-->

HijriDate

Thursday, July 05, 2007

Ibu, kau inspirasiku...

Bismillah...

Sempena mengenang pemergian insan tersayang bergelar ibu, saya ingin bawakan di sini titipan khas buat mengenang jasa-jasa ibu. Moga ada iktibar untuk kita bersama.

Ibu, tanpanya mungkin kita tidak akan lahir di dunia ini. Hanya ada satu kisah sahaja yang menyatakan kelahiran manusia tanpa ibu iaitu insane pertama Nabi Adam A.S. Selian dari itu tiada insane yang Tuhan ciptakan melainkan setelah ianya duduk di dalam kandungan insane yang bergelar ibu.

Setelah dua tahun pemergian ibu (2 Julai 2005), saya dapat rasakan betapa sepinya hidup insane yang tidak punya ibu. Pemergian ayah 7 tahun sebelum pemergian ibu saya rasakan tidak sekuat cabaran dan rintangan kehilangan seorang ibu. Setelah ayah pergi, ibu tetap tabah. Ibu adalah ibu, ibu jugalah ayah waktu itu. Peranan ibu waktu itu sangat saya kagumi. Ibu tabah walau sudah tidak punya suami. Di temani 10 orang anak yang 8 orang darinya sudah berkahwin dan ditambah dengan 36 orang cucu menjadikan ibu bisa tersenyum walau di hati ibu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sewaktu ayah sakit, semanjak tahun 1990 kalau tidak silap saya, ibu tetap setia menjaga ayah. Hampir 8 tahun lamanya. Setianya ibu. Ayah mengidapi sakit yang ganjil. Waktu itu ayah mudah marah. Dek sakit yang dihadapinya menyebabkan emosi ayah mudah terganggu. Batuk yang dihadapinya kadang-kadang sehari suntuk tidak lekang darinya. Sehingga letih dan lelah ayah dibuatnya. Semalaman jugalah ibu tidak tidur menemani ayah yang kesakitan. Serangan penyakit itu menyebabkan ayah agak mudah melenting. Apabila saya dan adik bertengkar, alamat dua-dua akan mendapat hadiah rotan panjang. Waktu itu sedih juga rasanya, tapi sekarang jadi rindu dengan situasi itu. Mana ada ayah yang tidak sayang pada anaknya. Apabila ayah marah, ibulah yang menenangkannya.

Ibu pernah kata pada saya, Seorang ibu mampu membesarkan 10 orang anak sehingga dewasa, namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu ketika ibu sudah tua. Perkataan itu saya masih ingat sehingga hari ini. Seorang ibu yang sudah kehilangan suami akan jadi lebih tabah. Namun begitu, emosinya sangat mudah terluka. Itu pengalaman saya bersama ibu. Kalau abang dan akak tidak balik atau tidak telefon maka saya dan adiklah tempat ibu mengadu. Satu point di sini bagi yang masih punya ibu, selalu-selalulah telefon dan ziarah ibu. Ibu tidak minta dihargai tapi menghargai dan menghormati ibu itu satu kewajipan dan tuntutan buat kita semua. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Saya sering kali mengikut ibu ke kebun. Kata ibu tangan saya ada mengikut sedikit berkat tangan ayah. Kalau tanam pokok mudah menjadi. Tangan panas katanya. Waktu bersama ibu di kebun kami sering berbual. Waktu itu ibu sering memberikan motivasinya kepada saya. Ibu kata : Kamu nak jadi macam ibu ker?? Hidup susah, kene baut kerja berat macam ni setiap hari? Motivasi seperti itu saya rasa susah nak dapat kalau tidak mengikut ibu ke kebun. Gabungan motivasi lisanul maqal dan lisanul haal memang sangat berkesan. Kata-kata itu saya jadikan azimat untuk mengubah diri saya. Kata ibu lagi, kalau kamu sudah besar nanti ingat lagi tak kamu pada Ibu ye?? Saya amat sedih bila kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga kala ini. Saya tidak sempat berbakti pada ibu. Bagi yang masih punya ibu, jangan biarkan ibumu menderita di hari tuanya.

Ibu sering mengajar saya erti kesusahan. Saya jarang diajar hidup senang dan mewah. Masih saya ingat sewaktu sekolah dahulu kedudukan rumah saya dengan sekolah sekitar 5 KM. Saya di ajar pergi ke sekolah dengan berbasikal bertemankan adik. Pagi ke sekolah kebangsaan dan petang pula ke sekolah agama. Jarak setiap hari yang saya lalui hampir 20 KM. Ibu kata biar kamu rasa susah dahulu. Nanti besar moga kamu ingat kamu berasal dari orang susah. Jangan lupa diri pula kalau sudah senang. Motivasi itu saya pegang sungguh-sungguh. Semangat saya untuk belajar jadi bertambah setiap kali dinasihati ibu.

Pernah suatu masa keadaan waktu itu sangat susah. Kebun tiada hasil. Kakak dan abang lama tidak pulang gara-gara tiada cuti. Ayah pula sakit. Duit banyak dihabiskan untuk mengubat ayah. Waktu itu lama juga kami tidak menjamah nasi. Ibu kata, orang dahulu hidup lebih susah lagi. Kita dapat makan mee sup ni pun dah kira bertuah. Waktu itu ingat lagi baki duit ibu hanya tinggal sekitar RM 5. Cukup untuk makan mee sup 4 beranak. Ibu kata jangan bagi tahu abang dan kakak kamu. Tapi saya tidak sanggup. Waktu abang dan kakak balik saya ceritakan semuanya. Habis semua berderai air mata. Begitulah sikap seorang ibu. Tidak berniat langsung menyusahkan anak-anaknya.

Ibu sangat mengambil berat terhadap pembelajaran saya. Ibu memberikan kebebasan kepada saya untuk memilih bidang saya. Walau begitu ibu tetap mengaturnya. Langkah saya di halakan ke sekolah menengah agama. Bersusah payah ibu mengusahakannya. Terima kasih ibu. Kalau ibu tidak melorongkan saya ke lorong ini mungkin kini saya tidak di sini. Ibu mahu 4 beradik yang terakhir bersekolah agama. Nak jadi apapun kata ibu biarlah kamu berasal dari sekolah agama. Kesedaran ibu waktu itu membuahkan hasil kini. Keempat-empat anak yang terakhir semuanya lepasan sekolah agama. Ada juga orang yang kata pada ibu nak jadi apa anak-anak kamu nanti sekoah agama. Tak ada masa depan. Ibu tetap yakin, mungkin ibu sudah nampak, saham akhirat ibu akan jadi makin berat (insyaallah) bila anak-anak ada pengetahuan agama. Adik beradik saya sebelum itu semuanya keluaran kebangsaan.

Ibu jadi Simbol kekuatan saya. Jika saya susah pasti ibu akan terasa. Doa ibu memang cukup mujarab. Setiap kali saya telefon pasti tidak lupa untuk minta ibu mendoakan saya. Waktu itu tidak saya perasan kekuatan doa ibu. Setelah ibu pergi barulah saya rasa rindu dengan doa seorang ibu. Banyak perkara yang saya rasakan mungkin ianya datang dari doa ibu. Kadang-kadang perkara itu tidak terjangka. Waktu pertama kali exam di al-Azhar dahulu saya ingatkan saya bakal sangkut disebabkan beberapa perkara teknikal. Namun ianya lepas dan saya rasakan ianya berkat dari doa ibu yang tidak putus-putus mendoakan saya. Kini saya benar-benar rindu dengan doa ibu. Benarlah doa ibu yang ikhlas mendoakan anak-anaknya itu antara doa-doa yang mujarab. Anda semua jangan lepaskan peluang keemasan memohon doa restu ibu. Kalau sudah kehilangan seperti saya nanti baru anda akan rasa sepi tanpa doa seorang ibu.

Apa yang saya tuliskan ini tidak mampu menghuraikan jutaan jasa-jasa ibu buat saya. Kesemua jasa-jasa itu tidak mampu rasanya saya balas dan pastinya memang tidak akan terbalas. Hanya mengharapkan saya mampu jadi saham buat ibu dan ayah di akhirat sana. Moga Allah jualah yang membalas jasa ayah dan ibu lebih baik dari jasa-jasa mereka terhadap saya semenjak saya kecil hingga dewasa.

Bagi mereka yang punya ayah dan ibu, jangan siakan kehidupanmu dengan meminggirkan kasih ayah ibu. Hormati, sayangi, kasihi dan berbaktilah pada mereka selagi usiamu di kandung badan. Sayang ibu dan ayah membawa ke syurga.

Al-Fatihah buat almarhumah Hjh Rumini bte Mohd Mashudi dan Al-Marhum Hj Tamjis B Hj Yosuf.

Wallahu'aalam...

3 comments:

Unknown said...

salam,ustaz kasih ibu kasih yang sejatie,kasihnya tidak bertepi.. kasih ayah tidak dinafi..bertuah si anak memiliki ibu dan ayah yg sebegini..bertuah si ibu dapat anak yg soleh/soleha yang bakal menjadi saham bagi kedua org tuanya bila bertemu Al-Rabb..

institusi keluarga yang baik mencerminkan masyarakat akan datang,tak semua org rasa bahagia kerana tak semua org dapat merasai nikmat dan bahagianya di kurniakan ibu ayah.Beruntung lah bagi mereka yg di kurniakan ibu ayah yg soleh& soleha.Biar hidup susah,tapi kebahagian sentiasa melingkari hidup

Bak kata hukama..Di sebalik lelaki yg hebat ada wanita yg hebat..di belakangnya..

salam perjuangan.

Anonymous said...

salam..ustaz..atthiah nie... saya teringat bila ustaz beritahu saya dulu arwah ibu ustaz meninggal..dan masa tue ustaz masih di sana..saya dapat rasa kesedihan tue.. bila baca entri yang ni pun saya rasa terharu dan tersedar, dah hampir 2 minggu saya tak menghubungi mak saya...

ahmadiy hannaniy said...

yg masih ada ibu jangan pinggirkan ibu... belum kawin ni mmg manusia tidak akan merasakan apa erti jerit payah seorang bapa dan ibu. tiada yang layak dibalas dengan kasih sayang seorang ayah dan ibu walau berkorban nyawa sekali pun..

seorang ibu menjaga anak yang sakit untuk memberi kesihatan kepada anak...
tetapi berbelas2 anak menjaga ibu yg sakit untuk menunggu saat kematian seorang ibu..

fikir2kan lah...
hargailah ibu bapa

Related Posts with Thumbnails