-->

Monday, August 17, 2009

Kepimpinan Islam dan BKPJM

Kepimpinan Dalam Islam
Menjadi kepimpinan merupakan suatu tanggungjawab yang besar.Jawatan yang dipegang pastinya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Taala kelak. Oleh itu ia memerlukan keikhlasan dan kejujuran yang tinggi bagi mendepani suasana semasa pentadbiran. Ramai orang berkata hanya kepimpinan yang boleh membuat perubahan. Aku Ahli tidak mampu berbuat apa-apa ketetapan. Jika diteliti nampak ada benarnya. Akan tetapi, bagi mereka yang benar-benar ikhlas bekerja, jawatan bukanlah halangan untuk mereka berkhidmat dan bekerja untuk perjuangan Islam. Tambahan pula, siapalah kepimpinan jika tanpa ahli yang mendokongnya.

Jawatan bukan sesuatu yang boleh dipinta-pinta. Maksud sebuah hadis Nabi SAW :

Daripada Abu Musa r.a. katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat Bukhari Muslim)

Begitu juga nasihat Rasulullah SAW kepada Abu Dzar yang meminta Rasulullah SAW melantiknya memegang jawatan dengan sabdaNya :

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah (tidak mampu), dan sesungguhnya jawatan ini satu amanah, nanti di hari akhirat engkau akan akan berdukacita dan menyesal, melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau menunaikan pula amanahnya”.

Jawatan boleh dipinta dengan beberapa sebab. Antaranya jika kita tidak memintanya, orang yang bukan ahlinya akan mengambil dan menyalahgunakan kedudukannya. Dalam masa yang sama tiada orang lain yang lebih layak dan orang yang layak hanya mendiamkan diri sahaja, seperti kisah Nabi Yusuf A.S yang meminta jawatan menteri kewangan dari raja Mesir seperti yang dirakam di dalam Al-Quran :

Maksudnya: Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah Yusuf: 55-56)

Imam al-Qurtubi mengatakan: “Sesungguhnya Yusuf a.s. hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, islah dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu `ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia

Berbeza pula jika kita telah dipilih dan dicadangkan oleh syura (sistem permesyuaratan umat Islam). Ia pula satu kepercayaan dan tanggungjawab untuk kita menerimanya sambil mengharapkan bantuan dan pertolongan dari Allah Taala. Nabi SAW menyebut di dalam sebuah hadis :

Maksudnya : Barangsiapa yang menuntut jawatan dan meminta pertolongan untuk mendapatkan jawatan itu, Allah Taala akan menyerahkan tanggungjawab itu kepadanya (dibiarkan). Barang siapa yang tidak meminta jawatan dan tidak pula meminta tolong agar diberikan jawatan (akan tetapi diberikan tanggungjawab, lalu menerimanya), Allah Taala mengutuskan malaikat untuk memenuhi keperluannya(membantunya). (Sunan Abi Daud no. 3578)

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda kepada Abdurrahman Bin Auf:

Maksudnya : Wahai `Abdurrahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu. (Sohih Bukhari Dan Muslim)

Menjadi pemimpin pula bukan bermaksud kita akan beraksi sendirian. Menjadi pemimpin bukan hanya kita bekerja dan berfikir secara individu. Individualistik hanya akan menghancurkan kesatuan dan persatuan. Kita ada jawatankuasa yang bersama-sama bekerja. Kita ada ahli yang pelbagai ragam yang perlu diperhalusi dan ditangani dengan penuh cermat dan saksama. Jadi pimpinan bukan sekadar ingin membawa gagasan berkepentingan sebahagian pihak dan puak semata-mata. Menjadi pemimpin ibarat duduk di atas sebuah bukit. Melihat dari atas apa yang ada di setiap penjuru bukit. Melakukan pembaikan untuk semua penduduk yang ada di sekitar bukit. Bukan untuk sebahagian kaum sahaja dari kaum-kaum yang duduk di bawah bukit. Tindakan perlulah bijak meraikan semua kaum dan puak tanpa menjejaskan kesatuan dan kebajikan ahli keseluruhannya. Kerana majoriti ahli dan penduduk hanya melihat kaum yang bersamanya, tidak menyelami kaum yang tinggal di sebalik bukit. Fikirkanlah!!!
BKPJM dan Kepimpinan

Tahun ini kali pertama sepanjang hayat saya di mesir melihat pertandingan jawatan bagi kerusi YDP BKPJM. Ianya suatu yang baru dan mengejutkan. Dengar cerita Ust Basir susah sangat nak terima pencalonan kerana rasa takut untuk memegang jawatan tertinggi di dalam BKPJM. Itu biasa berlaku sehingga waktu pencalonan terpaksa dipanjangkan. Takut memegang jawatan itu lumrah. Biar kita rasa takut jangan kita rasa gembira. Biar orang yang calonkan kita. Biar orang yang rasa kita boleh, jangan kita meninggi merasa kita yang terbaik. Bangga dan bongkak itu tanda ada penyakit dalam hati kita.

Ustaz Zaki pula melihat ada sesuatu yang perlu diperbetulkan dan ada sesuatu yang kurang di dalam BKPJM yang sekian lama dibiarkan dan perlu dituntaskan. Mungkin baginya menjadi YDP BKPJM adalah solusi terbaik untuk permasalahan itu. Waktu pencalonan yang dipanjangkan memberinya inspirasi untuk bertanding jawatan YDP BKPJM. Ust Basir dan Ust Zaki sama-sama kuat dari segi syakhsiah. Ust basir dan Ust Zaki keduanya Mahasiswa tahun akhir di dalam bidang masing-masing. Mungkin kelebihan pengalaman Ust Basir di dalam BKPJM selama dua tahun memegang jawatan EXCO BKPJM akan banyak membantu beliau untuk memegang jawatan tertinggi di dalam kepimpinan BKPJM. Ust Zaki walau tiada pengalaman dalam EXCO namun sering juga terlibat sebagai jawatankuasa di dalam BKPJM. Kedua-duanya ada jasa dan pengalaman.

Kedua-duanya juga amat saya kenali. Ust Basir anak Usrah dan anak buah saya sewaktu mula-mula tiba di mesir. Ust Zaki teman sepembelajaran semenjank dari tingkatan satu lagi. Semua orang tahu akan sikap dan semangat keduanya. Kata sahabat, tidak boleh ada dua orang dalam satu jawatan. Kita selaku ahli wajib untuk membuat keputusan. Pilihlah yang terbaik dari semua aspek dan segi tanpa ada sentimen warna atau kebangsaan, sedara mara atau rakan taulan. Pilihlah yang paling warak, paling berilmu, paling berpengalaman, paling berketrampilan dan yang paling penting, paling menjaga hubungannya dengan Allah dan Manusia. Pilihlah atas semangat ukhwah dan perpaduan Islam.

Saya mendoakan agar Mesyuarat Agung Kali Ini berjalan Lancar dan memberikan impak yang terbaik buat semua ahli BKPJM khususnya. Saya juga akan pulang malam ini menaiki keretapi fransawi untuk menggalas tanggungjawab selaku pengundi dan Ahli BKPJM.

Selamat bermuktamar dan selamat menjalankan tanggungjawab selaku pemilih..

Wassalam..

[+/-] Selengkapnya...

Tuesday, August 04, 2009

Dakwah Non-Muslim

Bismillah. Alhamdulillah. Wassolatu Wassalamu Ala Rasulillahi Wa Bakdu,

Sunyi sepi sesebuah blog kemungkinan disebabkan kematian yang ampunya blog atau semangat menulisnya yang sudah pergi. Namun demikian, bagi blog ini kesepian yang melandanya bukanlah kerana kematian adminnya walhal adminnya masih hidup segar bugar. Bukan juga kerana kehilangan semangatnya alhasil penulis ini masih bersemangat dengan ide-ide di kepalanya. Akan tetapi semua itu kerana penyakit M A L A S yang ganas menyerang seperti H1N1 mudah merebak (hati-hati) dan akhir-akhir ini semakin gila membunuh.

selesai membina dan mengislah beberapa buah blog teman dan persatuan akhirnya blog sendiri terbengkalai. Tersentak dengan sapaan sinis Ibnu_Ali, baru disedari sudah sebulan lebih blog ini tidak di isi. Maafkan saya (sekiranya) blog ini ada peminat yang datang membuang masa di sini.

Saya sekarang ini sedang membuat sedikit kajian yang bakal dibentangkan insyaallah di Fiesta Thaqafi anjuran BKPJM 15 & 16 Ogos yang akan datang. Tajuk yang diberikan adalah bersifat semasa berkaitan dakwah Islam kepada Non-Muslim. Ibnu_Ali dahulu pernah membangkitkan persoalan berkaitan nasib convert muslim (muallaf) di Malaysia yang agak terbiar dan tidak ditangani secara baik dan berkesan. Peranan gerakan Islam terutamanya PAS juga dilihat belum maksima dalam memperjuangkan isu itu secara bersungguh. Akhirnya mereka (muallaf) kembali kepada asal aqidah mereka atau yang lebih teruk menerima pula dakyah agama lain seperti nasrani yang akhir-akhir ini dilihat lebih bersifat menggula-gulakan nilai kasih sayang, ukhwah dan prihatin dalam memperjuangkan nasib orang susah seperti yang dibongkar oleh ustaz Amin yang melibatkan isu sekumpulan pemuda islam yang dijangkiti AIDS dijaga selia oleh gereja kerana tiada pelindungan dan bantuan dari keluarga dan umat islam sendiri.

Tidak sudah isu itu, kini isu dakwah non-Muslim kepada Islam pula menjadi sebutan. Isu pertama tadi sepatutnya ditangani dengan baik terlebih dahulu kerana ditakuti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Walaubagaimanapun, saya mengakui bahawa isu ini juga tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana kebenaran ISLAM itu perlu disampaikan kepada seluruh manusia. Menggunakan kaedah Ma La Yudraku kuluhu La Yutraku Kulluhu, maka usaha ke arah menyampaikan Islam kepada seluruh umat manusia perlu diteruskan walaupun sedikit dari langsung terbiar.

Mutaakhir di Malaysia kini, PAS sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam secara keseluruhannya telah mendapat sokongan yang amat mengejutkan oleh warga non-Muslim. Kajian sehingga 1 Disember 2008 menyebut keahlian Kelab penyokong PAS yang di isi oleh warga non-Muslim dari kalangan kaum India dan Cina telah melebihi 30 000 penyertaan. Jumlah itu tidak boleh dipandang remeh justeru PAS memang diketahui umum parti yang memperjuangkan nasib Agama, bukan semata-mata perjuangan bangsa.

Persoalan yang boleh diajukan adalah bagaimana PAS boleh menerima sokongan sebesar itu? Adakah sokongan itu disebabkan oleh kebencian mereka terhadapat UMNO dan BN yang dilihat gagal memperjuangkan nasib kehidupan mereka semata-mata? Sampai bilakah sokongan itu mamapu bertahan? Apakah yang perlu dilakukan bagi mengekalkan sokonga mereka terhadapat Parti dan pejuangan Islam itu sendiri? Adakah langkah-langkah itu sudah dirangka dan serba sedikit kerja pengukuhan telah dilaksanakan? Adakah kita mahu membiarkan mereka selayaknya menjadi penyokong walhal langkah menyeru mereka kepada Islam belum lagi diatur sebaiknya? (Join ISLAM bukan setakat sokong).

Apabila diteliti sebab-sebab sokongan sebesar itu diterima oleh PAS antaranya adalah kerana akhlak dan teladan yang ditunjukkan oleh pimpinan PAS itu sendiri terutamanya YAB Tuan Guru Nik Aziz. Fakta ini tidak mampu disangkal lagi dengan kehadiran beribu-ribu ahli kelab penyokong PAS bertemu muka dengan beliau bagi menyatakan sokongan secara terbuka. Justeru dilihat soal akhlak dan keperibadian muslim yang ditunjukkan oleh Tuan Guru memainkan peranan penting dalam menarik sokongan non-Muslim kepada Islam.

Perkara ini telah dibuktikan sendiri oleh Junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang ketika mana pergi melalui sebuah lorong untuk bersolat dilempar dengan sampah dan celaan dari seorang wanita. Akhirnya ketika pada suatu hari wanita itu tidak kelihatan, Rasulullah SAW segera menziarahinya. Wanita tadi tertarik dengan akhlak yang ditunjukkan Baginda SAW dan menyatakan syahadahnya di hadapan Nabi SAW. Apa yang yang berlaku kepada Tuan Guru hanyalah ulang tayang kepada kebenaran Akhlak dan dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW.

Justeru, konsep dakwah dan tarbiyah kepada masyarakat Islam di malaysia terutama para pendokong kebenaran perjuangan Islam perlu dimaksimakan dan diperbaharui konsepnya bukan sekadar melalui usrah dan tamrin yang semakin berkurangan sahaja. Malah ia perlu diperkasa di semua peringkat masyarakat Islam tidak kira pimpinan, ahli, pekedai, saudagar, blogger, ustaz, professional, guru, murid, remaja, dewasa, suami, isteri, keluarga dan seluruhnya. Tanpa meninggalkan sisi-sisi dalam masyarakat Islam, akhirmya akan melahirkan sebuah mujtamak mitahli yang mampu menjadi contoh dan tarikan kepada warga non-Muslim bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Proses dakwah dan islah itu juga memerlukan kepada ilmu dan panduan agar selari dengan apa yang diajarkan oleh Islam. Insyaallah, saya cuba masukkannya ke dalam kajian yang bertajuk : Panduan Dakwah Non-muslim, sedaya upaya saya moga-moga ada kebaikan untuk semua. Saya juga mengharapkan dari sidang pembaca dan rakan-rakan jika mempunyai maklumat dan info-info berguna berkaitan yang boleh dimasukkan bersama ke dalam kajian ringkas itu.

Wallahu'aalam

[+/-] Selengkapnya...

Related Posts with Thumbnails