-->

Thursday, March 22, 2007

Tika Ini Hati Merindu...

Bismillah..
Tika ini hati merindu
Pergimu sudah setahun berlalu
Walau sepi tidak bertunggu
Ibu kau tetap dalam ingatanku

Tika ini hati merindu
Lambaian tergambar di depan mataku
Kanan dan kirimu anak dan cucu
Aku pergi membawa janjimu

Tika ini hati merindu
Entah kenapa jadi begitu
Semakin hampir hari kepulanganku
Dadaku kencang berdegup laju

Tika ini hati merindu
Mungkinkah doaku tidak selalu
Atau terhijab dek noda dosaku
Tergambar, teringat, terpapar wajahmu

Ku belek-belek di segenap penjuru
Mencari di mana salah dan silapku
Malam ini tak terpejam mataku
Ku ingat-ingat satu persatu

Menuntut ilmu janjiku padamu
Matlamat itu masihkah menyatu
Atau sudah bertukar teraju
Mungkinkah ini yang memugar rinduku???

Ya Allah

HambaMu ini datang mengadu
Daku bersyukur dikurnikaan ibu
Berkorban kasih bergadai rindu
Demi pemergianku menuntut ilmuMu
Ya Allah Daku mengharap rahmat dariMu

Jadikan daku dikalangan hambaMu
Yang faqih dan ikhlas menuntut ilmu
Jadi saham buat orang tuaku

Ya Allah

Daku merintih memohon padaMu
Ampunkan dosa juga kesalahanku
Penghalang cahaya masuk ke dadaku
Tabahkan hatiku bahagiakan ayah ibu

Amin ya Robbal alamin

Ingatan ini takkan pernah padam...

Dari anakanda...

Buat ayah dan ibu, musliman dan muslimat yang telah kembali ke rahmatullah...al-Fatihah



Wallahuaalam..

[+/-] Selengkapnya...

Tuesday, March 20, 2007

Ada Apa dengan 'Gurauan'...?

Bismillah...

Kebiasaan kita hari ini, bergurau dijadikan alat untuk bermesra dan menghidupkan suasana. Lihat sahaja dalam kehidupan kita terutamanya kelompok mahasiswa di sini, gurauan itu sudah bermasyarakat sehingga hari tidak ceria jika tidak ada yang disakat dan ditawakan. Pastinya ada sahaja perkara yang akan dibangkitkan. Lihat sahajalah apabila seorang mula membuka bicara mengena, yang lain mulalah menambah rencah, menggaul dan meletakkan hiasan sehingga cerita yang dicanang jadi bahan tawa dan hiburan.

Rasulullah SAW juga dinyatakan di dalam sebuah hadis pernah bergurau dengan seorang wanita tua. Apabila wanita tua tersebut datang kepada Nabi SAW lalu bertanya adakah dia akan masuk ke dalam syurga. Baginda SAW menjawab wanita tua tidak akan masuk syurga. Wanita tadi lantas bersedih. Lalu Rasulullah menyatakan sebenarnya memang wanita tua tidak akan masuk syurga dalam ketuaannya. Tidak ada seorang pun yang akan masuk ke dalam syurga melainkan apabila ia telah dimudakan semula. Wanita tua tadi lantas gembira dengan keterangan Baginda SAW. Nabi SAW bergurau dalam keadaan penuh berhikmah. Gurauan Baginda juga bukan perkara kosong dan sia-sia, malahan ia menjadi suatu basyirah atau berita gembira walaupun penyampaiannya dalam bentuk gurauan.

Wah, jauh sekali kita hari ini jika dibandingkan dengan teladan yang ditunjukkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Bercakap-cakap kosong pada kita sudah jadi kebiasaan. Bergurau apatah lagi, hampir kesemuanya perkara kosong dan sia-sia sahaja. Bertambah lagilah jika ada pula yang bermasam muka jika gurauan tadi melampaui had dan batasan. Ye lah, niat kita mahu bergurau. Tapi nak macam mana terkadang mungkin suasana dan keadaaan kita tadi tidak bertepatan dengan gurau senda yang kita bawa. Hasilnya masam muka, marah dan mengikis ukhwah yang telah lama terbina. Aduhh..malangnya. Bergurau juga boleh membunuh ukhwah dan kasih sayang sesama kita rupanya.

Saya menasihati diri saya dan kawan-kawan agar berhati-hati dan berhikmahlah ketika bergurau senda. Saya juga tidak terkecuali. Terkadang terlupa nak menapis gurauan sehingga menusuk ke lubuk hati lantas menjadi tekanan. Saya ni pula jenis tak reti senyap. Suka menyakat dan bergurau. Bukan apa, niat di hati cari-cari hiburan. Selain dari itu, mahu mengasah kepetahan berhujjah di samping jadi gelanggang latihan praktikal berhadapan kritikan yang bukan-bukan. Di luar sana tu terkadang banyak kritikan dan tohmahan yang jika tiada praktikal dalam menghadapinya kita akan lemas dan 'gubra' dengannya.

Saya minta maaf pada kawan-kawan yang terasa dengan gurauan saya. saya akan cuba hentikan perangai buruk ini jika makin ramai yang terasa dan tak tahan. Maaf la yer.

Wallahu'aalam...

[+/-] Selengkapnya...

Friday, March 16, 2007

Hudud vs Pelembagaan Lord Reid

Bismillah...

Sila perhatikan 2 gambar menarik di bawah ini :

PELAKSANA hukuman sebat menjalankan hukuman itu ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah kerana berjudi di halaman Masjid Agung Bireun, Aceh

Seorang Pegawai Syariah sedang menjalankan hukuman sebat ke atas seorang wanita yang di dapati bersalah tinggal serumah bersama teman lelakinya di hadapan masjid Banda Acheh


Saya Baru tahu rupanya sebahagian besar kawasan di Aceh telah menjalankan undang-undang jenayah syariah. Saya terlihat foto di atas ketika membuka web zaharuddin.net. Mula-mula ingatkan hanya demo. Tetapi setelah diselidiki ia memang realiti. bukan olok-olok punya.

Perkara ini telah berjalan lama. Sebenarnya, sejak tahun 2001 lagi, kerajaan Indonesia telah memberikan kebenaran kepada wilayah Aceh untuk menjalankan undang-undang syariah Islam. Cuma saya sedang mencari maklumat tentang sejauhmanakah pelaksanaan undang-undang itu memberikan kesan terhadap pengurangan kadar jenayah dan maksiat di Aceh.

Secara rasionalnya, jika kita lihat pada gambar di atas, ianya memang akan memberikan kesan yang mendalam kepada si pelaku dan masyarakat yang menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut. Apa tidaknya. Di sebat di khalayak ramai. Walaupun bilangannya sedikit, namun ianya lebih sakit dan mendalam dari denda RM 2000 atau penjara 2 bulan.

Allah Taala maha mengetahui hikmah di sebalik hukuman (hudud) yang telah diwahyukan kepada manusia. Semuanya ada rahsia yang tersirat dan tersurat. Tapi manusia ni degil, sombong dan jahil. Tidak mahu ikut walaupun tahu itu adalah perintah dan arahan Penciptanya. Kesannya, jenayah semakin meningkat. Gejala sosial di dalam masyarakat tidak mampu dikawal. Dunia jadi kejaran. Akhirat entah ke mana. Lupa tujuan asal kejadian yang telah Tuhan tetapkan. Yang dipegang dan dipertahankan adalah dustur Lord Reid ciptaan insan.

Aduhai manusia, kembalilah kepada jalan Tuhan. Quran dan Sunnah Itulah yang semestinya jadi pedoman dan ikutan.


Berikut saya lampirkan berita bertarikh 24 jun 2005 untuk siapa-siapa yang tidak lagi membacanya :

JAKARTA 24 Jun - Undang-undang Indonesia hari ini mencatat sejarah apabila hukuman sebat dilaksanakan ke atas 15 orang yang melakukan kesalahan berjudi berdasarkan syariat Islam yang mula dikuatkuasakan di Aceh.

Hukuman bersejarah itu dilaksanakan selepas solat Jumaat di halaman terbuka Masjid Agung Bireun, kira-kira 350 kilometer dari Banda Aceh disaksikan kira-kira 2,000 penduduk setempat dan mendapat liputan meluas media massa.
Atas alasan kesihatan, baki 11 lagi tertuduh akan menjalani hukuman di halaman masjid di daerah masing-masing pada waktu yang belum ditetapkan lagi.

Kesemua mereka yang kebanyakannya petani dan peniaga kecil ditangkap semasa sedang berjudi dalam tempoh beberapa bulan ini, sejak undang-undang syariat dikuatkuasakan.
Mahkamah Syariah Bireun mendapati mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman sebat di antara enam dan sepuluh kali berdasarkan Peraturan Daerah No. 13 Tahun 2003 Tentang Perjudian.

Sebelum disebat, identiti dan kesalahan tertuduh dibacakan untuk memberi ingatan kepada orang ramai yang berpusu-pusu di halaman masjid supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Selepas menjalani hukuman sebat itu, mereka dibebaskan dan menerima bungkusan hadiah serta dipeluk oleh para pegawai agama dan daerah yang menghadiri majlis tersebut.

Mengikut peraturan hukuman sebat, rotan yang digunakan berdiameter di antara 0.75 hingga 1 sentimeter dan panjang 1 meter dengan sebatan tidak sehingga menimbulkan luka.
Hukuman rotan bagi kesalahan berjudi dan berkhalwat ini mendapat kecaman beberapa organisasi hak asasi manusia yang menyifatkannya tidak berperikemanusiaan dan merendahkan darjat manusia.

Pelbagai pihak juga mendesak agar hukuman sebat turut dikenakan terhadap kesalahan lain khususnya yang menimbulkan kerugian kepada negara seperti rasuah dan menyelewengkan wang kerajaan.

Kerajaan Pusat Indonesia memberi kebenaran kepada wilayah Aceh menjalankan undang-undang Syariah Islam pada tahun 2001. - Utusan

Wallahu'aalam..

[+/-] Selengkapnya...

Sunday, March 11, 2007

Kita semua bersaudara maka islahlah semampunya

Bismillah...


Firman Allah Taala di dalam surah al-Hujuraat ayat 10:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ


Maksudnya: "Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat".

Saya merenung ayat di atas dengan rasa keinsafan yang saya mampu rasakan. Manusia menilai ayat al-quran mengikut kemampuan akal mereka menakkul. Saya bukanlah mufassir yang baik, namun, ayat di atas dapat saya fahami mengikut kadar kemampuan akal saya yang cetek ini.

Apabila saya merenung ayat di atas, saya cuba melihat persekitaran saya. Saudara seislam saya ramai. sebahagiannya adalah ahli keluarga saya sendiri. Yang lain antaranya ahli rumah saya, kawan-kawan senegeri lelaki dan perempuan, kawan-kawan luar negeri lelaki dan perempuan, pimpinan-pimpinan persatuan, pegawai-pegawai, jiran sebelah rumah, pemandu bas dan semua muslimin adalah saudara saya. Apa yang saya fikirkan, adakah saya telah memperbaiki hubungan saya dengan mereka semua?

Ayat di atas menyeru agar kita sentiasa memperbaiki hubungan kita sesama mukmin atas dasar kita semua adalah seagama serta menyembah Tuhan yang sama. Kita juga mempunyai syariat yang sama, dustur al-quran dan as-sunnah yang sama juga matlamat kehidupan yang sama : Pengabdian kepada Allah Taala. Ayat di atas menggunakan lafaz mukmin, tidak menggunakan lafaz muslim yang lebih umum berbanding mukmin. Kerana tidak semua yang muslim itu mukmin. Tetapi pastinya yang mukmin itu adalah muslim. Jadi, untuk tergolong di kalangan orang yang mukmin, seruan ayat di atas perlulah diambil berat dan sentiasa dipertimbangkan dari semasa ke semasa agar kita menjadi orang yang sentiasa positif di dalam kehidupan. Positif bagaimana?

Di dalam kehidupan ini, pastinya kita akan berhadapan dengan pelbagai karenah dan ragam manusia. Kadangkala ianya menghiburkan dan ada juga yang menyakitkan hati. Setiap gerak geri kita pastinya akan ada yang memerhatikan. Jika tidak mereka pun, yang pasti Tuhan tetap melihatnya. Persoalannya di sini, adakah kita mampu untuk memuaskan hati semua manusia terutamanya saudara seislam kita? Untuk bersikaf positif jawapannya adalah : ya boleh. Namun secara realitinya, kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua manusia. Allah Taala telah mengurnikan kita dengan kemampuan yang terbatas. Yang mampu kita lakukan adalah buat apa yang kita mampu berlandaskan suluhan iman kepada Allah Taala.

Terkadang kita tidak perasan apa yang kita lakukan telah menyakitkan hati sebahagian pihak. Terkadang hanya gurauan namun natijahnya menyakitkan. Terkadang menegur dengan kebenaran namun mungkin dengan cara yang tidak disenangi. Kita tidak sedar semua perkara itu melainkan jika ada yang menegurnya. Jika perkara itu terus dipendam dan hanya menjadi bualan, sindiran serta umpatan, sudah pasti perkara tadi akan terus menjadi amalan dalam diri kita. Kenapa? Kerana tiada yang ikhlas ingin memperbetulkannya. Sebab itu ayat di atas perlu diteliti.

Kita bukan insan perfect yang mampu membuatkan orang semuanya sayang dan suka pada kita. Mampu buat orang semuanya puas hati pada diri kita. Mampu untuk melayani karenah manusia kesemuanya. Yang kita mampu adalah memperbuat sedaya upaya kita keranaNya. Sesuatu yang kita buat keranaNya pastinya di sana ada kekuatan yang mengiringi kita. Walaupun tidak semua orang akan puas hati dengan kita, namun percayalah jika Yang Esa itu redha akan diri kita nescaya cukuplah walau tanpa keredhaan manusia.

Saya bukan insan perfect yang kamil lagi mutakamil. Sudah semestinya juga tidak mampu untuk membuatkan orang semuanya rasa gembira dengan saya. Namun saya cuba untuk mengislahnya. Saya mohon maaf pada semua yang berkecil hati dengan sikap saya. Tidak puas hati dengan tindakan saya. Tidak suka dengan penampilan saya. Namun itulah yang mampu saya pamirkan untuk semua keranaNya. Maafkan daku wahai seluruh saudara semukminku. Daku mohon teguran dan nasihat serta bimbingan untuk memperbaiki hubungan dan persaudaraan ini. Terima kasih kepada yang sudi menegur. Semoga teguran itu termasuk di dalam usaha kita untuk meningkatkan ketaqwaan kepadaNya. Moga-moga kita dirahmatiNya.

Wallahua'alam

[+/-] Selengkapnya...

Thursday, March 08, 2007

Analogi tak semudah menghadapi

Bismillah…
Baru-baru ini saya berdepan dengan sebuah tragedi yang mengorbankan spak mata saya. Namun alhamdulillah, saya masih menyimpan cermin mata lama saya yang sudah agak usang untuk saya pakai. Jika tidak, mungkin dalam seminggu ni saya terpaksa meraba-raba dalam terang. Analoginya mudah. Kan mudah jika ada sparepart. Rosak satu boleh bertukar kepada yang satu lagi. Jadi, ada pula mereka yang mengkiaskan, hah kan mudah macamtu jika beristeri dua. Jika yang satu bermasalah atau merajuk, ada seorang lagi yang boleh didampingi.

Ya, analoginya memang mudah dan nampak menarik. Tetapi melaksanakannya tak semudah olahan teori yang kita fikirkan. Harta benda tidak sama seperti seorang isteri. Memiliki dua pasang cermin mata tidak sama seperti mempunyai 2 orang isteri. Jika kita mempunyai dua pasang cermin mata, kita boleh sahaja menyimpan cermin mata lama di dalam peti tanpa perlu menghiraukanya. Namun, jika kita punya 2 orang isteri, kedua-duanya perlukan perhatian dan segalanya perlu diadili. Jika mempunyai 2 orang isteri semudah memiliki 2 pasang cermin mata, mungkin ramailah dikalangan kita yang akan berkahwin 2, 3 atau mungkin 4.

Beristeri 2, 3 atau empat atau di dalam bahasa mudahnya berpoligami termaktub di dalam sunnah Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik bagi sesiapa yang ingin berpoligami. Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW ada menyebutkan bahawa Baginda itu adalah seorang yang terbaik dalam melayani ahli keluarganya. Nabi SAW bersabda :

خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهله

Mafhumnya: Sebaik-baik kamu adalah yang berbuat baik kepada ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang terbaik di kalangan kamu (dalam berbuat baik) kepada ahli keluarganya.

Rasulullah SAW memiliki segala sifat yang perlu dicontohi oleh setiap orang yang bergelar suami. Jika kita bakal atau masih beristeri seorang, maka Rasulullah lah contoh dan panduannya. Jika kita mahu atau sudah berpoligami, maka Rasulullah SAW jugalah yang perlu kita teladani. Rasulullah SAW adalah seorang Nabi, ketua negara, panglima perang, hakim dan Baginda jugalah ketua rumah tangga yang bahagia. Segala hak yang perlu diberikan sebagai seorang suami ditunaikannya sehingga tiada satupun kecacatan yang mampu dipertikai oleh para orentalis barat dalam kondisi Baginda SAW berpoligami. Yang ada hanyalah menyerang zat poligami itu sendiri, bukan kegagalan pelaksanaan poligami yang dipamer Baginda.

Beranalogi memang mudah, namun pelaksanaannya belum tahu lagi. Mahu mencuba beristeri dua silakan tetapi bagi yang tidak mampu mencontohi Baginda SAW saya nasihatkan awal-awal bersyukur dan bersabarlah dengan yang satu itu. Jangan kerana ia sudah kurang cantik, kurang menarik, kurang menawan kita mencari lagi seorang seperti menukar cermin mata yang sudah berkurang powernya, berkarat kakinya dan sompik cerminnya. Disimpan yang lama dan ditinggalkan, yang baru disayangi diberi perhatian. Tiba pecah yang baru barulah yang lama dicari ditagih simpati kerana mata sudah tidak nampak tulisan lagi.

Firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa ayat 3:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلا تَعُولُوا

Maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya”.

Perjanjian untuk menerima tanggung jawab. Memelihara diri dan ahli keluarga dari api neraka

Isteri bukan untuk dimiliki, tetapi anugerah dan tanggung jawab...

Fikir-fikirkan…

Wallahu’aalam…

[+/-] Selengkapnya...

Wednesday, March 07, 2007

Sebuah kisah Rekaan Untuk semua

Bismillah...

Kisah rekaan ini mungkin juga benar-benar terjadi. Kisahnya bermula pada suatu hari, seorang agen baru syarikat takaful (nama dirahsiakan) menjalankan tugas di hari pertamanya. Mencari pelanggan untuk produk takaful syarikat xxx yang mula beroperasi beberapa tahun lalu.

Di malaysia kala ini syarikat-syarikat insurans konvensional sudah mula mengorak langkah untuk mendapatkan lesen takaful dari pihak Bank Negara. Mungkin setelah dirasakan flow islamic insurans (takaful) semakin mendapat perhatian terutamanya dari masyarakat beragama Islam, maka berlumba-lumbalah mereka untuk kembali kepada sistem takaful Islam dalam masa yang sama masih mengekalkan produk-produk insurans konvensional mereka. Kenapa yer..Entah. Satu syarikat punya dua skim berbeza. Satu haram dan satu lagi yang mereka anggap halal. Menaja halal dan haram.

Sambung semula cerita tadi. Lalu agen tadi pun dengan lagak seorang agen islamic insurans mulalah menjalankan kerjanya. Ke sana ke mari menaiki motosikal virago yang baru dibelinya minggu lalu. Di suatu tempat yang juga dirahsiakan, agen tadi telah menemui seorang pemuda yang kelihatan agak segak dan berada. Mungkin prajutawan agaknya. Maka, mulalah agen tadi menemubual pemuda tadi.

"Encik-encik, boleh saya ambil masa encik sedikit". Pintanya dengan penuh sopan mempraktikkan ilmu emotional quations yang baru dipelajari di dalam kursus egensi takaful xxx minggu lalu.

"Ya, silakan". Jawab pemuda tadi.

"Encik sudah ada pelan pelindungan untuk diri sendiri dan orang-orang tersayang"? Soalnya.

"Sudah, saya beli dari syarikat insuran yyy" jawabnya menerang.

"Ya Allah, ye ke encik. Kan haram tu. Syarikat yyy tu syarikat kafir. Terlibat dengan riba', qammar, gharar dan macam-macam lagi. Pelaburannya pula tu ke tempat-tempat perjudian, pelacuran dan arak. Baik encik tinggalkan bende-bende ni. Encik nak masuk neraka ke muda-muda ni. Taubat la encik. Saya ada plan baik untuk encik ni. Yang ni ditanggung halal punya encik. Tak terlibat dengan qammar, riba' dan gharar." Terangnya penuh semangat.

Merah padam muka mamat tu tadi. lantas mengatur langkah berhujjah mempertahankan tindakkannya.

"Oh yer ker? Boleh citer kat saya apa benda riba', gharar dan qammar tu??! Tanyanya menguji.

Si agen tadi tu mulalah menggelabah. Rupanya dia pun tak tau mana bendenya riba', gharar dan qammar tu. Maklumlah, hari pertama bekerja. Tak pernah sekolah arab pulak tu. Dijawabnya lah dengan apa yang telah dibacanya dari buku panduan kerjanya. beberapa lama berhujjah, akhirnya tak berjaya juga dia memancing mamat tadi untuk menjadi pelanggan pertamanya hari itu.

15 minit kemudian...

Si agen tadi tu pun meminta diri . Sebelum si agen tu berlalu menaiki virago merelipnya, si pemuda pun bertannya kepada si agen tadi;

"Motor awak ke tu"?

"Ya, Saya baru beli minggu lalu". Jawabnya jujur.

"Banyak duit awak beli virago ni?" Tanyanya lagi.

"Taklah, pinjam bank. Interest 3.8% jer. Boleh la sikit-sikit" Merendah diri menjawab.

"Ha, baguslah tu. Jumpa lagi kat neraka nanti yer. Neraka 'interest bank' dengan neraka 'riba' insurans' berhadapan jer. Singgahlah nanti".

"zzzzzzz" 2 x 5 = 10

Kesimpulan :

- Beramal dengan ilmu dalam setiap lapangan. Islam itu kehidupan.
- Halal dan haram bukan untuk dijadikan modal jual beli dan dijadikan gurauan.
- Perbaiki diri sambil menyeru yang lain kepada kebaikan. Nak tunggu diri perfect sampai matilah nampaknya kita tak akan menegur orang. Lisan al-hal aqwa min lisan al-maqal.
- Yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas. Tinggalkan perkara yang syubhat untuk keselamatan. Tiada istilah halam dalam Islam.
- Beradab dan berhikmahlah dalam menegur.
- Emotional quations perlu kepada latihan berterusan.
- Orang sekarang ni anggap benda haram tu macam biasa jer. Tanda qiamat dah dekat!!
Wallahu'aalam...

[+/-] Selengkapnya...

Sunday, March 04, 2007

Tregedi 14 Safar, Selamat tinggal temanku untuk selamanya

Bismillah

Pagi itu kami keluar bersama. Menikmati pemandangan indah segar waktu pagi di Cairo. Walaupun orang kata Mesir ni banyak himarnya, namun kehimaran itu tidak menghalang pandangan kami menilai kekayaan pengalaman dan pengetahuan di Bumi Kinanah ini.

Kami keluar bertiga. Saya A, Ghanie B dan Zahar. Langkah pertama kami singgah di Padang Iskan Tullab untuk memberikan sokongan kepada skuad Johor di Piala Presiden yang menentang Perak hari ini. Perlawanan pertama hari ini tidak mengecewakan. Sesampainya kami di sana, skuad Johor sedang ketinggalan 0-1. Lewat di hujung perlawanan, super sub pasukan (ajak) menjaringkan 1 gol untuk gol penyamaan. Tahniah untuk seri hari ini. Masih ada baki 3 perlawanan yang bakal berlangsung lusa dan tulat.

Kami meneruskan perjalanan ke Darrosah. Kini tinggal kami berdua. Zahar tidak turut serta. Niat seterusnya untuk menziarahi Syeikh Abdul Azim yang sudah lama tidak dikunjungi. Sebelum itu kami solat zohor di Masjid Solah Jaafari. Sempat juga kami menziarahi maqam Syeikh Solah Jaafari yang berada di samaping masjid. Setelah berehat dan membaca sedikit al-Quran dan juga kitab (al-Kalim al-Toiyib) Fatawa Asriah Syeikh Ali Jumaah yang di bawa bersama, kami meneruskan perjalanan ke rumah Syeikh Azim berdekatan dengan Masjid Asyirah Muhammadiah berdekatan Maqam Syeikh Zaki Ibrahim.

Salam diberi tiga kali namun tiada jawapan kedengaran. Setelah di telefon rupanya Syeikh musafir ku Luxxor. Ada urusan di sana katanya. Kami berangkat pulang. Inilah padahnya jika tidak menelefon dahulu sebelum pergi. Nak buat suprise katanya. Kami berjalan kaki menunggu bas di persimpangan berhampiran Maahad Bu'uth Islamiyah. Bas 80 palang bakal membawa kami ke Madinat Zahra, tempat kediaman kami. Bas yang dinakiki penuh sesak. Aku hanya sempat berpijak di tangga terakhir bas. Tragedi malang itu bermula di sini.

Keadaan bas di Mesir. Bas yang saya naik tadi sampai tiada ruang kosong. 5 kali ganda bas ini

Dari perhentian ke perhentian orang semakin berpusu-pusu untuk naik dan turun dari pintu belakang, tempat aku berpijak. Ghanie B sudah berada di atas dan sudah tidak kelihatan lagi. Keadaan semakin sesak. Seketika orang berpaut padaku dan seketika aku pula yang terpaksa berpaut untuk mengimbangi badanku. Di saat itulah ketika seorang pak cik sekitar umur 40an hendak turun dengan tergesa-gesa dari pintu itu, lantas lengan kasar itu menghentam sisiku. Aku hilang kawalan. Aku terjatuh di atas jalan. Di belakang ku sebuah bas lain sedang meluncur laju. Aku tidak mampu mengelak. Patah riuk tubuhku dilanggar. Seketika kemudian, sebuah kereta sapu pula menyambar. Aku menjerit kesakitan. Tidak tertahan lagi. Tiada siapa yang datang membantu. Aku terbujur kaku kesakitan. Tubuhku patah-patah. Sakit menangis menanti bantuan kecemasan.

Di kejauhan kelihatan temanku Fairuz melompat dari pintu bas lantas torhoyong hayang menuju ke arahku. Sudah terlambat temanku. Fairuz melihat diriku dengan riak kehibaan. Yang tinggal hanyalah serpihan kaca yang bertaburan di tepi jalan. Sebelah kakiku entah ke mana. Fairuz memegangku dan mengutip sepihan jasadku yang bertaburan. Tapi mukanya selamber, tak nampak sedih pun?? Tak sedih ke Fairuz!!!

# Sedih la jugak rasanya. Tapi nak macam mana kan Fairuz A. Jodoh kita tak lama. 2 tahun sahaja. Tapi jasamu tidak akan ku lupakan. Tampamu pandangan jadi kabur, nombor bas pun jadi tidak kelihatan. Aduhh..susahnya tanpa teman seorang ni. Kaulah cermin mata kesayanganku, teman setiaku.


Hanya ini yang tinggal. Selamat tinggal temanku. Terima kasih di atas jasa-jasamu kepadaku.

Petang ini memang sedikit malang. Namun di situ ada pengajaran. Masa cermin mata jatuh tadi rasa nak marah juga. Namun teringat satu hadis Nabi SAW yang pernah di bacakan dahulu oleh almarhum Syeikh Fauzi ketika mengikuti pengajiannya : إنما الصبر عند الصدمة الأولى

Teringat sahaja nasihat syeikh tu, tak jadik nak marah walau pada mulanya rasa macam nak lempar ajer pak cik tu keluar bersama-sama cermin mata tu. Jarang kita melihat orang dapat tahan marah ketika detik pertama diuji dengan sesuatu. Biasanya akan melenting dan berperang mulut menunjukkan protes dan rasa tidak puas hati. Lebih parah lagi kalau sudah mula angkat tangan atau kaki. Sesungguhnya sabar itu adalah ketika detik pertama menerima ujian. Bukan selepas bertekak dan bertumbuk baru nak bersabar. Itu sudah hilang sabar namanya.

Jadi, hari ni Tuhan nak ajar saya bersabar dengan ujiannya. Nanti Tuhan akan gantikan dengan cermin mata yang lebih baik lagi. Begitulah hendaknya dalam setiap sisi kehidupan kita. Bersabar itu amat penting. cakap sabar memang mudah namun praktikalnya amat sukar sekali. Kadang-kadang kita tak perasan. Tiba-tiba temprature naik tinggi ajer. Panas baran. Nak cepat bergaduh ajer. Masam muka. Macam-macam lagilah. Kadang-kadang sebabnya simple aje. Tapi dia punya marah mak datuk. Macam orang tak beriman ajer.

Di sini ada petua untuk turunkan suhu badan mereka-mereka yang cepat baran ni. Banyakkan la selawat dan istighfar. Kalau boleh ikut macam Nabi SAW yang mana sehari tak kurang 100 kali dan ada riwayat mengatakan lebih 70 kali istighfar. Kita ni banyak dosa lebih-lebih la lagi sepatutnya. Selawat pula perlu lebih banyak lagi. Selawat ni agen penyejuk dalam badan kita. Tak de dalam kitab atau buku-buku kedoktoran. Cuba la buat baru tahu kesannya. Kalau tak nak buat, jangan halang pula orang lain yang nak amalnya.

Wallahu'aalam

[+/-] Selengkapnya...

Related Posts with Thumbnails