan ceritakan kelemahan diri sebelum memulakan bicara seperti tidak cukup masa dan tidak cukup rujukan. Ia boleh mengurangkan keberkesanan penyampaian. Berikan contoh-contoh yang berkaitan dengan pemikiran dan latar belakang pendengar. Tidak lupa juga muqaddimah dan penutup yang berpadanan. Jangan lupa lafaz tahmid dan selawat ketika memulakan perbahasan. Semua itu komentar untuk semua, bukan untuk Akhi Syakrani sahaja.

Isu semasa pula menyentuh isu berkaitan pendidikan. Kesemua anggota SC kami tidak bersetuju dengan tindakan pihak kerajaan yang menghadkan pengambilan mata pelajaran SPM hanya kepada 10 kertas sahaja. Ramai yang berhujjah dan kesemuanya bercakap berdasarkan pengalaman dan fakta. Saya lihat semua anggota SC ini mengambil lebih dari 10 mata pelajaran waktu SPM dahulu. Ironinya, mereka melihat faedah yang positif jika mengambil banyak mata pelajaran. Luas pembacan luas pengetahuan. Makin luas fungsi otak yang digunakan. Di tambah pula makin ramai yang mempunyai IQ yang tinggi mutaakhir ini. Kalau mahu di hadkan pun bukan kepada 10 sahaja. Itu terlalu sedikit. Mungkin 15 kertas boleh menyokong alasan pertindihan kertas yang hampir serupa. Soalnya, kementerian juga yang menyusun kesemua kertas-kertas yang banyak itu. Kalau berlaku pertindihan itu silap yang menganjurkannya. Banyak lagi hujjah-hujjah tidak rasional yang tidak perlu berfikir panjang untuk menolaknya. Sila baca di sini KLIK

Ada juga yang berpendapat sistem pendidikan kita perlu di ubah keseluruhannya bukan sekadar menghadkan mata pelajaran yang diambil. Jika konsep 'oriented exam' masih diterapkan dengan meminggirkan praktikal dan pembangunan kemahiran sosial, pelajar kita akan sekadar cemerlang dalam peperiksaan sahaja. Tiada kreativiti dan kurang daya saing serta lemah dalam perhubungan sosial terutamanya ketika mencapai alam pekerjaan. Ini amat berbeza dengan konsep yang diterapkan di negara-negara maju seperi United Kingdom dan Amerika Syarikat. Bakat dan kecenderungan pelajar telah dibangunkan dan di kesan seawal peringkat sekolah rendah lagi. Di negara kita, pelajar tingkatan 4 baru berpeluang untuk memilih aliran yang mereka minati. Tidak di UK dan US, mereka sudah boleh memilih aliran dan bidang yang mereka minati sewaktu di tingkatan satu lagi. Ini bermakna, vokasional, sains, sastera dan sebaginya sudah ada di awal peringkat menengah lagi. Selain itu kemahiran sosial amat dititikberatkan dan diterapkan seawal peringkat rendah lagi.

Habis pengisian hari ini. Rancangan kami minggu depan ialah SC amali (praktikal). Kami akan main bakar-bakar (Bahasa saintifik bagi BBQ). Tempat di sutuh rumah saya di Asofiroh. Hari Jumaat sebelum waktu Asar membawa ke Isyak. Semua anggota jangan tidak hadir. Ini SC semi-grand sebelum di tutup dengan Grand SC iaitu rehlah mandi manda di Matruh pertengahan Julai nanti. Mungkin kita boleh gabung dengan SC yang lain untuk lebih terbuka dan meriah lagi. Akhir kalam malam ini, have a nice rest after your mid-exam and remember me always in your prayer. Salam mahabbah.

p/s : Dont forget to visit our SC blog at http://smartcircle09.blogspot.com/

Wallahu'aalam

1 comment:

Anonymous said...

salam alayk ustaz fairuz....
ehem...ehem... sya'rani ustaz, xdop huruf 'K', hehe!

insyaAllah mesti dtng nyer... sate ader, bihun ader, macam2 ader... ustaz jgn lupe kuah kacang yer...=p

Related Posts with Thumbnails