-->

Wednesday, June 27, 2007

INTIM tanpa CINTA

Bismillah..

“Berkawan biar seribu, berkasih (beristeri) mula-mula satu…”.

Kata-kata tersebut sering kita dengar meniti di bibir teman-teman dan rakan taulan dan kebiasannya ia sangat sinonim bagi seorang yang bergelar lelaki. Kali ini saya tidak mahu bercerita tentang fenomena kecurangan atau ketidak setiaan, adik-kakak-abang angkat dan yang seangkatan dengannya kerana ianya telah saya kupas dalam tajuk entri saya yang lalu : Saya Benci Lelaki Yang Tidak Setia.

Kali ini saya cuba untuk mengupas satu lagi fenomena yang saya rasakan ia mula membarah di kalangan kita ; INTIM tanpa CINTA dan minta maaf sekiranya artikel ini banyak menyentuh hati dan naluri sidang pembaca semua. Tulisan ini hanya sekadar pandangan seorang lelaki yang tidak punya apa-apa kepentingan dalam menulis artikel sebegini. Ia juga adalah permintaan dari seseorang yang meminta saya menulis berkaitan hukum atau kaedah dan batasan berkawan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Terlanjur menulis, saya cuba untuk mengupas fenomena ini sekadar yang termampu.

Situasi kini saya melihat hubungan social antara lelaki dan perempuan bertambah terbuka ditambah lagi dengan kewujudan teknologi maklumat dan IT yang semakin merencam. Siapa sahaja yang tidak kenal friendster, YM, GT, Tagged, SMS, 3G dan lain-lain komuniti yang menyediakan ruang maya untuk berinteraksi. Ruang yang diberikan juga amat luas sehingga mampu untuk berbual dan saling melihat walupun berada di kejauhan dan berbentengkan tembok pemisah. Suasana sosial yang berada di luar sana di bawa ke alam maya seolah-olah hukumnya berbeza dengan apa yang dilakukan di alam realiti. Bahkan terkadang amat ‘terlampau’ melebihi batasan realiti. Dosanya ringan sedikit katanya berhujjah.

Sebelum pergi lebih jauh, elok saya nyatakan terlebih dahulu apa ‘ghard’ atau tujuan manusia berkawan dan berinterkasi. Di dalam ayat al-Quran surah al-Hujuraat : ayat 13.

Yang bermaksud : “Wahai sekelaian manusia, sesungguhnya telah kami jadikan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan dan kami jadikan pelbagai bangsa dan kaum agar kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu itu adalah yang paling tinggi ketaqwaannya kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Luas PengetahuanNya”.

Umum ayat di atas menyatakan bahawa lelaki dan perempuan dijadikan memang untuk berkenalan dan beramah mesra. Namun apakah sebenarnya tujuan persahabatan itu? Adakah ia khusus untuk yang sejenis sahaja (lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan)atau termasuk juga yang berlawanan jenis dengannya.

Sebuah hadis sohih di dalam kumpulan hadis Imam Turmuzi ada menyatakan tujuan persahabatan itu;Maksudnya: “7 kelompok yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya. Mereka adalah pemimpin yang adil, anak muda yang senantiasa beribadah kepada Allah Azza wa Jalla, seseorang yang hatinya senantiasa dipertautkan dengan mesjid, dua orang yang saling mencintai karena Allah, yakni keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah, seorang laki-laki yang ketika dirayu oleh seorang wanita bangsawan lagi rupawan lalu ia menjawab: “Sungguh aku takut kepada Allah”, seseorang yang mengeluarkan shadaqah lantas di-sembunyikannya sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian ia mencucurkan air mata”.

Mafhum dari hadis tersebut menunjukkan bahawa tujuan persahabatan itu adalah untuk berkasih sayang kerana Allah Taala. Persahabatan itu ikhlas keranaNya tanpa ada kepentingan yang lain selainNya.

Mafhum dari maksud hadis di atas juga menunjukkan bahawasanya dua orang yang dimaksudkan itu adalah di antara 2 orang lelaki atau dua orang perempuan sahaja.(Lafaz ‘rajul’ umum termasuk juga perempuan). Ia tidak menunjukkan maksud hubungan antara lelaki dan perempuan akan tetapi hanya untuk lelaki dengan lelaki dan wanita dengan wanita yang bersahabat dan berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah maka mereka akan mendapat payungan rahmat dan keselamatan dari Allah Taala di akhirat kelak.

Sewaktu pengajian yang berkaitan dengan hadis di atas bersama al-Marhum Syeikh Fauzi sutau ketika dahulu, saya pernah bertanya adakah sekiranya seorang wanita dan lelaki berkasih dan berkenalan kerana Allah Taala, maka mereka juga termasuk di dalam hadis di atas. Beliau menjawab tidak, sesungguhnya wanita dan lelaki itu berkawan bukan kerana Allah tetapi kerana perkahwinan atau pernikahan. Maka perkahwinan dan pernikahan itu perlulah didasari niat ikhlas kerana Allah Taala moga-moga akan termasuk di dalam 7 golongan yang mendapat perlindungan Allah kelak.

Di dalam sebuah kitab karangan Ar-raudhatul ‘Athir karangan syeikh An-Nafzawi ada menyatakan :

Maksudnya : “Persahabatan lelaki itu tidak berkaitan dengan wanita kerana apabila 2 jiwa itu bertemu akan terdetik kelainan rasa di dalam hati keduanya itu (berbanding apabila 2 hati lelaki bertemu), Kemudian akan masuklah rasa was-was (syaitan) merosakkan 2 jiwa itu lantas akhirnya akan tersebarlah kisah keduanya di hadapan sekelian manusia”.

Oleh itu jelas, hubungan yang melibatkan antara lelaki dan wanita amat-amat perlu dipelihara kerana syaitan sentiasa mengambil peluang untuk mengotori jiwa manusia terutamanya para penuntut ilmu Allah Taala agar merasa lapang apabila berinteraksi dengan wanita. Lebih-lebih lagi saluran yang terlalu banyak sekarang lebih mudah mendedahkan kita kepada bahaya was-was dari syaitan.

Sekali pandang, pandangan saya ini nampak agak keras dan syadid. Saya hanya menaqalkan pandangan ini dari guru saya. Dan itu jugalah yang saya rasakan baik untuk dipraktikkan di dalam masyarakat pelajar yang belajar agama kerana satu kejahatan yang ada pada kita gambaran ada 10 lagi keburukan dan mungkin lebih lagi yang ada pada orang yang tidak belajar agama seperti kita. Kalau di sini kita sudah terbiasa dengan suasana sosial yang terlalu bebas walau di alam maya, bagaimana nanti mahu mengislah keadaan masyarakat kita yang amat kritikal dewasa ini hasil serangan jarum-jarum kuffar yang mengajak ke arah kehidupan cara barat.

Saya perhatikan juga dewasa ini pelajar-pelajar kita mula bebas bergaul dan bertegur sapa antara yang berlainan jantina. Kalau berchating dengan yang sejenis tiada apa yang nak dibualkan. Tapi jika ada yang berlawanan jenis masuk menyapa, wah sejam biasa dua tiga jam terlajak tidak terasa. Benarlah kata-kata syeikh An-Nafzawi di atas tadi, memang ada kelainan rasa bila 2 jiwa itu bertemu. Sama ada nampak wajah atau tidak, dengar suara atau tidak, kenalan lama atau tidak pastinya rasa ‘huwas’ itu akan terbit walau sekelumit cuma.

Bila ditanya, wah intimnya(rapatnya) kau dengan si Dia. Jawabnya, ala aku tidak ada apa-apa. Kawan biasa ajer. Aku memang rapat dengan semua orang. Wah hebatnya intim tanpa cinta.

Bila ditanya kau baik-baik dengan lelaki lain ni tunang kau tak marah ker. Jawabnya, ala aku bukan buat apa-apa. Kawan biasa jer. Hati aku tetap dengan dia. Lagipun aku baru bertunang, belum kahwin lagi. Wah hebatnya, intim tanpa cinta.

Apabila ditanya ramainya kawan perempuan kau. Jawabnya, ala biasala social la sikit. Kawan biar seribu berkasih biar satu. Wah hebatnya boleh intim tanpa cinta.

Saya nasihatkan diri saya sendiri, tinggalkanlah perkara ini. Berhati-hatilah dalam berinteraksi. Kan berbeza kalau kita berinteraksi untuk belajar dan bekerja dengan kita berinteraksi untuk berbual dan berpoya-poya. Saya tidak katakana hubungan itu tidak boleh wujud langsung, tetapi berpadalah dengan keperluanya. Kalau sudah sampai melekek ketawa dan bersuka-suka itu apa kesnya…!!?

‘alalasafissyadid…

Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak wanitanya jadi piala pusingan.

Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak lelakinya ada wanita keliling pinggang.

Wallahu’aalam

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, June 20, 2007

Mati itu pasti, kenapa didustai...

Bismillah..


Alhamdulillah, hari ini saya diberi peluang untuk sekali lagi menulis. Exam telah berakahir, namun bukan bererti hari cuti telah tiba. Exam itulah sebenarnya hari cuti bagi saya kerana dapat duduk di rumah mengulangkaji pelajaran. Kalau tamat sahaja exam bermakna waktu untuk masuk bertugas semula telah tiba.

Seminggu yang lalu kita dikejutkan dengan berita kematian yang sangat menyayat hati. Kali kedua dalam sejarah hidup saya di sini, berdepan dengan kes pembunuhan. 3 tahun dahulu, sahabat sekuliah dan satu study group dengan saya mati dibunuh. Bukan sekadar dibunuh, bahkan dibakar hidup-hidup sekeluaarga (isteri dan 2 orang anak kecil) sewaktu orang ramai berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Wajah manja anak-anak yang mati dibakar itu sehingga kini masih saya ingati. Sungguh kejam. Saya ingat, itulah kali pertama dan terakhir ia berlaku di bumi al-azhar.

Tahun ini sekali lagi terjadi. Tiada bakar-bakar. Tapi mencincang. 4 bilah pisau digunakan. Sehingga si mangsa tidak mampu mempertahankan diri walau untuk melarikan diri. Akibatnya mati disebabkan luka yang teramat parah. Apa sudah jadi dengan kita semua ni. Belajar apa kita di sini sebenarnya. Sehingga dalam keadaan tertekan sanggup untuk membunuh. Hilang sifat rahmah dan kasih sayang. Mungkin sebab kita telah terlalu jauh dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Bukankah ini fitnah yang patut kita rasai bersama.

Akan datang?? Bagaimana?? Ya mati itu pasti datang, usah ia didustai.

Saya amat terkejut dengan pelbagai spekulasi yang menyatakan sebab pembunuhan. Amat kesal sehingga yang tidak tahu menahu turut ingin memberikan komen. (Sila rujuk forum kes pembunuhan di dalam tranungkita.net) Akhirnya, kes yang terjadi dimasak dan ditanak sehingga menjadi fitnah pula kepada mangsa dan si pelaku. Kita yang mendengar ni bukan kerja kita nak mengesyaki yang bukan-bukan. Tokok tambah cerita yang kita agak-agak dan rasa-rasakan. Cukuplah kita mengambil iktibar di atas kematian yang datang. Ia datang tidak diduga. Datangnya juga tidak kita ketahui bagaimana caranya. Dibunuh, terbunuh, mati berperang, kemalangan, di atas katil hospital, jatuh tangga, mati diracun semuanya tidak kita ketahui. Yang ini kita tidak ambil kira waktu mendengar kes pembunuhan tadi. Malahan ada pula yang sanggup melawak. Ehh. Mati jadi jenaka..!!! Cukuplah mati itu menjadi peringatan untuk orang-orang yang beriman.

وَجَاءتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ذَلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ

Maksudnya: "Dan telah datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya." (Qaf : 19)

فَإِذَا جَاء أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya :"Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya." (al-A'araf : 34)

Saya pernah mendengar pesanan pensyarah saya sewaktu di MADIWA suatu ketika dahulu. Katanya ada suatu perkara yang sangat benar dan semua orang tahu dan beriman bahawa ia benar namun terlalu ramai orang yang mendustakannya setelah beriman dengan kebenarannya. Apa dia?? Itulah dia MATI. Kalau kita beriman dengan benarnya kematian, sudah tentu kita amat takut untuk melakukan maksiat malahan membuang masa juga tidak sanggup kita lakukan. Mengapa? Sebab kita tidak tahu bila kita akan mati. Cukupkah bekalan kita untuk ke akhirat nanti. Apa kita nak jawab di hadapan Tuhan dengan seciput bekalan yang kita bawa?? Bayangkan pula kalau mati menemui kita sewaktu kita sedang sedap melakukan maksiat dan membuang masa. Nak jawab apa depan kamera Tuhan?? Na'uzubillahi min zalik.

Harapnya kita tidak tergolong di kalangan orang yang mendustakan MATI. Kalau sudah dibangkitkan kelak, kita sudah tiada peluang lagi untuk kembali ke dunia.

حَتَّى إِذَا جَاء أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ # لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحاً فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya : Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu, hingga apabila datang kematian kepada seorang dari mereka, dia berkata: "Ya Rabb kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan sahaja. Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitan. (al-Mu'minuun : 99-100)

Semoga mati bukan jadi bahan lawak jenaka kita. Mati itu benar, jangan kita mendustakannya.

Wallahua'alam.

[+/-] Selengkapnya...

Friday, June 08, 2007

Muslimah, auratmu bukan mainan..

Bismillah...
Sudah hampir seminggu website saya sepi bersawang. Pengungjung yang datang pun sudah berasa bosan untuk berkunjung dek kerana isi yang sama mengisi ruangan utama. Saya minta maaf pada yang datang kerana seminggu yang berlalu dipenuhi dengan tugasan-tugasan yang tidak dapat di elakkan. Bagi kawan-kawan yang menghubungi, saya juga minta maaf kerana banyak yang tidak berangkat dan tidak dapat untuk saya hubungi semula kerna masa yang padat dan poket yang sudah kosong belum berisi.

Terfikir saya untuk menulis artikel ini di atas beberapa peristiwa yang saya lalui dalam beberapa minggu ini. Saya rasa amat sedih kerana tidak mempu meluahkannya secara berhadapan. Oleh itu saya ambil kesempatan ini untuk saya titipkan di dalam jurnal jalan kehidupan saya. Moga ia dapat dijadikan iktibar, didengari oleh pihak yang berkenaan dan dalam masa yang sama melepaskan tanggung jawab fardul muslim saya : menegur dan ingat mengingat dalam kebaikan.


Hati saya membuak-buak memberontak untuk menegurnya. Namun apakandaya, iman ini masih diperingkat awam. Namun, saya berharap tulisan tangan ini masih tergolong di dalam peringkat pertama yanag disebutkan di dalam Hadis Nabi SAW yang bermaksud : Sekiranya kamu melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tanganmu. Papan keyboard ini, bukankah ia lebih tajam dari mata pedang.

Saya fokus isu ini hanya buat muslimah kerana saya rasa terpanggil untuk berkongsi bersama muslimah sebuah hadis yang sering kita dengar di dalam kumpulan hadis-hads Nabis SAW yang berbunyi :

سيكون في آخر أمتي نساء كاسيات عاريات، على رؤوسهن كأسنمة البخت، العنوهن فإنهن ملعونات

Maksudnya : Akan datang nanti wanita di kalangan ummatku di akhir zaman, mereka berpakaian tetapi seolah-olah mereka berbogel (berpakaian nipis dan menampakkan badan), di atas kepala mereka (tidak bertutup) seperti mana belakang bonggol unta (jadi tayangan dan kebanggaan), Celalah mereka, sesunguhnya mereka itu orang-orang yang tercela. [Sanad hadis Sohih Riwayat Tabrani]

Hadis ini amat berat bunyinya. Sehingga Rasulullah SAW mengarahkan kita melaknat wanita yang disifatkan sebagai 'ariaat di dalam hadis di atas.

Apa yang saya lalui, saya lihat seolah-olah muslimah (saya tidak kata semua) sengaja mencari peluang untuk mendedahkan aurat mereka. Muslimah bukan tidak tahu etika pakaian yang Islam kehendaki, mereka amat tahu, tetapi saya rasa seolah-olah muslimah sengaja tidak menghayati apa yang telah diketahui. Terlalu banyak ahdas dan peristiwa yang saya alami. Saya akan perincikan di sini moga ada perubahan sedikit sebanyak selepas ini.

Pertamanya, saya terlihat muslimah sengaja memakai baju yang berlengan terbuka lebar tanpa memakai jaurab lengan yang menutup sehingga ke pergelangan tangan. Nak kata fesyen mak datin tidak juga. Mungkin juga terpengaruh dengan minah-minah arabyang ada di sini. Yang saya 'terperhatikan' tu sengaja angkat lengan seolah-olah ada sesuatu yang ingin ditonjolkan. Nak kata ada rantai emas berlian tiada. Apa yang ada hanyalah rantai asfour. Tak padan kalau setakat nak tunjuk gelang asfour berbanding azab yang telah Tuhan janjikan. Kalau terlupa yang aurat wanita tu sampai ke lengan, kat sini saya mahu ingtakan semula bahawa aurat tu sampai ke pergelangan tangan. So kenalah hati-hati yer. Jaurab lengan pun bukan mahal sangat. Lebih murah dari gelang asfour yang berlilit di tangan.

Keduanya, saya 'terperhatikan' muslimah tidak memakai stokin sewaktu berjalan. Ye lah, kadang-kadang nak pindah ke bilik sebelah jer, lecehlah pakai stokin. Boleh sembunyi belakang tabir, orang tak nampak. Tapi tak perasan kaki tu tetap orang nampak. Memang tiada dalam quran wajib kene pakai stoking kan. Tapi bukan ker kaki tu juga masih lagi aurat yang perlu ditutup. Ala ustaz stoking basah kene hujan. Emm, beli la banyak sikit. Tak kan hanya ada satu stoking jer. Baju banyak, kasut banyak. Stokin satu jer. Tak padan. Ala ustaz, jubah panjang tak nampak kaki. Saya no komen. Jawab la nanti depan Tuhan dengan alasan-alasan tu. Kaki ni bukan pandai sembunyi sendiri dalam jubah. Kalau dah terjulur nampak kaki jangan salahkan kaki. Salahkan tuan kaki yang tak pakai stokin.

Ketiganya, saya 'terperhatikan' muslimah tidak pasang langsir tingkap atau tidak tutup tingkap. Tabir dan tingkap tu aurat ke ustaz? Baca la dalam kitab. Pernah jumpa langsir tu aurat ker. Saya terperhatikan langsir-lansir dan tingkap-tingkap di buka luas musim panas ni. Ye lah panas, tapi api neraka tu lagi panas. Kalau duduk kat bilik tu pakai tudung dan pakain lengkap tidak mengapalah nak cabut terus ke langsir dan tingkap tu. Tapi yang terperhatikan tidak seperti itu. Ala ustaz ni, saja nak tengok bilik akhwat. Bukan nak tengok tapi ada tarikan untuk dilihat. Bukan ikhwah jer nak tengok, arab kat depan rumah tu duk perhati jer. Siap datang menegur pula kata musliamh kita tak tutup aurat buat pawagam untuk tayangan ramai. Hati-hati muslimah. Kalau panas juga, belilah kipas. Apalah nak dinilaikan harga kipas tu dengan ganjaran pahala yang Allah janjikan bagi mereka-mereka yang bersungguh-sungguh menutup aurat mereka. Niatkan beli kipas tu untuk tutup aurat kan bagus.

Keempatnya, saya terperhatikan muslimah suka angkat tudung yang sedia labuh sehingga ke bahu. Kenapa yer. Panas ker. Atau sudah biasa pakai tudung kecil, tapi kat sini terpaksa pakai tudung labih sebab takut ustaz marah. Kakak-kakak marah. Kalau terangkat tidak mengapa. Tapi ini selalu sangat. Dah jadi macam sengaja. Kalau buat macamtu sesama akhwat tidak mengapa. Ini yang peliknya di luar. Nampaklah bentuk badan tu. Aurat sudah lepas di tutup tapi masih lagi tidak sempurna kerana syarat tidak dipenuhi. Pakaian mesti tidak menampakkan bentuk tubuh. Ala ustaz, jubah kita labuh la tak nampak bentuk badan. Bagi saya kalau lepas pun dari segi hukum tetap pemandangan tu tak manis dari kaca mata saya yang rabun ni. Terpulang muslimah untuk menilainya. Saya hanya kata apa yang hati saya rasa.

Nak saya tuliskan semua saya rasa muslimah lebih mengetahui hak-hak mereka. Saya hanya melihat dua tiga kes di depan mata. Mungkin yang berlaku di sini hanya dua tiga kes ni sahaja yang boleh kita katakan sebagai kes-kes terpencil. Tapi mencegah sebelum jadi parah itu lebih baik dari memotong anggota yang sudah parah di makan kanser. Saya sebut di sini sebab muslimah jadi contoh di luar sana. Manis muslimah berbusana, bijak muslimah berhijab cukup menjadi dakwah yang berkesan berbanding kata-kata yang dilafazkan. Lisanul hal ablagh wa asdaq min lisanil maqal.

Maaf jika artikel ini tidak sedap dibaca. Ini hanya pandangan dari insan rabun seperti saya..

Wallahu'aalam..

[+/-] Selengkapnya...

Saturday, June 02, 2007

Rezeki Tangan Sendiri..

Bismillah,


Iza Kana Qutuka min yadaik, Yakti Qararuka Min Roksik - al-Marhum Syeikh Mutawalli as-Shakrawi r.a.

Maksud : Jika Makananmu (rezeki) datang dari tanganmu (usaha) sendiri, maka pertimbangan mu akan lahir dari fikiranmu yang asli (tanpa kongkongan dan paksaan).

Lafaz hikmah di atas saya dengar semalam dari seorang ustaz, Ustaz Selamat. Ia cukup membuat saya merasai kehaibatan ulamak tersebut. Ulamak besar yang pernah menjadi Menteri Wakaf Mesir, duduk di bawah pimpinan Sang Penakut Si Kuku Besi, Hosni Mubarak. Namun apa yang membanggakan, beliau tidak terpengaruh dan tidak tunduk dengan kehendak serakah sang Pemerintah. Beliau terkenal dengan seorang yang berpendirian tegas dan berani menyatakan kebenaran walau berhadapan dengan pemerintah tertinggi Negara. (Tidak hanya enggih engih, tidak hanya angguk angguk). Bukan mudah untuk melafazkan kalimatulhaq inda sultan al-ja'ir.

Pernah suatu ketika saya menyaksikan di dalam sebuah klip video, Syeikh Shakrowi menegur Sang President di hadapan halayak dan siaran tersebut keluar di dalam television tempatan.Sungguh berani dan tegas dalam menyatakan komentarnya. Sang President pula yang tertunduk kaku mendengar komentar tersebut. Bagaimana keberanian itu boleh timbul? Jawapannya, kata-kata di atas menjadi pegangan beliau. Beliau tidak meminta-minta untuk jadi mewah dan hidup senang walaupun bergelar seorang menteri!!! Rezekinya datang dari usahanya sendiri.

Pernah juga beliau mendapat hadiah dari kerajaan Arab Saudi dalam jumlah yang amat besar. Namun sumbangan tersbut tidak dijamahnya lalu diberikan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin di dalam negara. Sungguh luar biasa. Adakah kita juga mampu jadi seperti beliau jika wang bantuan zakat yang kita terima pun sukar kita nak sharing dengan kawan-kawan.

Saya harap ia dapat jadi motivasi buat kita semua. Jangan rendahkan martabat ilmu yang kita pelajari dengan kesenangan dunia yang sementara. Rezeki yang kita perolehi haruslah datang dari usaha dan penat lelah kita sendiri. Jangan mudah meminta-minta atau mudah menerima jolokan kemewahan dan harta benda, kelak jika diterima kita terpalit dan sukar menyatakan kebenaran dek rasa terhutang budi dan kesenangan yang mengikat perut kita. Nak senang itu boleh, tapi jangan diganti dengan kemurkaan Tuhan.

Istilah-istilah seperti "nak jaga periuk nasi", ulamak rice cooker dan macam-macam lagi istilah sangat menakutkan saya. Cakap memang senang kan, tapi nanti kalau dah teruji tidak tahulah adakah mampu diri menghadapinya. Moga Allah menjaga kita semua dari fitnah ini. Saya anggap itu semua fitnah bagi seorang yang belajar agama. Contoh dah banyak di depan mata. Duduk di sana cukup takut untuk menyatakan kebenaran. Sebab apa? Tengkuk kita kita sudah kita letakkan secara sukarela depan mata pedang musuhNya. Kita sudah terikat dengan kemewahan dan kesenangan yang kita dambakan.

Percaya atau tidak, dunia ini akan rosak jika dua golongan ini rosak. Pertamanya Institusi Ulamak dan ilmuan. Keduanya Golongan pemerintah dan pentadbir.

Wallahu'aalam..

[+/-] Selengkapnya...

Related Posts with Thumbnails