-->

HijriDate

Monday, January 22, 2007

Selamat Tahun Baru Hijrah dan Sanah Helwah Ya Zamili..

Bismillah

Tahun ini ada sedikit kelaian dari tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini, 2 tahun baru datang hampir serentak. Tahun baru Hijrah dan tahun baru Masihi. Hijrah sudah melampaui 1427 bermakna sudah selama itu jugalah Junjungan Besar dengan kisah hijrah Baginda SAW ke Madinah meninggalkan kita. Masihi pula telah menjangkau 2007 menandakan usia dunia yang semakin tua dan semakin hampir dengan munculnya al-Mahdi disertai turunnya al-Masih. Bila? Saya pun tidak tahu. Yang penting dah dekat. (Maksud saya dekat tu bukanlah esok atau lusa. Tapi tanda-tanda akhir zaman itu sudah sangat banyak, sedar atau tidak sahaja kita dengan kemunculannya)

Kedatangan 2 tahun baru ini sepatutnya menjadikan diri kita semakin bersemangat dengan azam dan kesungguhan yang baru. Tajdid niat dan perancangan dalam setiap sisi dan ruang lingkup kehidupan. Berazam menjadi manusia dan hamba yang cemerlang dunia dan akhirat. Janganlah hendaknya azam tahun ini hanya semata-mata untuk menunaikan azam tahun-tahun lepas yang tidak kesampaian. Atau lebih buruk lagi tahun yang baru ini disambut dengan pragmatis mengatakan : Hei, Bidah la sambut tahun baru ni. (Malas nak layan orang macam ni)

Moga azam yang kita sematkan dalam hati, diari atau lisan dapat kita laksanakan dengan baik pada tahun ini. Bagi yang masih tidak punya azam dan matlamat, anda masih belum terlambat untuk menyusun dan berfikir tentang hala tuju anda. Harapnya, anda tidak menunggu awal tahun depan pula untuk mencipta azam dan matlamat anda. Bermulalah sekarang. Sekurang-kurangnya anda tahu kenapa dan mengapa anda dilahirkan di dunia ini. Kalau kita boleh tahu dan amat tahu kenapa pokok kelapa diciptakan dan apa manfaatnya untuk manusia, kenapa tidak kita tahu lebih lagi tentang diri kita. Peliklah kalau kita lebih kenal pokok kelapa dari diri kita sendiri.


Pokok kelapa sentiasa memberi. Khidmatnya dan manfaatnya kepada manusia sangat besar. Dia memberi apa yang boleh diberinya.


Pokok kelapa dijadikan untuk manusia. Allah ciptakan ia untuk kemaslahatan manusia. Santan kelapanya boleh dibuat nasi lemak. Batang kelapa boleh dibuat rakit sementara mangsa banjir. Daunnya boleh dibuat ketupat. Sabutnya boleh dibuat unggun api dan ada pula yang mengatakan ia baik untuk sakit tekak. Kelapa muda boleh dibuat nata de coco. Allah, boleh dikatakan semuanya boleh digunakan. Syukur dengan nikmat pokok kelapa.

Kalau sampai begitu kita tahu manfaat pokok kelapa kepada manusia dan tujuan ia dijadikan, maka lebih aula kita tahu kenapa pula kita diciptakan dan apa pula manfaat kita kepada makhluk lainnya. Cuba kita pula catat, apa manfaat yang ada pada diri kita dan boleh kita beri kepada orang lain. Jika boleh, alhamdulillah kita cuba untuk mempertingkatkan lagi kemampuan diri kita. Jika tiada langsung manfaatnya, maka itulah azam yang perlu anda sematkan agar kita jadi lebih baik dari sebatang pokok kelapa.


Manfaat yang berterusan diberikan oleh pokok kelapa. Kelapa boleh istiqamah kenapa tidak kita?


Kita dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini dan kenapa kita dijadikan tidak lari dari tujuan yang telah Allah Taala sebutkan di dalam al-Quran :


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
[az-Dzariat : Ayat 56]


Ubudiah dalam setiap kerja dan kegiatan. Belajar, bekerja, berkahwin, mendidik, membina, mentadbir, berjalan dan segala-galanya biarlah dengan matlamat dan tujuan ubudiayah kita kepadaNya. Matlamat yang terbaik itu adalah mahu menjadi sebenar-benar hamba kepada Pencipta dan menjadi sebaik-baik manusia dalam memberi khidmat dan manfaat kepada yang lainnya.

Selamat tahun baru dan Sanah helwah ya gamil [Akhi Muhd Hairi bin Hamzah] yang ke 25. Moga usia yang bertambah membuatkan kita sentiasa mengingati hari kematian yang semakin hampir. Usia bertambah namun umur semakin berkurang.

Wallahuaalam...

Gambar Terbaru : KLIK

[+/-] Selengkapnya...

Tuesday, January 09, 2007

Dinar Iraq, skim-skim cepat kaya dan bala Allah. (Siri 2)

Bismillah...

(Maaf artikel panjang berjela, baca dengan hati terbuka dan sila komen jika ada kesilapan atau ketidakfahaman)

Suatu hari...
Tempat tak dikenal pasti
Pelakon utama Si A - Seorang Pengurup Dinar Iraq (IQD)
Pelakon tambahan Mamat (bukan nama sebenar) - Pelanggan baru IQD
Masa - mereka dan beberapa saksi yang tahu
Lebih kurang beginilah gambarannya...

Dengan lagak seorang pengurup IQD Dinar Iraq (IQD - singkatan kepada matawang Iraq) yang dalam usaha melariskan jualannya. Siap di tangan dengan prospektus dan bukti-bukti yang membantu memudahkan kefahaman para pembeli IQD. Di ambil dari web-web yang menjadi ansar kepada skim cepat kaya IQD.

Ikuti perbualan mereka...

"Mamat, kau tak mahu beli ker Dinar Iraq ni..? Untung tau...Ko beli sekarang harga dia cuma LE 75 (matawang Mesir) sahaja untuk IQD 15 000. Tak sampai tiga tahun lagi kau tahu akan jadi berapa nilai dia...?"

Mamat yang tak tahu menahu mengenai Dinar Iraq kelihatan berminat untuk lebih tahu lantas menumpukan perhatian dengan sepenuhnya kepada ceramah percuma Si A.

"Berapa? " Soalnya kepada si A.

Si pengurup A tadi dengan bersemangat menjawab. "USD 15 000 tau..Tak nak ker? Boleh pegi haji 10 kali tu". (ayat tambahan penulis)

Bersambung...

Itu sekadar imaginasi penulis sahaja. Ada kaitan dengan yang hidup tapi tak de kaitan dengan yang dah mati.

Saya pada permulaannya agak teruja juga apabila mendengar dakyah-dakyah dari ansar dinar Iraq ni. Pada awalnya saya menyangka dinar itu berupa emas tulin seperti yang saya lihat di tanah air. Waktu tu saya pergi sendiri ke Syarikat GOLD DINAR di Johor Bahru, tempat kawan saya bekerja yang mana menjual dinar emas untuk pelaburan dan simpanan.

Apa tak terujanya. Bayangkan I Dinar Muhammad (Malaysia) = RM 370 (Nilai terkini kalau tak salah saya) = lebih kurang USD 100 = lebih kurang LE 571 (matawang Mesir).

Murah sungguhlah Dinar Iraq macamtu. Ye la apa tidaknya. Dijual dengan harga LE 75 untuk setiap 15 000 IQD. Sedangkan 1 Dinar Muhammad = LE 571. Kemudian pulaktu, dijangka akan naik sehingga nilai 1 IQD = 1 USD dalam masa tak sampai 3 atau 4 tahun. Maknanya jika kita labur LE 75, kita akan dapat pulangan sebanyak USD 15 000. Cepat kaya Pak Cik kalau macam ni. Sebab tu saya buat artikel ni dengan tajuk Dinar Iraq, skim-skim cepat kaya dan bala Allah. Kira dah macam skim cepat kaya lah ni. Usaha sikit, labur sikit, tapi untung berlipat kali ganda.

Setelah diteliti rupuanya dinar Iraq tadi hanya pada namanya sahaja, tiada sifat emas seperti yang ada pada dinar emas. Maka hilanglah keterujaan saya apabila mengetahui dinar tadi hanyalah sekeping wang kertas yang kini nilai bagi 1 IQD = 0.000755230 USD. (sila rujuk Link)

Oklah, cukup dengan pengenalan ringkas tadi. Apa yang saya nak bawa di sini ialah walaupun Islam membenarkan apa yang disebut sebagai Musorofah (Tukaran atau jual beli matawang) tadi, Islam juga telah meletakkan beberapa dhawabit (prasyarat) yang perlu diikuti agar muamalah tadi selaras dengan hukum hakam yang telah ditetapkan.

Apa yang saya lihat berlaku di kalangan kita (umum) ialah beberapa permasalahan berikut :

Masalah (1)


Ada dikalangan mereka yang menjalankan urusniaga tadi dengan cara hutang. Maksud saya jual beli atau pertukaran tadi dijalankan bukan dalam satu masa atau majlis aqad yang sama. Islam mensyaratkan di dalam pertukaran mata wang (muamalah musorofah) mestilah dengan syarat yadan bi yadin (satu majlis penyerahan). Namun ada di kalangan kita yang mengambil dahulu wang dari sebelah pihak atau boleh saya katakan dengan istilah menempah, kemudian tukaran tadi diserah dalam waktu yang lain. Jika ini berlaku dalam urusniaga dinar Iraq anda, anda telah terlibat di dalam amaliah Riba' nasiah tanpa anda sedari atau dalam keadan sedar tapi buat-buat tak tahu. Riba' jelas haram di dalam Islam.

Masalah (2)


Yang pasti di kalangan kita telah mendapatkan dinar Iraq tadi dari pasaran gelap (Suk Saudak). Sebabnya, tiada bank atau sorrofah berdaftar yang menjalankan pertukaran tadi secara rasmi (semakan ringkas penulis di Mesir dan negara sekitar). Jadi kalau bank dan sorrofah tak menawarkan pertukaran tadi, kat mana lagi nak cari selain di suk saudak. Fatwa ulamak terkini seperti Dr. Yusuf al-Qardhawi (kalau tak silap saya) mengatakan bahawa segala amaliah atau transaksi yang berkaitan dengan pasaran gelap adalah haram. Apa tidaknya. Pasaran gelap menyebabkan pengeluaran dinar Iraq tadi semakin tidak terkawal. Ini akan memudaratkan lagi ekonomi Iraq yang sudah sedia nazak.

Masalah (3)


Ada pula di kalangan kita yang menjual dinar Iraq tadi dengan dakyah yang seolah-olah menjanjikan keuntungan yang pasti bagi para pembelinya. Sedangkan turun naik mata wang tiada siapa yang berani menjaminnya. Yang dibolehkan hanyalah ramalan kenaikan. Bukan pasti akan naik. Jadi jika anda menjual dinar tadi dengan dakyah yang sedemikian rupa ketahuilah bahawa anda telah menipu. Sekiranya si pembeli membeli kerana termakan hasil dakyah anda tadi tanpa mengetahui risiko yang bakal ditanggungnya maka anda telah memakan hasil yang disebut sebagai Aklu amwal an-nass bil batil atau memakan harta manusia dengan jalan yang batil iaitu menipu. Menipu jelas haram kerana termasuk di dalam al-ghisshu (penupiuan dalam jual beli) Nabi SAW melarang jual beli al-ghisshu.

Di sana juga ada yang seolah-olah hanya menerangkan kebaikan dan keistimewaan yang bakal diterima di samping menyembunyikan atau tidak mendetailkan secara jelas risiko-risiko yang sangat banyak yang perlu ditanggung oleh si pembeli dinar Iraq tadi.

Antara risiko tadi ialah :

- Risiko pemalsuan dinar Iraq. Adakah anda pasti itu wang asli yang digunakan di Iraq sedangkan anda membeli melalui pasaran gelap yang tidak tidak berdaftar walaupun duit tadi kelihatan cantik dan seolah-olah ada ciri keselamatan?

- Risiko pelupusan versi lama. Kebiasaannya, sesebuah negara (contoh Iraq sendiri) akan memberikan masa selama 3 bulan kepada pemegang wang untuk menukar wang lama kepada versi baru jika berlaku pembaharuan wang kertas yang dikeluarkan untuk tujuan pengukuhan keselamatan dan ceklist pengeluaran. Di mana anda nak tukar dan siapa nak maklumkan anda jika berlaku pertukaran tadi walhal anda hanya membeli melalui pasaran gelap. Dalam masa yang sama bank dan sorrofah tidak menawarkan sebarang trasaksi yang melibatkan dinar Iraq tika ini?

- Risiko di mana anda ingin menukar wang tadi contohnya selepas diketahui wang Iraq tadi mengalami peningkatan nilai. Nak pegi Iraq ke tukar duit tu atau si A dalam kisah di atas akan menjualkan kembali untuk anda? Jika naik sekarang atau setahun dua lagi mungkin si A masih ada di sini. jika naik 4 atau 5 tahun akan datang, kat mana anda nak tukar balik duit tu? Tau ke tidak risiko tu?

Risiko-risiko tadi mungkin juga si penjual dinar Iraq sendiri tidak tahu. Atau mungkin tahu tapi itu semua bukan prioriti. Yang penting duit yang dijual laku dan apa peduli pada si pembeli yang tak mengkaji dahulu sebelum membeli. Nak salahkan siapa kalau dah tertipu. Last-last buat hiasan dan simpanan sebagai kenangan. Kenangan yang amat mahal harganya.

Masalah (4)


Adakah kita juga ingin jadi seperti Spekulator matawang Georg Soros yang suatu ketika dahulu pernah menyerang ekonomi Malaysia? Beli wang RM dengan banyak, simpan dan kemudia satu masa menjual kembali semua wang tadi serentak sehingga menyebabkan kecairan serta lambakan RM dan sekaligus menyebabkan kejatuhan nilai RM. Kita mungkin tak sampai seperti itu kerana kita beli sikit sahaja. Tapi lebih kurang sama cuma namanya mungkin spekulator kecil kecilan sahaja. Kita nampak kecil. Tapi niat kita sama juga sebab niat kita membeli dan akan menjualnya semula apabila kedudukan IQD bertambah baik. Lainlah kalau belinya hanya sekadar untuk hiasan dan simpanan sahaja, atau koleksi matawang semata. Kalau dah membeli sehingga IQD 1,000,000 tu bukan koleksi simpanan namanya.

Jangan kerana ingin cepat senang kita lupakan hukun hakam yang Allah telah gariskan.

Itulah di antara masalah-masalah yang berlaku apabila kita membeli Dinar Iraq. Jika lepaspun hukum di atas, saya tetap menasihatkan berpadalah sekiranya ingin membeli. Bukan tak boleh, tapi carilah saluran dan amaliah yang dibolehkan. Bak kata kawan saya jangan sampai jadi rugi membeli dan kempunan pula kerana tak membelinya (yelah, kalau betul lah suatu hari nanti IQD 1 = USD 1 atau lebih dari itu)

Si penjual dinar Iraq sudah untung awal kerana anda telah membeli darinya. Tapi nasib anda belum tentu lagi. Mungkin balik modal jika ada yang ingin membelinya semula dari anda. Dan mungkin akan hanya menjadi koleksi kenangan-kenangan jika Iraq gagal untuk memulihkaan ekonominya walaupun Minyak di Iraq sangat banyak simpanannnya.

Beberapa perkara yang perlu anda tahu sebelum anda melabur atau membeli dinar Iraq. Perkara berikut anda boleh baca sendiri di dalam link : Klik (versi inggeris);

1) Kenapa si pengurup dinar Iraq menjual dinar Iraq jika dia yakin bahawa jika dia yang menyimpannya sendiri, dia akan jadi kaya raya suatu hari nanti apabila tiba masa kestabilannya. Tentu dia jawab sebab nak kongsi kekayaan bersama bukan? Atau dia sendiri tak yakin nak simpan wang tu, jadi ambil kesempatan untuk senang lebih awal dengan menjualnya kepada anda tanpa ada risiko kerugian.

2) Walaupun minyak Iraq banyak, tak semestinya ekonomi akan pulih dengan cepat dan sempurna. Contoh Venezuala. Minyak banyak tapi politik tak stabil. Ekonominya tak kemana. Lainlah jika anda melabur di syarikat minyak di venezuala atau Iraq. Ha, itu terjaminlah keuntungannya. Melabur dengan membeli duit Iraq tak sama seperti melabur terus di dalam syarikat yang menguruskan minyak tadi.

3) Orang nak samakan ekonomi Iraq dengan ekonomi Kuwait. Suatu ketika dahulu. Kuwait bangkit selepas 3 tahun perang teluk dengan nilai matawang yang tinggi menyamai paras Dolar Amerika. Anda perlu tahu, ya memang Kuwait mampu bangkit. Tapi kata pakar, this is comparing apples to oranges. Mana sama oren dengan apel. Kuwait mampu bangkit atas beberapa sebab. Simpanan sebelum perang sebanyak USD 100 bilion tanpa hutang, politik yang stabil sebelum dan selepas perang dan minyak yang terurus dengan baik. Di Iraq, sebelum perang sudah berhutang sebanyak USD 125 bilion. Ditambah pula dengan politik yang huru-hara dan walaupun minyak banyak, tapi saluran paip minyak selalu disabotaj ditambah perompak minyak dunia (Amerika) telah kuasai segalanya di sana. Tak sama kan bang.


Wallahuaalam...

P/s :

1) Siapa yang belum lagi baca Harian Metro, Jumaat (5 Januari 2007) di dalam ruangan berita utama bertajuk 'Jutawan segera' dinar Iraq. Sila klik link berikut. Kalau sudah tiada, bagi tahu nanti saya akan uploadkan: Klik

2) Sila baca artikel yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat terkemuka yang menguruskan tukaran matawang berkenaan kemampuan dinar Iraq. Jika tak faham mintalah kawan-kawan yang faham bacakan untuk anda : Klik


Sumber :

Artikel-artikel di www.zaharuddin.com
Artikel-artikel di www.xe.com
beberapa orang pembeli yang telah membeli

[+/-] Selengkapnya...

Friday, January 05, 2007

Niat yang ikhlas pemangkin kecemerlangan...

Bismillah...


Saya nak ubah topik perbincangan sebentar. Minta maaf sekiranya ada yang menunggu-nunggu siri kedua Dinar Iraq, skim-skim cepat kaya dan bala Allah. Kali ini saya ingin mengajak sahabat-sahabat merenung suatu perkara yang berkaitan dengan sistem peperiksaan atau Nizom Jameah yang mana sahabat-sahabat bakal tempuhi tidak berapa lama lagi.

Sistem ini (Sistem Jameah) baru sahaja diperkenalkan di Al-azhar menggantikan sistem lama iaitu sistem jamek yang terbukti berkesan melahirkan cendikiawan Islam yang amat ramai suatu ketika dahulu. Persoalannya adakah sistem yang ada pada hari ini gagal untuk menandingi sistem jamek dalam melahirkan ulamak-ulamak yang setanding al-Ghazali, Syeikh Al-Mutawalli Shakrawi, Syeikh Jadul Haq dan ulamak-ulamak lain hasil tuaian sistem jamek?

Universiti Al-azhar (Jameah al-Azhar) vs Masjid al-Azhar (Jamek al-azhar)

Saya pernah mendengar seorang ustaz bercerita suatu ketika dahulu berkaitan dua sistem di atas. Dia bertanya apakah bezanya dua sistem di atas dan mengapa sistem jamek dilihat lebih menonjol dalam melahirkan cendikiawan Islam yang amat ramai dan bermutu. Beliau mengatakan dengan berseloroh. Jamek tu Muzakkar dan Jameah tu Muannas. Kemudian membacakan sepotong ayat al-Quran Walaisa az-zakaru kal unsa. Ya, secara logiknya manakan sama seorang lelaki dengan seorang perempuan. Namun itu sekadar gurauan sahaja. Tiada kaitan dengan perbincangan kita hari ini.

Bagi saya secara peribadi al-Azhar sebenarnya masih lagi mengekalkan sistem lama. Dalam masa yang sama memperkenalkan sistem baru mengikut trend pengajian masa kini. Kita dapat lihat sendiri di Mesjid al-Azhar masih lagi berjalan sistem lama dengan kaedah bertalaqi. Ramai ulamak besar al-Azhar seperti Dr. Umar Hashim, Dr. Muhammad Siad Saltut, Dr. Rabek al-Jauhari dan ramai lagi tokoh lain yang mengajar di situ. Cuma berapa orang sahaja yang mampu mengikuti pengajian di Jamek al-azhar secara penuh? Ada, bukan tak ada. Saya tidak menafikan. (Saya pun jarang pergi)

Jadi adakah kita masih nak salahkan sistem yang ada pada hari ini? Tentunya tidak bukan. So, apakah sebenarnya punca kemundurun tadi? Fikirkan!!

Ye, sebenarnya niat kitalah punca kemunduran kita pada hari ini. Kita terbuai dengan trend baru pengajian dengan hanya mementingkan peperiksaan semata dan meninggalkan penumpuan kita terhadap penguasan ilmu. Yang penting lulus periksa, dapat sijil, balik Malaysia dapat kerja, gaji besar, dapat kahwin dan last sekali lari dari tugas seorang ustaz yang ada cop mohor al-Azhar bergelar azhari. Tu pun kalau cukup 4 tahun duduk di Azhar ni (mengikut sebahagian pendapat ulamak yang mengatakan sekurang-kurangnya mestilah mastautin 4 tahun untuk menisbahkan diri dengan sesuatu tempat )

Konvokesyen. Pengiktirafan ilmu atau pengiktirafan sijil??

Niat kita tidak ikhlas dalam menuntut ilmu. Saya bukan nak mengata sesiapa. Saya pun sama, bukan bagus sangat. Kita tiada matlamat yang jelas dalam menuntut ilmu di sini. sebab tu mundur. Kita bukan tidak pernah dengar hadis Nabi berkaitan niat. Dalam setiap kumpulan kitab hadis dan kitab-kitab pengajian yang lain, hadis tadi sering diulang-ulang bagi mengingatkan kita akan kepentingan menjaga niat. Agar kita sering mentajdid niat kita. Agar niat kita sentiasa ikhlas dalam setiap amalan kita. Menuntut ilmu ikhlas kerana mencari keredhaan Allah. Menuntut ilmu nak bantu agama Allah. menuntut ilmu nak bantu ulamak-ulamak, ansarullah dan orang-orang Allah dalam memperjuangkan agama Allah. Barulah kita rasa bertanggung jawab dalam menuntut ilmu.

Bukankah Nabi dah bersabda : Fa hijratuhu ila ma hajara ilaih (maka hijrahnya kepada apa yang dia niatkan) Kalau niat kita setakat nak dapat sijil, sijillah yang kita dapat. Kalau nak glamour, glamourlah yang kita dapat. Kalau niat kita nakkan cinta seorang lelaki atau perempuan, maka itulah juga yang kita akan dapat (Kadang-kadang tak dapat terus). Tapi kalau niat kita benar-benar ikhlas keranaNya, insyaalah ilmu kita dapat dan dunia akan mengikut telunjuk kita. Namun hari ini, kita pula yang mengikut telunjuk dunia.

Saya tidak mahu memanjangkan lagi artikel ini cukuplah setakat ini. Takut terlalu panjang korang tak mahu baca. Maklumlah, musim imtihan ni banyak kitab yang perlu dibaca.

P/s :
- Mari ikhlaskan niat kita dalam menghadapi exam yang bakal datang.
- Baca kitab jangan waktu nak exam sahaja. Lepas ni pakat-pakat susun jadul kitab-kitab untuk musim saifi.
- Mesjid al-Azhar menanti kehadiran anda dengan sistem jamek qaedah talaqi berguru.
- Gambaran kejayaan mesti ada dalam kotak fikiran anda jika anda mahu berjaya kerana anda adalah apa yang anda fikirkan. Ia juga satu doa dan pengharapan bukan!!
- Kurangkan tidur anda sekiranya anda mahu rasa imtihan sudah dekat. Paling sikit 4 jam sehari.

Sekian sahaja. Selamat menjalani musim imtihan dalam musim sejuk lagi menyejukkan.

Wallahuaalam.

[+/-] Selengkapnya...

Related Posts with Thumbnails