Aku amat tertarik kali pertama mendapat penjelasan dari Kang Masnor berkenaan sebuah kursus yang diikutinya baru-baru ini ketika pulang bercuti di Indonesia. Katanya nama Ary Ginanjar Agustine sangat popular ketika ini di sana. Beliau dikatakan mampu menyeru segenap lapisan dan golongan masyarakat di Indonesia ke arah Islah dan penerapan nilai-nilai mulia dalam kehidupan baik dalam lapangan kekeluargaan, masyarakat, pelajar, korporat, pegawai kerajaan dan lain-lain lapangan. Lebih menarik dikatakan peserta program beliau tidak hanya tertumpu kepada penganut agama Islam, bahkan penganut agama lain juga tertarik dengan idea dan gagasan yang di bawanya.
Saya tekun mendegar celoteh dan bual Kang Masnor yang memang saya minati dan hormati, lebih-lebih lagi beliau memang seorang yang cemerlang dan banyak maklumat. Duduk bersamanya seolah-olah kita sedang mendengar buku-buku yang sedang berkata-kata. Bukan nak memoja atau membodek beliau, tetapi itulah kebenarannya dan setiap kali aku bersamanya pasti ada satu perkara baru yang akan dikongsi dan tentunya perkara itu baru dalam kotak mindaku yang cetek ini. Lalu tidak berat bagiku memberikan apa sahaja pertolongan yang diperlukan olehnya sehinggakan baru-baru ini Laptopku telah terbang bersama-samanya ke Indonesia 4 bulan lamanya. Namun bukan Kang Masnor yang ingin aku ceritakan pada kalian kali ini. Sekadar menyatakan perkara ini ku perolehi dari beliau tanda kuatnya sanad cerita yang bakal aku ceritakan nanti.
Ary ginanjar Agustine merupakan penggerak dan pelopor kepada sebuah pusat motivasi yang diberinama ESQ Leadership Center. Ide yang dibawanya adalah kefahaman dan kemahiran berkaitan 3 aspek kecerdasan iaitu IQ, EQ dan SQ yang menjadi pemangkin kepada kejayaan seseorang dalam kehidupan. Saya akan ceritakan serba ringkas berkaitan ketiga-tiga aspek kecerdasan tersebut.
Kecerdasan Intelektual atau Intelligence Quotient (IQ) : Adalah kemampuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang ilmu dan kecenderungan. Ia melibatkan kemampuan mengira, berbahasa, membaca, meneliti, mengkaji, membuat rumusan dan menyelesaikan masalah. Kecerdasan IQ sangat ditekankan di pusat-pusat pengajian seperti sekolah dan universiti namun apa yang terjadi sebenarnya, kecerdikan IQ semata tanpa mengambil kira suasana sekeliling akan menyebabkan kita gagal untuk menjadi seorang yang cemerlang setelah berada di medan kehidupan sebenar. Kecerdasan IQ menjadi tapak dalam setiap proses kecemerlangan kerana bagi sesiapa yang tidak memiliki daya fikir atau dianggap hilang akal atau jahil maklumat akan tersungkur awal dalam menjana kejayaan di dalam kehidupan. Secara umumnya, perkataan IQ itu sendiri sudah difahami oleh umum dan sangat meluas diperkatakan.
Sedikit Fakta yang perlu diketahui, Kecerdasan Intelektual (IQ) hanya memberikan 20% sahaja sumbangan dalam menjana kejayaan seseorang (Kajian Daniel Goleman, Executive Intelligence). Ini bermakna jika anda mampu meraih mumtaz dalam peperiksaan atau memperolehi 4.0 dalam exam, ia tidak menjamin anda akan menjadi seorang yang cemerlang dan menonjol apabila tamat pembelajaran. Lalu di mana baki 80% yang harus dicari dalam menjana kejayaan? Sabar yer..kita masuk sikit-sikit, jangan gelojoh. Bab ni mesti ramai yang tak percaya. Terutamanya yang cemerlang tentu akan marahkan saya. Tapi percayalah dengan segulung ijazah di tangan, tidak akan menjamin kejayaan dalam pekerjaan. Kerana kejayaan yang kita raih tadi perlu disalurkan dan desesuaikan dengan persekitaran yang ada dan itulah dia baki 80% yang perlu ada dalam diri kita untuk berjaya. Ia adalah Kecerdasan Emosi atau Emotional Quotient (EQ). Sebelum kita pergi lebih jauh saya akan lampirkan sebuah kisah rekaan ala kisah benar yang perlu anda tahu di mana letaknya kepentingan Kecerdasan Emosi tadi.
Contoh : Seorang pengurus sebuah syarikat penerbangan dari Mesir (contoh ini janganla digelakkan) ingin menjual dan memasarkan pesawatnya kepada sebuah syarikat pelancongan terkenal di Tanah air. Lalu diadakan satu pertemuan semeja yang akan memetrai perjanjian untuk penjualan pesawat tersebut. Dengan hanya menjual pesawat tersebut, pedagang mesir tadi mampu rehat dan cuti 2, 3 bulan hasil dari keuntungan yang bakal deterimanya. pedagang tadi tidak keseorangan datang ke Malaysia, namun ia bertemankan seorang s/u sulitnya yang sangat pintar dalam urusan jual beli dan pengurusan. Namanya Hamada. Memang tidak terduga ketinggian IQnya. Oleh sebab itu jugalah ia diambil menjadi s/u sulit merangkap penasihat perniagaan pedagang mesir berkenaan.
Sebelum termetrainya perjanjian, pengarah syarikat pelancongan dari Malaysia tersebut telah menjemput pedagang mesir tadi makan malam di kediaman rasmi beliau di Kuala Lumpur. Wah, terkejut pedagang mesir melihat mahligai yang dimiliki oleh Bos syarkat pelancongan tersebut. Selepas makan-makan dengan perbulaan yang ramah tamah, pedagang tadi dijemput bersama-sama s/u nya melawat-lawat sekitar mahligai Bos syarikat tadi. Bos syarikat tadi tidak habis-habis menceritakan mengenai barang-barang barang antik yang telah dibelinya dari seluruh dunia dan telah habis berjuta ringgit semata-mata untuk memiliki barangan antik tersebut. Lantas pedagang Mesir tadi terangguk-angguk dan memberikan respon serta reaksi 100% kepada Bos tadi. Apa katanya : Wah!! ana kagumlah dengan koleksi-koleksi anta ini. Fantastik Awi awi tambahnya.
Hamada (s/u sulit pedagang yang tinggi IQnya) hanya memerhatikan tanpa ada sebarang reaksi. Lalu Bos tadi sedikit kepelikan lantas bertanya kepadanya : Enta tak enjoy ker malam ni Hamada? Tidak seronok bersama kami? Hamada hanya tersenyum hambar. Bos tadi bertanya kepadanya lagi : Apa pendapat anda lihat koleksi-koleksi antik yang ana kumpul ni? Dengan rasa jujur dan rasa ketinggian IQnya, Hamada menjawab : Barang-barang koleksi Tuan ini banyak terdapat di lorong-lorong pasar malam di tempat kami dan boleh dibeli dengan harga yang murah!!
Tamat..
Anda boleh gambarkan bukan, apa kesudahan cerita di atas tadi. Perjanjian tidak diteruskan dan pedagang Mesir tadi telah kerugian beribu-ribu dolar hasil kebijaksanaan IQ Hamada!!. Hamada dibuang kerja dan Pedagang tadi telah menawarkan jawatan kosong tersebut kepada umum dan mencari seorang s/u yang bukan sahaja cerdik IQ nya tapi cerdik juga EQ nya..
Seterusnya Apa pula yang disebut sebagai EQ dan bagaimana ingin mendapatkannya? Di mana pula peranan SQ atau Spiritual Quotient di dalam menjana kejayaan. Kita jumpa nanti di episod seterusnya..