-->

Monday, January 22, 2007

Selamat Tahun Baru Hijrah dan Sanah Helwah Ya Zamili..

Bismillah

Tahun ini ada sedikit kelaian dari tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini, 2 tahun baru datang hampir serentak. Tahun baru Hijrah dan tahun baru Masihi. Hijrah sudah melampaui 1427 bermakna sudah selama itu jugalah Junjungan Besar dengan kisah hijrah Baginda SAW ke Madinah meninggalkan kita. Masihi pula telah menjangkau 2007 menandakan usia dunia yang semakin tua dan semakin hampir dengan munculnya al-Mahdi disertai turunnya al-Masih. Bila? Saya pun tidak tahu. Yang penting dah dekat. (Maksud saya dekat tu bukanlah esok atau lusa. Tapi tanda-tanda akhir zaman itu sudah sangat banyak, sedar atau tidak sahaja kita dengan kemunculannya)

Kedatangan 2 tahun baru ini sepatutnya menjadikan diri kita semakin bersemangat dengan azam dan kesungguhan yang baru. Tajdid niat dan perancangan dalam setiap sisi dan ruang lingkup kehidupan. Berazam menjadi manusia dan hamba yang cemerlang dunia dan akhirat. Janganlah hendaknya azam tahun ini hanya semata-mata untuk menunaikan azam tahun-tahun lepas yang tidak kesampaian. Atau lebih buruk lagi tahun yang baru ini disambut dengan pragmatis mengatakan : Hei, Bidah la sambut tahun baru ni. (Malas nak layan orang macam ni)

Moga azam yang kita sematkan dalam hati, diari atau lisan dapat kita laksanakan dengan baik pada tahun ini. Bagi yang masih tidak punya azam dan matlamat, anda masih belum terlambat untuk menyusun dan berfikir tentang hala tuju anda. Harapnya, anda tidak menunggu awal tahun depan pula untuk mencipta azam dan matlamat anda. Bermulalah sekarang. Sekurang-kurangnya anda tahu kenapa dan mengapa anda dilahirkan di dunia ini. Kalau kita boleh tahu dan amat tahu kenapa pokok kelapa diciptakan dan apa manfaatnya untuk manusia, kenapa tidak kita tahu lebih lagi tentang diri kita. Peliklah kalau kita lebih kenal pokok kelapa dari diri kita sendiri.


Pokok kelapa sentiasa memberi. Khidmatnya dan manfaatnya kepada manusia sangat besar. Dia memberi apa yang boleh diberinya.


Pokok kelapa dijadikan untuk manusia. Allah ciptakan ia untuk kemaslahatan manusia. Santan kelapanya boleh dibuat nasi lemak. Batang kelapa boleh dibuat rakit sementara mangsa banjir. Daunnya boleh dibuat ketupat. Sabutnya boleh dibuat unggun api dan ada pula yang mengatakan ia baik untuk sakit tekak. Kelapa muda boleh dibuat nata de coco. Allah, boleh dikatakan semuanya boleh digunakan. Syukur dengan nikmat pokok kelapa.

Kalau sampai begitu kita tahu manfaat pokok kelapa kepada manusia dan tujuan ia dijadikan, maka lebih aula kita tahu kenapa pula kita diciptakan dan apa pula manfaat kita kepada makhluk lainnya. Cuba kita pula catat, apa manfaat yang ada pada diri kita dan boleh kita beri kepada orang lain. Jika boleh, alhamdulillah kita cuba untuk mempertingkatkan lagi kemampuan diri kita. Jika tiada langsung manfaatnya, maka itulah azam yang perlu anda sematkan agar kita jadi lebih baik dari sebatang pokok kelapa.


Manfaat yang berterusan diberikan oleh pokok kelapa. Kelapa boleh istiqamah kenapa tidak kita?


Kita dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini dan kenapa kita dijadikan tidak lari dari tujuan yang telah Allah Taala sebutkan di dalam al-Quran :


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
[az-Dzariat : Ayat 56]


Ubudiah dalam setiap kerja dan kegiatan. Belajar, bekerja, berkahwin, mendidik, membina, mentadbir, berjalan dan segala-galanya biarlah dengan matlamat dan tujuan ubudiayah kita kepadaNya. Matlamat yang terbaik itu adalah mahu menjadi sebenar-benar hamba kepada Pencipta dan menjadi sebaik-baik manusia dalam memberi khidmat dan manfaat kepada yang lainnya.

Selamat tahun baru dan Sanah helwah ya gamil [Akhi Muhd Hairi bin Hamzah] yang ke 25. Moga usia yang bertambah membuatkan kita sentiasa mengingati hari kematian yang semakin hampir. Usia bertambah namun umur semakin berkurang.

Wallahuaalam...

Gambar Terbaru : KLIK

1 comment:

anak nah said...

Gouz Hind atau nyiur -juga dipanggil kelapa- adalah buah yang kedua paling mahal selepas nanas di Kairo. Pun beditu warga Kairo hanya memakan mentah sahaja isi kelapa tua yang dicolek dan dijual itu.

Orang Melayu lama menanam kelapa setiap kali mendapat anak yang baru. Dari pokok itulah mereka mengetahui usia anak mereka.

Related Posts with Thumbnails