-->

Saturday, July 28, 2007

Rehat Suatu Kemestian?

Bismillah…


Entri kali ini mungkin tidak banyak maknanya bagi yang tidak memahami. Ini bukan ruang untuk menyatakan isi hati sendiri yang tidak memberi faedah kepada orang lain. Kalau ada artikel saya yang lalu berbentuk luahan hati yang tidak memberi faedah kepada sidang pembaca budiman saya minta maaf.

Mungkin kehadiran saudara semua ke laman ini agak sia-sia kerana tiada manfaatnya. Saya berhasrat untuk menyatakan perjalanan hidup saya yang boleh dijadikan panduan atur hidup kita bersama. Sebab itu laman ini saya namakan jurnal jalan kehidupan.

Manusia dikurniakan dengan masa. Masa yang dikurnikan pula semuanya sama dengan top up 24 jam setiap hari. Manusia juga diuji dengan tanggung jawab. Banyak dan sedikit tanggung jawab di dalam kehidupan bergantung kepada kemampuan dan kewarasan pemikiran kita. Ada orang kata kita tidak punya masa yang cukup untuk memenuhi semua tanggung jawab kita. Al-wajibat akstaru minal auqat. Saya juga mengakui kenyataan itu. Memang benar jika kita sedar sebenarnya tanggung jawab selaku seorang muslim itu terlampau banyak. Sehingga tiada istilah masa lapang dan waktu untuk berpoya-poya. Namun itu bukan bermaksud kita tidak punya masa untuk berehat.

Di dalam sebuah hadis nabi SAW, ada menyeut mengenai keperluan berehat di dalam diri manusia;

Maksudnya : Berpuasa dan berbukalah, Jaga dan tidurlah kerana sesungguhnya bagi jasadmu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, bagi matamu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, dan bagi pasanganmu itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan, dan bagi jiwamu(roh) itu ada hak-hak yang perlu ditunaikan.

Jelas di sini bahawa rehat itu perlu dalam kehidupan kita. Tertolaklah kata-kata yang menyatakan tiada rehat di dalam perjuangan. Kerana rehat itu adalah fitrah dalam kehidupan insane. Hanya cara kita menguruskan waktu rehat itu yang memerlukan kepada kebijaksanaan. Masa rehat perlu dirancang. Jika tidak, hak-hak yang sepatutnya ditunaikan di atas tidak akan kesampaian.

Saya melihat pelbagai ragam orang mengurus waktu rehat mereka. Ada yang berehat dengan tidur sepuas-puasnya. Ada yang pergi berkelah. Ada yang melayari internet, berchating, menelefon orang-orang tersayang, layan fifa 2007 dan macam-macam lagi. Rehat bebas bergantung kepada jiwa sesorang asalkan ia tidak melanggar batas-batas syarak. Pernah suatu ketika saya bekerja dengan seorang rakan dalam sesuatu program, setelah selesai program ia minta waktu rehat dari saya. Katanya saya sudah terabai banyak zikir dan aurad saya waktu program. Saya mahu rehat untuk dapatkan semula kekuatan rohani saya. Aduhh..bagusnya waktu rehat begitu. Kalau saya pula waktu exam adalah waktu paling rehat dalam hidup saya, sebab dapat duduk dirumah tanpa panggilan telefon dan gangguan.

Ada juga yang saya lihat tidak menjaga dan merancang waktu rehatnya. Sehingga cengkung dan tiada seri di wajahnya. Tiada rehat akan menyebabkan tekanan. Wajah nampak tua (macam saya). Akal dan pemikiran akan jadi sempit. Hati juga boleh jadi rosak. Apabila kita merasakan diri kita paling banyak melakukan kerja, kita akan menuding kawan-kawan kita yang lain hanya duduk rehat semata-mata. Kan sudah rosak hati kalau macam tu. Ikhlas sudah tiada lagi kalau begitu. Ada pula yang lebih dahsyat lagi kesan diri dan jiwa yang tidak mendapat rehat yang cukup. Futur dan rasa malas untuk bekerja akan menanti di hadapan kerana jasmani dan rohani telah over flow. Lebih had dan ketahanannya.

Pihak kepimpinan perlu memainkan peranannya dalam hal sebegini. Lihak ajk yang berada di bawah anada. Adakah mereka terbeban dengan kerja yang teralu banyak sehingga tidak cukup tangannya. Mereka malu untuk menyatakannya takut orang akan kata mereka menguingkit kerja yang telah mereka buat. Jadi pimpinan tertinggi perlu prihatin terhadap suis-suis ini takut jika sudah terbakar nanti agak sukar untuk mencari gantinya.

Kesimpulannya, saya menyeru kepada sahabat-sahabat agar ambillah waktu rehat secukupnya. Berehat itu tuntutan dan kerja juga merupakan tuntutan dan tanggung jawab. Imbangi keduanya agar semua hak-hak yang tersebut tadi mendapat tempat yang sewajarnya.

Saya ambil kesempatan ini mohon maaf pada pihak yang berkenaan kerana kerja yang saya pikul banyak yang tidak sempurna. Kerana saya juga orang yang lemah dan perlu mengambil sedikit rehat. Saya amat risau waktu sedikt yang berbaki ini akan mencela saya kerana apa yang saya tinggalkan terbengkalai dan tidak mencapai matlamatnya. Maafkan saya semua.

Wallahu'aalam..


[+/-] Selengkapnya...

Sunday, July 15, 2007

Bertalaqi al-Quran Satu Tuntutan..

Bismillah..

Mungkin ini kali terakhir saya menulis menggunakan khidmat AMILO Pi 1505 keluaran Fujitsu Siemens ini. Oleh itu sebelum berpindah milik kepada insan lain, elok saya ambil kesempatan ini untuk menulis dan mengabadikan jasa AMILO yang amat banyak buat diri saya. Hampir 8 bulan saya menggunakannya, kini ia bakal berpindah milik kepada sahabat saya, Azizulhisyam yang bakal pulang ke tanah air hari Selasa ini.

Justeru AMILO akan sampai ke tanah air lebih awal dari saya. Saya amat puas hati dengan AMILO. Jika tidak disebabkan oleh keperluan yang lebih besar, saya tidak akan menjualnya kepada orang lain kerana ia sangat hebat berprestasi.

Dua tiga minggu ini amat penat saya rasakan. Di akhir-akhir keberadaan saya di sini dipenuhi dengan pelbagai taklifan peribadi dan persatuan. Namun ianya amat baik saya rasakan. Jika tidak, masa pagi mungkin banyak dihabiskan dengan tidur yang tidak kunjung puas. Yang paling mencabar saya rasakan adalah talaqqi al-Quran yang setiap hari perlu saya ikuti. Sudah hampir 5 tahun saya mendapat didikan Syeikh Abdul Azim Syaaban. Kalau orang lain dalam masa 5 tahun tu mungkin sudah banyak kali khatamnya. Namun bagi saya sekali pun belum merasa khatam di hadapan Syeikh. Bulan ini amat mencabar. Syeikh minta saya khatamkan dalam masa sebulan yang berbaki ini. Yang lebih mencabar lagi saya diminta untuk mengulang kembali bermula dari juzuk yang pertama.

Sudah jadi pelajar tua ni, semakan Syeikh jadi lebih tajam lagi. Kalau dahulu saya baca rasa macam sudah betul, tapi kini sudah jadi salah. Kata Syeikh, lahjah saya masih melayu lagi. Huruf yang paling bermasalah sehingga kini adalah huruf Dhad. Ye lah, hanya Rasulullah sahaja yang paling betul dalam menyebut huruf Dhad ni. Namun kata Syeikh, walau tidak 100% sama dari segi tempat keluar hurufnya, yang penting bunyinya mestilah sama. Kene rotan, cubit telinga dan penyapu lalat itu biasalah bagi saya. Apa tidak marahnya, sudah 5 tahun belajar pun tak pandai-pandai lagi.

Ilmu tajwid bagi saya ianya amat dharuri. Jika kita pelajar agama, belajar tinggi-tinggi tetapi dalam membaca al-Quran masih lagi berterabur tidak padanlah dengan ilmu yang tinggi itu. Salah membaca al-Quran boleh membawa tidak sah dalam solat kita. Ini bukan perkara main-main. Saya nasihatkan bagi kawan-kawan yang masih mempunyai masa untuk bertalaqi al-Quran eloklah cari mana-mana guru yang anda rasakan sesuai. Tidak mahukah kita dalam seumur hidup kita merasa khatam membaca al-Quran di hadapan orang yang pernah bersambung sanad bacaannya hingga sampai kepada Rasulullah SAW..? Ini peluang kita. Di Mesir ni amatlah ramai guru-guru muqrik yang mahir dan bersanad.

Nak ceritanya, guru di sini cek bacaan kita sambil pejam mata jer. Kadang-kadang sambil beliau ke dapur pun tahu kesalahan apa yang kita baca. Nak kata mahir dan kuatnya ingatan guru-guru di sini ni. Kita ni baca berulang kali di rumah. Sampai depan guru rupanya masih banyak lagi kesalahan yang kita baca. Bayangkan jika kita langsung tidak pernah membaca di hadapan guru. Salah tak salah kita langgar sahaja. Nanti kalau kesalahan itu sudah melekat dimulut kita amatlah susah untuk kita betulkan di hari kemudian. Itu baru membaca, belum tasmik hafazan lagi. Kalau benda yang kita baca dan nampak di hadapan mata pun sudah salah banyak, inikan pula hafazan kita. Macam mana pula bacaan kita dalam solat kita.

Saya tidak nafikan, walau sudah hampir 5 tahun belajar pun masih banyak kesalahannya juga. Namun, sekurang-kurangnya dapatlah juga saya meminimumkan kesalahananya. Dahulu saya pernah juga berguru di Malaysia. Jadi apabila baca di hadapan Syeikh kali pertama dahulu saya rasakan macam sudah betul sahaja bacaan saya. Tup tup 7 kesalahan saya dalam al-Fatihah. Hah, terkejut saya. Kebanyakkannya kesalahan dalam menyebut makhraj huruf. Patutlah, dahulu saya belajar dengan guru melayu jadi lahjahnya pun lahjah melayu. Sekarang ni dengan guru arab, jadi lahjahnya perlulah ikut seperti orang arab. Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab dan dengan lahjah sebutan Nabi Muhammad SAW, insan yang paling fasih dalam dunia.

Banyak perkara yang saya dapat sewaktu belajar dengan Syeikh. Antaranya bacaan perlulah kuat. Kalau kita baca perlahan sudah tentu tidak nampaklah kesalahan bacaan kita. Banyak la tempat makhraj yang tidak betul keluarnya. Tempat berhenti pun kita main langgar sahaja. Sebab mudah-mudah kita curi nafas waktu membacanya. Kalau kita baca kuat, paling kurang kita yakin yang bacaan kita itu betul. Orang yang sekitar kita pasti akan membetulkan bacaan kita jika kita tersalah membacanya.

Antara lain, apabila membaca perasaan dan penumpuan haruslah sepenuhnya dengan apa yang kita baca. Saya banyak kali berhadapan dengan sutuasi yang tidak khusuk apabila membaca di hadapan Syeikh. Kepala ingat kerja di rumah. Ingat kerja dan program. Macam-macam lagi lah. Dan waktu itu pastinya bacaan saya akan banyak salahnya. Itu tanda kita tidak beri penumpuan pada bacaan kita. Nak baca dengan baik harus beri penumpuan dengan apa yang kita baca. Sambil baca perlu juga tahu maknanya agar kita tidak berhenti pada tempat yang tidak selayaknya. Syeikh kata siapa yang tidak tahu tempat waqaf hasan (berhenti yang elok) maka dia tidak layak untuk jadi guru al-Quran. Ini memang sangat mencabar. Saya banayak kali ditegur o leh syeikh kerana berhenti di temoat waqaf qobih (berhenti yang buruk).

Saya hanya ingin berkongsi dengan kawan-kawan sahaja. Kalaupun kawan-kawan tidak sempat untuk cari guru, ada alternatif lain yang perlu kawan-kawan buat untuk perbaiki bacaan al-Quran. Antaranya anda perlu banyak membaca al-Quran dengan kuat. Untuk lebih baik lagi cari rakan-rakan yang elok bacaannya agar menyemak bacaan kita. Manhaj al-Quran dalam USRAH perlulah dipertingkat agar semua ahli usrah mampu membaca al-Quran dengan baik.

Saya rasa sedih juga kerana terjumpa kes-kes terpencil kawan-kawan yang merangkak-rangkak dalam membaca al-Quran. Itu tidak sepatutnya terjadi di sini. Kalau merangkak kerana lidah pelat itu boleh dimaafkan, tetapi apa yang saya dapai ianya sebaliknya. Al-Quran tidak dibaca. Ilmu tajwid pula tidak diendahkan. Kita harus sama-sama benteras perkara ini sebelum ia jadi lebih parah lagi. Zaman akan datang mungkin kita akan sekali lagi bertemu dengan zaman anak-anak kita tidak kenal tulisan jawi. Kalau kita tidak bersedia dari sekarang, siapa lagi yang kita harapkan untuk mendidik anak-anak kita..?!

[+/-] Selengkapnya...

Thursday, July 05, 2007

Ibu, kau inspirasiku...

Bismillah...

Sempena mengenang pemergian insan tersayang bergelar ibu, saya ingin bawakan di sini titipan khas buat mengenang jasa-jasa ibu. Moga ada iktibar untuk kita bersama.

Ibu, tanpanya mungkin kita tidak akan lahir di dunia ini. Hanya ada satu kisah sahaja yang menyatakan kelahiran manusia tanpa ibu iaitu insane pertama Nabi Adam A.S. Selian dari itu tiada insane yang Tuhan ciptakan melainkan setelah ianya duduk di dalam kandungan insane yang bergelar ibu.

Setelah dua tahun pemergian ibu (2 Julai 2005), saya dapat rasakan betapa sepinya hidup insane yang tidak punya ibu. Pemergian ayah 7 tahun sebelum pemergian ibu saya rasakan tidak sekuat cabaran dan rintangan kehilangan seorang ibu. Setelah ayah pergi, ibu tetap tabah. Ibu adalah ibu, ibu jugalah ayah waktu itu. Peranan ibu waktu itu sangat saya kagumi. Ibu tabah walau sudah tidak punya suami. Di temani 10 orang anak yang 8 orang darinya sudah berkahwin dan ditambah dengan 36 orang cucu menjadikan ibu bisa tersenyum walau di hati ibu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sewaktu ayah sakit, semanjak tahun 1990 kalau tidak silap saya, ibu tetap setia menjaga ayah. Hampir 8 tahun lamanya. Setianya ibu. Ayah mengidapi sakit yang ganjil. Waktu itu ayah mudah marah. Dek sakit yang dihadapinya menyebabkan emosi ayah mudah terganggu. Batuk yang dihadapinya kadang-kadang sehari suntuk tidak lekang darinya. Sehingga letih dan lelah ayah dibuatnya. Semalaman jugalah ibu tidak tidur menemani ayah yang kesakitan. Serangan penyakit itu menyebabkan ayah agak mudah melenting. Apabila saya dan adik bertengkar, alamat dua-dua akan mendapat hadiah rotan panjang. Waktu itu sedih juga rasanya, tapi sekarang jadi rindu dengan situasi itu. Mana ada ayah yang tidak sayang pada anaknya. Apabila ayah marah, ibulah yang menenangkannya.

Ibu pernah kata pada saya, Seorang ibu mampu membesarkan 10 orang anak sehingga dewasa, namun 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu ketika ibu sudah tua. Perkataan itu saya masih ingat sehingga hari ini. Seorang ibu yang sudah kehilangan suami akan jadi lebih tabah. Namun begitu, emosinya sangat mudah terluka. Itu pengalaman saya bersama ibu. Kalau abang dan akak tidak balik atau tidak telefon maka saya dan adiklah tempat ibu mengadu. Satu point di sini bagi yang masih punya ibu, selalu-selalulah telefon dan ziarah ibu. Ibu tidak minta dihargai tapi menghargai dan menghormati ibu itu satu kewajipan dan tuntutan buat kita semua. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Saya sering kali mengikut ibu ke kebun. Kata ibu tangan saya ada mengikut sedikit berkat tangan ayah. Kalau tanam pokok mudah menjadi. Tangan panas katanya. Waktu bersama ibu di kebun kami sering berbual. Waktu itu ibu sering memberikan motivasinya kepada saya. Ibu kata : Kamu nak jadi macam ibu ker?? Hidup susah, kene baut kerja berat macam ni setiap hari? Motivasi seperti itu saya rasa susah nak dapat kalau tidak mengikut ibu ke kebun. Gabungan motivasi lisanul maqal dan lisanul haal memang sangat berkesan. Kata-kata itu saya jadikan azimat untuk mengubah diri saya. Kata ibu lagi, kalau kamu sudah besar nanti ingat lagi tak kamu pada Ibu ye?? Saya amat sedih bila kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga kala ini. Saya tidak sempat berbakti pada ibu. Bagi yang masih punya ibu, jangan biarkan ibumu menderita di hari tuanya.

Ibu sering mengajar saya erti kesusahan. Saya jarang diajar hidup senang dan mewah. Masih saya ingat sewaktu sekolah dahulu kedudukan rumah saya dengan sekolah sekitar 5 KM. Saya di ajar pergi ke sekolah dengan berbasikal bertemankan adik. Pagi ke sekolah kebangsaan dan petang pula ke sekolah agama. Jarak setiap hari yang saya lalui hampir 20 KM. Ibu kata biar kamu rasa susah dahulu. Nanti besar moga kamu ingat kamu berasal dari orang susah. Jangan lupa diri pula kalau sudah senang. Motivasi itu saya pegang sungguh-sungguh. Semangat saya untuk belajar jadi bertambah setiap kali dinasihati ibu.

Pernah suatu masa keadaan waktu itu sangat susah. Kebun tiada hasil. Kakak dan abang lama tidak pulang gara-gara tiada cuti. Ayah pula sakit. Duit banyak dihabiskan untuk mengubat ayah. Waktu itu lama juga kami tidak menjamah nasi. Ibu kata, orang dahulu hidup lebih susah lagi. Kita dapat makan mee sup ni pun dah kira bertuah. Waktu itu ingat lagi baki duit ibu hanya tinggal sekitar RM 5. Cukup untuk makan mee sup 4 beranak. Ibu kata jangan bagi tahu abang dan kakak kamu. Tapi saya tidak sanggup. Waktu abang dan kakak balik saya ceritakan semuanya. Habis semua berderai air mata. Begitulah sikap seorang ibu. Tidak berniat langsung menyusahkan anak-anaknya.

Ibu sangat mengambil berat terhadap pembelajaran saya. Ibu memberikan kebebasan kepada saya untuk memilih bidang saya. Walau begitu ibu tetap mengaturnya. Langkah saya di halakan ke sekolah menengah agama. Bersusah payah ibu mengusahakannya. Terima kasih ibu. Kalau ibu tidak melorongkan saya ke lorong ini mungkin kini saya tidak di sini. Ibu mahu 4 beradik yang terakhir bersekolah agama. Nak jadi apapun kata ibu biarlah kamu berasal dari sekolah agama. Kesedaran ibu waktu itu membuahkan hasil kini. Keempat-empat anak yang terakhir semuanya lepasan sekolah agama. Ada juga orang yang kata pada ibu nak jadi apa anak-anak kamu nanti sekoah agama. Tak ada masa depan. Ibu tetap yakin, mungkin ibu sudah nampak, saham akhirat ibu akan jadi makin berat (insyaallah) bila anak-anak ada pengetahuan agama. Adik beradik saya sebelum itu semuanya keluaran kebangsaan.

Ibu jadi Simbol kekuatan saya. Jika saya susah pasti ibu akan terasa. Doa ibu memang cukup mujarab. Setiap kali saya telefon pasti tidak lupa untuk minta ibu mendoakan saya. Waktu itu tidak saya perasan kekuatan doa ibu. Setelah ibu pergi barulah saya rasa rindu dengan doa seorang ibu. Banyak perkara yang saya rasakan mungkin ianya datang dari doa ibu. Kadang-kadang perkara itu tidak terjangka. Waktu pertama kali exam di al-Azhar dahulu saya ingatkan saya bakal sangkut disebabkan beberapa perkara teknikal. Namun ianya lepas dan saya rasakan ianya berkat dari doa ibu yang tidak putus-putus mendoakan saya. Kini saya benar-benar rindu dengan doa ibu. Benarlah doa ibu yang ikhlas mendoakan anak-anaknya itu antara doa-doa yang mujarab. Anda semua jangan lepaskan peluang keemasan memohon doa restu ibu. Kalau sudah kehilangan seperti saya nanti baru anda akan rasa sepi tanpa doa seorang ibu.

Apa yang saya tuliskan ini tidak mampu menghuraikan jutaan jasa-jasa ibu buat saya. Kesemua jasa-jasa itu tidak mampu rasanya saya balas dan pastinya memang tidak akan terbalas. Hanya mengharapkan saya mampu jadi saham buat ibu dan ayah di akhirat sana. Moga Allah jualah yang membalas jasa ayah dan ibu lebih baik dari jasa-jasa mereka terhadap saya semenjak saya kecil hingga dewasa.

Bagi mereka yang punya ayah dan ibu, jangan siakan kehidupanmu dengan meminggirkan kasih ayah ibu. Hormati, sayangi, kasihi dan berbaktilah pada mereka selagi usiamu di kandung badan. Sayang ibu dan ayah membawa ke syurga.

Al-Fatihah buat almarhumah Hjh Rumini bte Mohd Mashudi dan Al-Marhum Hj Tamjis B Hj Yosuf.

Wallahu'aalam...

[+/-] Selengkapnya...

Related Posts with Thumbnails