Bismillah...
(Maaf artikel panjang berjela, baca dengan hati terbuka dan sila komen jika ada kesilapan atau ketidakfahaman)
Suatu hari...
Tempat tak dikenal pasti
Pelakon utama Si A - Seorang Pengurup Dinar Iraq (IQD)
Pelakon tambahan Mamat (bukan nama sebenar) - Pelanggan baru IQD
Masa - mereka dan beberapa saksi yang tahu
Lebih kurang beginilah gambarannya...
Dengan lagak seorang pengurup IQD Dinar Iraq (IQD - singkatan kepada matawang Iraq) yang dalam usaha melariskan jualannya. Siap di tangan dengan prospektus dan bukti-bukti yang membantu memudahkan kefahaman para pembeli IQD. Di ambil dari web-web yang menjadi ansar kepada skim cepat kaya IQD.
Ikuti perbualan mereka...
"Mamat, kau tak mahu beli ker Dinar Iraq ni..? Untung tau...Ko beli sekarang harga dia cuma LE 75 (matawang Mesir) sahaja untuk IQD 15 000. Tak sampai tiga tahun lagi kau tahu akan jadi berapa nilai dia...?"
Mamat yang tak tahu menahu mengenai Dinar Iraq kelihatan berminat untuk lebih tahu lantas menumpukan perhatian dengan sepenuhnya kepada ceramah percuma Si A.
"Berapa? " Soalnya kepada si A.
Si pengurup A tadi dengan bersemangat menjawab. "USD 15 000 tau..Tak nak ker? Boleh pegi haji 10 kali tu". (ayat tambahan penulis)
Bersambung...
Itu sekadar imaginasi penulis sahaja. Ada kaitan dengan yang hidup tapi tak de kaitan dengan yang dah mati.
Saya pada permulaannya agak teruja juga apabila mendengar dakyah-dakyah dari ansar dinar Iraq ni. Pada awalnya saya menyangka dinar itu berupa emas tulin seperti yang saya lihat di tanah air. Waktu tu saya pergi sendiri ke Syarikat GOLD DINAR di Johor Bahru, tempat kawan saya bekerja yang mana menjual dinar emas untuk pelaburan dan simpanan.
Apa tak terujanya. Bayangkan I Dinar Muhammad (Malaysia) = RM 370 (Nilai terkini kalau tak salah saya) = lebih kurang USD 100 = lebih kurang LE 571 (matawang Mesir).
Murah sungguhlah Dinar Iraq macamtu. Ye la apa tidaknya. Dijual dengan harga LE 75 untuk setiap 15 000 IQD. Sedangkan 1 Dinar Muhammad = LE 571. Kemudian pulaktu, dijangka akan naik sehingga nilai 1 IQD = 1 USD dalam masa tak sampai 3 atau 4 tahun. Maknanya jika kita labur LE 75, kita akan dapat pulangan sebanyak USD 15 000. Cepat kaya Pak Cik kalau macam ni. Sebab tu saya buat artikel ni dengan tajuk Dinar Iraq, skim-skim cepat kaya dan bala Allah. Kira dah macam skim cepat kaya lah ni. Usaha sikit, labur sikit, tapi untung berlipat kali ganda.
Setelah diteliti rupuanya dinar Iraq tadi hanya pada namanya sahaja, tiada sifat emas seperti yang ada pada dinar emas. Maka hilanglah keterujaan saya apabila mengetahui dinar tadi hanyalah sekeping wang kertas yang kini nilai bagi 1 IQD = 0.000755230 USD. (sila rujuk Link)
Oklah, cukup dengan pengenalan ringkas tadi. Apa yang saya nak bawa di sini ialah walaupun Islam membenarkan apa yang disebut sebagai Musorofah (Tukaran atau jual beli matawang) tadi, Islam juga telah meletakkan beberapa dhawabit (prasyarat) yang perlu diikuti agar muamalah tadi selaras dengan hukum hakam yang telah ditetapkan.
Apa yang saya lihat berlaku di kalangan kita (umum) ialah beberapa permasalahan berikut :
Masalah (1)
Ada dikalangan mereka yang menjalankan urusniaga tadi dengan cara hutang. Maksud saya jual beli atau pertukaran tadi dijalankan bukan dalam satu masa atau majlis aqad yang sama. Islam mensyaratkan di dalam pertukaran mata wang (muamalah musorofah) mestilah dengan syarat yadan bi yadin (satu majlis penyerahan). Namun ada di kalangan kita yang mengambil dahulu wang dari sebelah pihak atau boleh saya katakan dengan istilah menempah, kemudian tukaran tadi diserah dalam waktu yang lain. Jika ini berlaku dalam urusniaga dinar Iraq anda, anda telah terlibat di dalam amaliah Riba' nasiah tanpa anda sedari atau dalam keadan sedar tapi buat-buat tak tahu. Riba' jelas haram di dalam Islam.
Masalah (2)
Yang pasti di kalangan kita telah mendapatkan dinar Iraq tadi dari pasaran gelap (Suk Saudak). Sebabnya, tiada bank atau sorrofah berdaftar yang menjalankan pertukaran tadi secara rasmi (semakan ringkas penulis di Mesir dan negara sekitar). Jadi kalau bank dan sorrofah tak menawarkan pertukaran tadi, kat mana lagi nak cari selain di suk saudak. Fatwa ulamak terkini seperti Dr. Yusuf al-Qardhawi (kalau tak silap saya) mengatakan bahawa segala amaliah atau transaksi yang berkaitan dengan pasaran gelap adalah haram. Apa tidaknya. Pasaran gelap menyebabkan pengeluaran dinar Iraq tadi semakin tidak terkawal. Ini akan memudaratkan lagi ekonomi Iraq yang sudah sedia nazak.
Masalah (3)
Ada pula di kalangan kita yang menjual dinar Iraq tadi dengan dakyah yang seolah-olah menjanjikan keuntungan yang pasti bagi para pembelinya. Sedangkan turun naik mata wang tiada siapa yang berani menjaminnya. Yang dibolehkan hanyalah ramalan kenaikan. Bukan pasti akan naik. Jadi jika anda menjual dinar tadi dengan dakyah yang sedemikian rupa ketahuilah bahawa anda telah menipu. Sekiranya si pembeli membeli kerana termakan hasil dakyah anda tadi tanpa mengetahui risiko yang bakal ditanggungnya maka anda telah memakan hasil yang disebut sebagai Aklu amwal an-nass bil batil atau memakan harta manusia dengan jalan yang batil iaitu menipu. Menipu jelas haram kerana termasuk di dalam al-ghisshu (penupiuan dalam jual beli) Nabi SAW melarang jual beli al-ghisshu.
Di sana juga ada yang seolah-olah hanya menerangkan kebaikan dan keistimewaan yang bakal diterima di samping menyembunyikan atau tidak mendetailkan secara jelas risiko-risiko yang sangat banyak yang perlu ditanggung oleh si pembeli dinar Iraq tadi.
Antara risiko tadi ialah :
- Risiko pemalsuan dinar Iraq. Adakah anda pasti itu wang asli yang digunakan di Iraq sedangkan anda membeli melalui pasaran gelap yang tidak tidak berdaftar walaupun duit tadi kelihatan cantik dan seolah-olah ada ciri keselamatan?
- Risiko pelupusan versi lama. Kebiasaannya, sesebuah negara (contoh Iraq sendiri) akan memberikan masa selama 3 bulan kepada pemegang wang untuk menukar wang lama kepada versi baru jika berlaku pembaharuan wang kertas yang dikeluarkan untuk tujuan pengukuhan keselamatan dan ceklist pengeluaran. Di mana anda nak tukar dan siapa nak maklumkan anda jika berlaku pertukaran tadi walhal anda hanya membeli melalui pasaran gelap. Dalam masa yang sama bank dan sorrofah tidak menawarkan sebarang trasaksi yang melibatkan dinar Iraq tika ini?
- Risiko di mana anda ingin menukar wang tadi contohnya selepas diketahui wang Iraq tadi mengalami peningkatan nilai. Nak pegi Iraq ke tukar duit tu atau si A dalam kisah di atas akan menjualkan kembali untuk anda? Jika naik sekarang atau setahun dua lagi mungkin si A masih ada di sini. jika naik 4 atau 5 tahun akan datang, kat mana anda nak tukar balik duit tu? Tau ke tidak risiko tu?
Risiko-risiko tadi mungkin juga si penjual dinar Iraq sendiri tidak tahu. Atau mungkin tahu tapi itu semua bukan prioriti. Yang penting duit yang dijual laku dan apa peduli pada si pembeli yang tak mengkaji dahulu sebelum membeli. Nak salahkan siapa kalau dah tertipu. Last-last buat hiasan dan simpanan sebagai kenangan. Kenangan yang amat mahal harganya.
Masalah (4)
Adakah kita juga ingin jadi seperti Spekulator matawang Georg Soros yang suatu ketika dahulu pernah menyerang ekonomi Malaysia? Beli wang RM dengan banyak, simpan dan kemudia satu masa menjual kembali semua wang tadi serentak sehingga menyebabkan kecairan serta lambakan RM dan sekaligus menyebabkan kejatuhan nilai RM. Kita mungkin tak sampai seperti itu kerana kita beli sikit sahaja. Tapi lebih kurang sama cuma namanya mungkin spekulator kecil kecilan sahaja. Kita nampak kecil. Tapi niat kita sama juga sebab niat kita membeli dan akan menjualnya semula apabila kedudukan IQD bertambah baik. Lainlah kalau belinya hanya sekadar untuk hiasan dan simpanan sahaja, atau koleksi matawang semata. Kalau dah membeli sehingga IQD 1,000,000 tu bukan koleksi simpanan namanya.
Jangan kerana ingin cepat senang kita lupakan hukun hakam yang Allah telah gariskan.
Itulah di antara masalah-masalah yang berlaku apabila kita membeli Dinar Iraq. Jika lepaspun hukum di atas, saya tetap menasihatkan berpadalah sekiranya ingin membeli. Bukan tak boleh, tapi carilah saluran dan amaliah yang dibolehkan. Bak kata kawan saya jangan sampai jadi rugi membeli dan kempunan pula kerana tak membelinya (yelah, kalau betul lah suatu hari nanti IQD 1 = USD 1 atau lebih dari itu)
Si penjual dinar Iraq sudah untung awal kerana anda telah membeli darinya. Tapi nasib anda belum tentu lagi. Mungkin balik modal jika ada yang ingin membelinya semula dari anda. Dan mungkin akan hanya menjadi koleksi kenangan-kenangan jika Iraq gagal untuk memulihkaan ekonominya walaupun Minyak di Iraq sangat banyak simpanannnya.
Beberapa perkara yang perlu anda tahu sebelum anda melabur atau membeli dinar Iraq. Perkara berikut anda boleh baca sendiri di dalam link : Klik (versi inggeris);
1) Kenapa si pengurup dinar Iraq menjual dinar Iraq jika dia yakin bahawa jika dia yang menyimpannya sendiri, dia akan jadi kaya raya suatu hari nanti apabila tiba masa kestabilannya. Tentu dia jawab sebab nak kongsi kekayaan bersama bukan? Atau dia sendiri tak yakin nak simpan wang tu, jadi ambil kesempatan untuk senang lebih awal dengan menjualnya kepada anda tanpa ada risiko kerugian.
2) Walaupun minyak Iraq banyak, tak semestinya ekonomi akan pulih dengan cepat dan sempurna. Contoh Venezuala. Minyak banyak tapi politik tak stabil. Ekonominya tak kemana. Lainlah jika anda melabur di syarikat minyak di venezuala atau Iraq. Ha, itu terjaminlah keuntungannya. Melabur dengan membeli duit Iraq tak sama seperti melabur terus di dalam syarikat yang menguruskan minyak tadi.
3) Orang nak samakan ekonomi Iraq dengan ekonomi Kuwait. Suatu ketika dahulu. Kuwait bangkit selepas 3 tahun perang teluk dengan nilai matawang yang tinggi menyamai paras Dolar Amerika. Anda perlu tahu, ya memang Kuwait mampu bangkit. Tapi kata pakar, this is comparing apples to oranges. Mana sama oren dengan apel. Kuwait mampu bangkit atas beberapa sebab. Simpanan sebelum perang sebanyak USD 100 bilion tanpa hutang, politik yang stabil sebelum dan selepas perang dan minyak yang terurus dengan baik. Di Iraq, sebelum perang sudah berhutang sebanyak USD 125 bilion. Ditambah pula dengan politik yang huru-hara dan walaupun minyak banyak, tapi saluran paip minyak selalu disabotaj ditambah perompak minyak dunia (Amerika) telah kuasai segalanya di sana. Tak sama kan bang.
Wallahuaalam...
P/s :
1) Siapa yang belum lagi baca Harian Metro, Jumaat (5 Januari 2007) di dalam ruangan berita utama bertajuk 'Jutawan segera' dinar Iraq. Sila klik link berikut. Kalau sudah tiada, bagi tahu nanti saya akan uploadkan: Klik
2) Sila baca artikel yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat terkemuka yang menguruskan tukaran matawang berkenaan kemampuan dinar Iraq. Jika tak faham mintalah kawan-kawan yang faham bacakan untuk anda : Klik
Sumber :
Artikel-artikel di www.zaharuddin.com
Artikel-artikel di www.xe.com
beberapa orang pembeli yang telah membeli
No comments:
Post a Comment